Hadith Encyclopedia



بحث عن

Monday, July 26, 2010

Dengarlah nasihat pakar...!

Saya tidak faham.... Mengapakah dalam bidang-bidang ilmu dunia, kita sepakat mencari pakar terbaik bidang itu (sekiranya mampu), ataupun sesiapa yang pakar dalam bidang itu, tetapi di dalam agama, lebih-lebih lagi bidang hadith, umat Islam umumnya masih lagi tidak merujuk kepada pakar-pakar hadith, ataupun sekurang-kurangnya kitab-kitab hadith, samada yang di dalam bahasa arab mahupun yang ditulis di dalam bahasa melayu. Akibatnya, banyak lagi amalan-amalan yang tidak berasaskan sumber-sumber yang sahih di amalkan di seluruh Malaysia, dan di Indonesia.

Ini termasuk amalan-amalan di bulan Rejab, Sya'aban dan sebagainya yang telah banyak wujud kitab-kitab yang menerangkan tentang hadith-hadith palsu tentang amalan-amalan seumpama itu!

Sia-sia sahajalah pakar-pakar hadith ini menghabiskan tenaga mereka untuk mempelajari suatu bidang ilmu yang sangat sukar untuk dikuasai. Sia-sia sahajalah karya-karya para ulama hadith yang tersohor dahulu sehingga sekarang!

Kajilah semula hadith-hadith yang digunakan. Sekiranya kita berpenyakit, kita ikut nasihat doktor yang pakar, atau badan kita akan binasa... Mengapakah dalam bidang agama, kita tidak bersikap sedemikian?

Firman Allah: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” [al-Isra:36]

Sekiranya penglihatan, pendengaran, dan gerak hati semuanya dipertanggungjawabkan, apatah lagi hadith-hadith yang kita gunakan dalam ceramah dan petunjuk!

Dan sabda Rasulullah (sallalahu ‘alayhi wasallam): “Barangsiapa yang meriwayatkan sebuah hadith dariku yang dipandang sebagai dusta, maka termasuklah ia sebagai salah seorang pembohong!”
[Sahih Muslim]

Kenapa wujud hadith-hadith palsu dan lemah?

Secara ringkasnya, faktor-faktor yang mendorong lahirnya hadith-hadith palsu, seperti yang diterangkan para ulama hadith, adalah seperti berikut:
1. Politik
2. Fanatik kepada sesuatu kaum
3. Fanatik Mazhab
4. Golongan zindiq dan munafik
5. Ahli-ahli bid’ah
6. Golongan sufi yang sesat
7. Ulama jahat
8. Tukang-tukang cerita
9. Orang-orang yang mencari rezeki
10. Orang-orang yang mencari nama

Pendapat yang mengatakan harus beramal dengan hadith lemah bukanlah alasan! Kerana yang tahu sesuatu hadith itu lemah dan boleh diamal adalah ulama hadith, dan bukan sesiapa sahaja! Dan ulama yang membenarkan hadith lemah diamal meletakkan syarat-syarat!

Senang cerita, gunalah hadith-hadith yang sahih! Kitab-kitab sudah banyak di pasaran yang menerangkan hadith-hadith palsu dan lemah, dan yang menyenaraikan hadith-hadith yang sahih. Laburkanlah tenaga, wang serta masa untuk menyemak hadith-hadith yang digunakan, agar di Akhirat nanti kita tidak menyesal!

Tuesday, July 20, 2010

Pas tolak perantara, tetap tidak akan bersatu dengan UMNO

Allah jualah tempat kita minta pertolongan!

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan bantu-membantulah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan bantu-membantu dalam dosa dan permusuhan."
[al-Maaidah:2]

Saya berharap PAS dapat mengubah pendirian mereka. Walaupun PAS dan UMNO tidaklah sama dari segi dasar, namun bukankah itu juga benar di antara PAS dan DAP? Kerjasama dengan DAP telah menjatuhkan maruah PAS, pada hakikatnya!
Bukankah nasihat kawan lebih senang diterima daripada nasihat lawan? Memang benar Islam anjurkan kita terima kebenaran daripada sesiapapun walaupun daripada syaitan, namun kerjasama yang hakiki, seperti yang dianjurkan oleh Allah di dalam ayat di atas mestilah dijadikan kayu ukur.
Di antara UMNO dan DAP, yang mana satu yang kita dapat bekerjasama dengan mereka dalam "kebaikan dan taqwa", walaupun 20%?
Sekiranya kita andaikan bahawa UMNO hanya 20% betul mengikut ajaran, bagaimana pula dengan DAP?
Yang mana satu lebih berhak kita bersatu dengannya: orang Islam fasik (andaian) atau kafir yang menentang Islam?
Yang mana satu di antara UMNO dan DAP yang boleh PAS amalkan bersama-sama ayat al-Quran di bawah?


