Hadith Encyclopedia



بحث عن

Thursday, June 23, 2011

RE: SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (7)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah ayat:

الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
“Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”
[al-Fatihah : 3]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat 2 di dalam Surah al-Fatihah seperti berikut:

“Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah.”

Pujian untuk Allah di atas diteruskan dengan ayat seterusnya iaitu dua nama Allah yang memberikan gambaran kasih sayang atau rahmat Allah yang tersangat luas, merangkumi semua makhluk. Rahmat Allah ini sebahagiannya sudah disediakan untuk kita dan terus menerus dinikmatinya, seperti firman Allah:

“(Tuhan) Yang Maha Pemurah, Yang telah mengajarkan al Quran. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara. Matahari dan bulan (beredar) menurut perhitungan. Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan kedua-duanya tunduk kepada Nya”
[ar-Rahman : 1 – 6]

“Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk(Nya). Di bumi itu ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang. Dan biji-bijian yang berkulit dan bunga-bunga yang harum baunya. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?.”
[ar-Rahman : 10 – 13]

Sebahagiannya, kita akan menerimanya di Akhirat nanti SEKIRANYA KITA BERIMAN, seperti firman Allah:

“Pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram. Adapun orang-orang yang hitam muram mukanya (kepada mereka dikatakan): "Kenapa kamu kafir sesudah kamu beriman? Kerana itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu." Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam Rahmat Allah (Syurga); mereka kekal di dalamnya.”
[Aali ‘Imran : 106 – 107]

Tersangatlah luas Rahmat Allah sehinggakan Allah, Tuhan yang menjadikan sekalian alam, yang berkuasa penuh dalam segalanya, menurunkan ayat memanggil semua yang melampau batas, yang bergelimang dengan dosa dengan mengingkari perintah-perintahnya, agar mereka bertaubat kepadanya, dan tidak putus asa dengan RahmatNya, seperti firmanNya:

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[az-Zumar: 53]

Ayat di atas bukanlah tiket untuk kita terus bergelimang dengan dosa tanpa bertaubat, dan tetap mengharapkan RahmatNya. Itu lah yang dikatakan sebagai “angan-angan”, bukan “harapan”, kerana “harapan” hanya benar sekiranya disertai dengan usaha. Oleh itu, Allah menyebutkan ayat berikut selepas ayat di atas:

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya,”
[az-Zumar: 54-55]

Sekiranya sudah terlambat, maka inilah kata-kata kita seperti yang diberitahu kepada kita oleh Allah yang Maha Mengetahui dalam sambungan ayat di atas:

“supaya jangan ada orang yang mengatakan: "Amat besar penyesalanku atas kelalaianku dalam (menunaikan kewajiban) terhadap Allah, sedang aku sesungguhnya termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah ).”
[az-Zumar: 56]

Allah yang bersifat Rahmat yang tersangat luas ini, sudah tentu berhak diterima pujian-pujian, dan pujian-pujian itu khususnya untuk Allah sahaja!

Maka, terjemahan ayat kedua surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas.”

Segala-pujian untuk Allah.

Wednesday, June 15, 2011

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (6)

Perbincangan kita yang lepas tentang surah al-Fatihah ayat:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala pujian bagi Allah Rabb sekalian alam.”
[al-Fatihah : 2]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat di atas seperti berikut:

“Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah.”

Penting di sini kita tekankan maksud ayat ini mestilah dihayati dan percayai 100%!

Dan setelah dihayati dan dipercayai 100% maksud ayat ini, maka adakah patut kita diamkan sahaja? Adakah patut kita biarkan ianya disebut hanya di dalam solat? Sekiranya kita beriman dengan maksud ayat ini, mengapa kita tidak sebutkan pujian-pujian ini kepada Allah di masa-masa lain?

Para ulama mengatakan bahawa ayat ini adalah anjuran daripada Allah agar kita banyak memujiNya, berzikir dengan menyebut “alhamdulillah rabbil-‘Alamin” atau sekurang-kurangnya “Alhamdulillah”.

Kenapa kita sentiasa menyebut berulangkali tentang kecantikan seseorang pelakon wanita, atau ketampanan pelakon lelaki, atau sesiapa sahaja samada di bidang hiburan, ahli keluarga, ahli politik, atau apa sahaja makhluk ciptaan Allah, yang hanya berhak dipuji sekadar kesempurnaan tahap makhluk, TETAPI dengan Allah yang MAHA SEMPURNA, kita lupa dan alpa untuk mengingatiNya, menyebutNya dan memujiNya!!? Sebaliknya di masa lapang, kita asyik mengisikannya dengan muzik, filem, rancangan-rancangan tv, mengumpat dan sebagainya. Sekiranya ini bukan “melalaikan” maka saya tidak tahu apa maksud “melalaikan”!

Basahkan lidah kita dengan pujian dan zikir terhadap Allah. Apabila kita mempunyai masa lapang, pujilah Allah yang sememangnya BERHAK dipuji, seperti yang terkandung di dalam maksud ayat al-Fatihah di atas.

