Hadith Encyclopedia



بحث عن

Tuesday, January 24, 2012

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (12)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah bahagian kedua ayat ke 7:

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

bukan (jalan) mereka yang dimurkai...”

[al-Fatihah : 7]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ke bahagian pertama ayat ke 7 adalah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu! (7) Jalan mereka yang Engkau redhai dan kurniakan nikmat Engkau, di dunia dan Akhirat: para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin, lebih-lebih lagi yang teragung di antara mereka, iaitu Rasulullah (saw).”

Setelah dilimpahkan Pujian untuk Allah daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 4; dan Allahlah tumpuan ibadat kita, termasuk meminta pertolonganNya di dalam ayat ke 5; maka Allahlah sahaja tumpuan doa kita untuk meminta hidayah di dalam ayat ke 6; dan ayat ke 7 menjelaskan jalan yang diharapkan iaitu jalan mereka yang telah dikurniakan berbagai nikmat oleh Allah, maka bahagian kedua ayat ke 7 pula menjelaskan jalan yang kita mohon agar dijauhkan!

Siapakah mereka itu? Bahagian kedua ayat ke 7 menyebutkan dua golongan.

Golongan yang pertama adalah yang disebutkan sebagai “yang dimurkai”. Kebanyakan ulama tafsir mengatakan bahawa mereka ini adalah golongan Yahudi.

Firman Allah (swt) tentang orang-orang Yahudi:

فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَى غَضَبٍ

kerana itu mereka mendapat kemurkaan sesudah (mendapat) kemurkaan.

[al-Baqarah : 90]

FirmanNya(swt) lagi tentang mereka:

قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُمْ بِشَرٍّ مِنْ ذَلِكَ مَثُوبَةً عِنْدَ اللَّهِ مَنْ لَعَنَهُ اللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ

وَجَعَلَ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ

أُولَئِكَ شَرٌّ مَكَانًا وَأَضَلُّ عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

Katakanlah: ‘Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang yang lebih buruk pembalasannya dari (orang-orang fasik) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuk dan dimurkai oleh Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah thaghut?." Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.

[al-Ma’idah : 60]

إِنَّ الَّذِينَ اتَّخَذُوا الْعِجْلَ سَيَنَالُهُمْ غَضَبٌ مِنْ رَبِّهِمْ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembah sapi betina kelak akan mendapat kemurkaan daripada Tuhan mereka.

[al-Ma’idah : 60]

Adakah yang dimaksudkan di sini kita jangan menganut agama Yahudi? Atau yang dimaksudkan agar kita tidak mengikuti jejak langkah, sifat-sifat dan sikap mereka?

Yang zahir adalah kita ditegah menganut agama mereka, dalam masa yang sama kita mesti menghindarkan daripada mengikut jejak langkah, sifat-sifat dan dan sikap mereka dalam beragama.

Apakah contoh-contohnya?

Saya akan jelaskan serba sedikit pada siri akan datang, insyaAllah.

Maka, terjemahan ayat ke 7 surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu! (7) Jalan mereka yang Engkau redhai dan kurniakan nikmat Engkau, di dunia dan Akhirat: para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin, lebih-lebih lagi yang teragung di antara mereka, iaitu Rasulullah (saw), dan bukannya jalan mereka yang dimurkai, yang terdiri daripada golongan Yahudi dan sesiapa sahaja yang menyerupai mereka...

Monday, January 9, 2012

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (11)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah bahagian pertama ayat ke 7:

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
“(Iaitu) jalan mereka yang Engkau telah kurniakan ke atas mereka nikmat...”
[al-Fatihah : 7]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ayat ke 6 adalah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu!.”

Setelah dilimpahkan Pujian untuk Allah daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 4, dan ayat ke 5 pula mengisytiharkan bahawa Allah yang berhak dipuji sedemikan rupa, maka Dialah sahaja tumpuan doa kita untuk meminta hidayah, ayat ke 6 pula permintaan agar ditunjukkan “jalan yang lurus”, dan ayat 7 memperincikan jalan tersebut sebagai jalan semua yang telah dikurniakan berbagai nikmat oleh Allah, di dunia dan di akhirat!

Siapakah mereka itu? Sekiranya manusia dibiarkan untuk memikirkan sendiri golongan ini, sudah tentu mereka hanya bayangkan golongan yang mendapat nikmat dunia, kerana nikmat Akhirat tidak dapat dilihat lagi!

Mereka yang dikurniakan nikmat ini telah disenaraikan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu ayat berikut:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا
“Dan sesiapa yang mematuhi Allah dan Rasul, maka mereka itulah yang akan bersama
mereka yang Allah berikan ke atas mereka nikmat: (iaitu) para nabi; Siddiqin; shuhada’; dan solihin,
dan mereka itulah sebaik-baik teman.”
[al-Nisa’ : 69]

Demikianlah, 4 golongan yang disenaraikan sebagai orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah.