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
"Wahai orang-orang yang beriman! Patuhi Allah dan patuhi Rasul dan ulul-amri (ulama dan pemerintah). Apabila kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah) sekiranya kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah yang sebaik-baiknya dan sebaik-baik tafsiran."
[an-Nisa': 59]

Bukankah ini cara terbaik untuk bersatu?
Berikanlah keyakinan dengan ayat-ayat Allah...

---------------------------------- Quote
Pas tolak perantara, tetap tidak akan bersatu dengan UMNO: Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Pas tetap tidak akan menjalin kerjasama politik bersama UMNO walaupun Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria campur tangan dan bersedia menjadi perantara agar dua parti itu bersatu demi perpaduan umat Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul isu siapa yang perlu dipilih menjadi perantara merealisasikan kerjasama itu kerana dasar yang dibawa UMNO yang tidak akan diterima oleh Pas.

Menurutnya, apa yang diperjelaskan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah jelas bahawa UMNO dan Pas tidak mungkin akan menjalin kerjasama dan sebagai Mufti bukanlah bidang kuasa Harussani untuk mencampuri isu politik antara Pas dan UMNO.

“Sebelum ini mereka kata, Nik Abdul Aziz sedia bekerjasama dengan UMNO, sedangkan apa yang beliau maksudkan adalah berhubung kerjasama dulu hala antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.

“Perkara ini tidak akan berlaku sama sekali. Pas tetap dengan pendirian ini (menolak kerjasama dengan UMNO) biarpun sesiapa sahaja menjadi perantara,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Kelmarin, Harussani menyatakan kesediaan menjadi perantara bagi pertemuan pemimpin Pas dan UMNO demi perpaduan umat Islam walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murninya itu.

Beliau berkata, masih ada harapan ke arah perpaduan orang Melayu jika bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini . Bagaimanapun katanya, beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara berkenaan bagi kedua-dua belah pihak.

Harussani menjelaskan setakat perbezaan pendapat, ia adalah rahmat kerana perbezaan itu boleh membawa kepada kemajuan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga menegaskan kerjasama antara dua parti itu tidak akan berlaku sama sekali.

“Pas tidak berminat dalam isu ini. Biarlah ada pihak lain mahu Pas berbaik dengan UMNO. Namun, keputusan tersebut adalah muktamad,” katanya.

Thursday, July 8, 2010

Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus!

Kita selalu membaca Surah al-Fatihah di dalam solat. Setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali kita mengulanginya. Bacaan itu sebenarnya doa kita kepada Allah agar kita diberi petunjuk! Sedarkah kita hakikat ini?

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
"Tunjukkahlah kepada kami jalan yang lurus"


Apakah hikmatnya seseorang yang sudah Islam dan sedang mengerjakan solat disuruh membaca ungkapan doa ini?

Ini menunjukkan kita perlu hidayah daripada Allah setiap masa. Kerana hidayah di sini mempunyai dua maksud:
1. Hidayah kepada jalan yang lurus (iaitu Islam)
2. Hidayah di atas jalan yang lurus (iaitu perincian Islam)

Oleh itu, ayat yang dibaca selepas ayat yang merupakan doa ini berbunyi:


صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

"Jalan mereka yang Engkau telah kurniakan Nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai mahupun yang sesat."

Jalan yang lurus itu bukanlah ibadat secara rawak sesuka hati sesedap rasa, tetapi jalan yang lurus adalah jalan agama yang khusus! Kerana mereka yang tidak mengikut jalan agama yang dikhususkan maka akibatnya kesesatan dan kemurkaan Allah!

Oleh itu, janganlah kita membaca al-Fatihah sekadar sebutan di bibir, tetapi hati tidak menghayatinya, dan tidak memaksudkannya! Mintalah petunjuk setiap hari dengan ikhlas, kerana kita perlukan perincian Islam yang betul walaupun sudah bergelar muslim!

Jika tidak, padahnya:

1. Ada ilmu tetapi tidak diamalkan - maka Allah murka pada mereka!

2. Beramal tanpa ilmu - maka sesatlah!

Islam adalah agama ilmu! Maka carilah ilmu agama agar kita hidup di dunia dengan petunjuk! Dan amallah ilmu itu!

Sumber ilmu?

Sabda nabi:

عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Daripada Malik bahawa telah sampaikan kepadanya bahawa Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam) bersabda:

"Aku telah tinggalkan di kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akat sesat sekiranya berpegang kepadanya: Kitab Allah dan Sunnah nabinya." [al-Muwatta']