Friday, October 16, 2009

Zalimnya kita...

Di waktu tengahari tadi selepas Solat Jumaat, sedang saya membaca Surah al-Kahf [1], saya perasan sepotong ayat di dalamnya yang sangat baik sekiranya saya utarakan kepada semua.


Firman Allah azza wajalla: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka; dan sekiranya kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.”
[al-Kahf:57]

Tidak terkira banyaknya peringatan-peringatan telah diberikan. Ceramah agama kian berleluasa, tapi kita tidak mahu melangkah ke arahnya. Ceramah di TV pun banyak tetapi drama, wayang, malah iklan pun lebih menarik daripada ceramah! Kejadian-kejadian alam yang merosakkan dan membinasakan pun tidak diambil iktibar! Gempa bumi di Indonesia, kerana dosa mereka… Tapi itu peringatan bahawa dosa yang kita telah lakukan masih menunggu azab dari Allah! Betapa banyak kita berpaling daripada peringatan dan ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) Allah, dan lupa dosa-dosa yang kita lakukan! Kita tahu! Tetapi kedengaran hati kita berbisik: Ini dosa-dosa kecil sahaja…! Berapa banyak kenikmatan yang telah Allah berikan, namun bersyukur kepadaNya jauh sekali! Sekali-sekala ungkapan Alhamdulillah keluar di bibir, tetapi hati kita lupa dan leka tentang Yang Maha Memberi!

Sudah tiba masanya kita sedar dosa-dosa kita, dan merendahkan diri kita di hadapan Allah! Jangan kita lihat kecilnya dosa-dosa kita, tetapi lihatlah kebesaran Tuhan yang kita ingkari! Doa agar Allah tidak tutup hati-hati kita sehingga kita tidak berupaya untuk memahami peringatan daripadaNya. Betapa kita amat memerlukan petunjuk daripadaNya! Wahai Allah! Bukakan hatiku agar beriman kepada Mu. Tambahlah ilmuku agar dapat diamalkan mengharapkan ganjaran SyurgaMu. Dan jauhilah daripadaku azabMu yang tidak upaya ditanggung olehku. Ya Allah, cucuri rahmatMu kepadaku dan keluargaku!

Firman Allah azza wajalla: “Dan Tuhanmulah yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka karena perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu yang tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung dari padanya.”
[al-Kahf:58]
____________________________
Notakaki:

[1] Untuk pengetahuan, saya membaca Surah al-Kahf kerana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’eed bahawa Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, cahaya akan meneranginya antara dua Jumaat.”
[Sahih- al-Bayhaqi]
Hadith lain pula, juga diriwayatkan oleh Abu Sa’eed, sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam): “Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, cahaya akan menerangi antara dia dan Kaabah.”
[Sahih- al-Bayhaqi di dalam Shu’ab al-Iman]

No comments:

Post a Comment