Apakah ciri-ciri mereka ini?

Ayat yang sama di atas, menyebut ciri-ciri mereka yang sangat penting, iaitu mereka “mematuhi Allah dan Rasul”! Tidak masuk akal sekiranya orang yang akan bersama 4 golongan ini, mereka mematuhi Allah dan Rasul, sementara 4 golongan ini pula tidak mempunyai ciri tersebut!

Sudah menjadi lumrah, bahawa sesiapa yang minat, suka, cinta dan mengidola seseorang itu akan mahu bersama idolanya! Dan kita lihat mereka bukan hanya mahu bersama idola mereka, tetapi akan cuba meniru segala ciri-ciri idola mereka itu!

Maka sekiranya kita mahu masuk ke syurga di Akhirat nanti, sudahkah kita menjadikan 4 golongan ini “idola” kita? Bukan idola yang disembah, kerana tiada yang berhak disembah melainkan Allah, tetapi “idola” yang menjadi ikutan dan pedoman, supaya kita akan dapat bersama mereka di Syurga nanti! Dan tiada pedoman yang lebih baik daripada pedoman Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), seperti firmanNya:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya terdapat bagi kamu pada Rasulullah (saw) contoh teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat, dan banyak mengingati Allah.”
[al-Ahzab : 21]

Maka, terjemahan ayat kedua surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu! (7) Jalan mereka yang Engkau redhai dan kurniakan nikmat Engkau, di dunia dan Akhirat: para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin, lebih-lebih lagi yang teragung di antara mereka, iaitu Rasulullah (saw).”

Thursday, January 5, 2012

SIRI KESEDARAN DAN MENGHIDUPKAN SUNNAH RASUL 2

Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) pernah bersabda:

من أحيا سنة من سنني، فعمل بها الناس، كان له مثل أجر من عمل بها، لا ينقص من أجورهم شيءٌ

“Sesiapa yang menghidupkan satu Sunnah daripada Sunnah-Sunnahku, lalu orangramai beramal dengannya, baginya pahala seperti sesiapa yang beramal dengannya, tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun.”
[Sunan Ibn Majah dan disahihkan oleh al-Albani]

Oleh itu, sekiranya sepuluh (10) orang mula mengamalkan Sunnah nabi disebabkan oleh kita, maka kita akan memperolehi pahala yang sama daripada setiap seorang daripada mereka, kurniaan Allah kerana mereka dapat pahala mereka, dan kita dapat pahala yang serupa, cuma berganda 10.

Mengaku sahajalah, kita tidak banyak beramal, dan hidup kita juga tidak lama. Semakin tua pula semakin lemah, maka semakin kurang kebolehan kita untuk belajar agama, apatah lagi untuk beramal.

Hidupkan Sunnah nabi, dalam amalan harian kita, agar kita dapat terus beramal 24jam, dan orang lain yang mengikuti contoh kita juga akan menggandakan pahala amalan kita. Inilah rahsia mendapat pahala beramal beribu-ribu, malah berjuta-juta tahun walaupun umur hayatnya tidak lebih daripada 100 tahun.

Dan mengamalkan Sunnah nabi tidak susah. Hanya perlukan ilmu, niat dan amal.

Contohnya, kita semua akan makan sekurang-kurangnya 2 kali sehari, dan tidak termasuk “snack” dan lain-lain di antaranya. Dan kita semua tahu bahawa nabi makan menggunakan tangan kanannya. Oleh itu:
  1. Niatkan bila makan nanti menggunakan tangan kanan kerana itulah Sunnah nabi.
  2. Amalkan berterusan, dan jangan gunakan tangan kiri, kecuali terpaksa (seperti tangan kanan kudung), walaupun menyusahkan.

Dan kita boleh mendapat pahala tambahan lagi seperti berikut:
  1. Tambah niat agar amalan kita itu menjadi contoh kepada orang lain.
  2. Sekiranya ada sahabat kita yang makan dengan tangan kiri, maka beritahulah dia agar makan dengan tangan kanan untuk dapat pahala mengikut Sunnah. Dengan ini kita dapat mengingatkan orang lain tentang amalan Sunnah nabi, dan sekiranya mereka amalkan, kita akan dapat pahala yang disebutkan dalam hadith di atas.

Nota: Semua di atas tidak diperolehi kecuali dengan mula-mulanya ada ILMU. Tanpa ilmu, kita tidak tahu sesuatu itu boleh membuah pahala atau tidak, sedangkan kita memang mengamalkannya setiap hari. Janganlah kita tergolong di kalangan orang-orang yang rugi di Akhirat nanti!