Allah Ta'ala berfirman:
"Maka berzikirlah engkau semua kepadaKu, tentu Aku akan ingat padamu semua." (al-Baqarah: 152)

Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras, di waktu pagi dan petang dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai" (al-A'raf: 205)

Dari Abu Malik al-Asy'ari r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bersuci itu adalah separuh keimanan, bacaan Alhamdulillah itu adalah memenuhi beratnya timbangan - di akhirat, sedang Subhanallah dan Alhamdulillah itu memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi." (Riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Busr r.a. bahwasanya ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya syariat-syariat Islam sudah banyak-yakni hukum-hukumnya sudah lengkap-atas diriku, maka beritahukanlah kepada saya akan sesuatu yang saya dapat ber-pegang padanya."
Beliau s.a.w. bersabda: "Supaya lisanmu itu senantiasa basah dengan berzikir kepada Allah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.

Kita akan teruskan lagi dengan nama-nama Allah di dalam ayat tiga dan empat surah al-Fatihah di dalam siri yang akan datang.

Wednesday, June 8, 2011

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (5)

Perbincangan kita tentang surah al-Fatihah masih lagi sekitar ayat:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala pujian bagi Allah Rabb sekalian alam.”
[al-Fatihah : 2]

Kita mesti sedar bahawa ayat-ayat al-Quran adalah Kalamullah, iaitu firman Allah dan bukan makhluk. Ianya firman Tuhan yang Maha Sempurna. Di antara firmanNya adalah ayat berikut:

وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا
“Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) dari pada Allah ?.”
[an-Nisaa’ : 87]

Oleh itu, surah al-Fatihah yang kita sedang tadabbur ini adalah juga sebenar-benar perkataan, dan bukan seperti kata-kata makhluk, dan bukan juga seperti nama-nama makhluk, yang biasanya jauh daripada kebenaran.

Kita rujuk semula kepada siri (4) yang menerangkan seperti berikut:

Perkataan (لِ) memberi dua maksud sekaligus:
1. Ikhtisas (pengkhususan) – maka maksud (الْحَمْدُ لِلَّهِ) menjadi “Segala pujian HANYA untuk Allah semata-mata.”
2. Istihqaq (berhak) – maka maksud (الْحَمْدُ لِلَّهِ) menjadi “Segala pujian ini HANYA Allah yang berhak menerimanya.”

Jika ayat-ayat Allah adalah sebenar-benar perkataan, maka maksud ikhtisas (pengkhususan) dan istihqaq (berhak) dapat dilihat sebenar-benarnya dengan makna Nama-nama Allah yang disebutkan selepas pujian, iaitu: (اللَّهِ) ; (رَبِّ الْعَالَمِينَ); (الرَّحْمَنِ); (الرَّحِيمِ); dan (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ).

(اللَّهِ) – Maknanya Dialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, manakala perkataan ‘tuhan’ secara umum adalah apa sahaja yang disembah, samada berhak atau tidak berhak.
Maka makna ayat menjadi: “Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Allah sahaja berhak menerimanya kerana Dialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah!”
(رَبِّ الْعَالَمِينَ) – Maknanya Dialah Rabb (Pencipta, Pentadbir, Pemberi Rezeki, Pemilik) bagi sekalian alam (selain Allah), sedangkan apa sahaja yang bukan Allah tidak pernah, mahupun mampu mencipta, mentadbir, memberi rezeki dan memiliki alam ini seperti Allah.
Maka makna ayat menjadi: “Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah.”

Betapa benarnya firman Allah:

وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا
“Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) dari pada Allah ?.”
[an-Nisaa’ : 87]

Maka ketika kita membaca surah al-Fatihah di dalam solat ataupun diluarnya, hendaklah kita maksudkan seperti yang diterangkan di atas agar perasaan di hati kita cocok dengan kata-kata yang diucapkan. Kita hendaklah terapkan maksud ayat itu di dalam hati. Barulah kekhusyukan dan keikhlasan dapat dicapai di dalam ibadat kita.

Kita akan teruskan lagi dengan nama-nama Allah di dalam ayat tiga dan empat surah al-Fatihah di dalam siri yang akan datang.

Friday, June 3, 2011

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (4)

Selepas basmalah di dalam surah al-Fatihah, ayat yang seterusnya adalah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala pujian bagi Allah Rabb sekalian alam.”
[al-Fatihah : 2]

Untuk menghayati maksud ayat yang mulia ini, kita kena lihat maksud setiap perkataan di dalamnya.

(الْحَمْدُ) diterjemahkan sebagai “segala pujian”

Persoalan: Di manakah perkataan “segala” kerana (حَمْد) bermaksud “pujian”!?
Jawapan: Perkataan (حَمْد) bermula dengan (ال) yang digunakan di sini untuk maksud istighraq (merangkumi semua yang sejenis). Oleh itu , perkataan al-hamdu diterjemahkan sebagai “segala pujian”.

(لِلَّهِ) diterjemahkan sebagai “bagi Allah”, namun terjemahan tidak dapat memberikan gambaran sebenar maksudnya. (لِلَّهِ) terdiri daripada dua perkataan, iaitu (لِِ) dan (الله).
Perkataan (لِِ) memberi dua maksud sekaligus:
1. Ikhtisas (pengkhususan) – maka maksud (الْحَمْدُ لِلَّهِ) menjadi “Segala pujian HANYA untuk Allah semata-mata.”
2. Istihqaq (berhak) – maka maksud (الْحَمْدُ لِلَّهِ) menjadi “Segala pujian ini HANYA Allah yang berhak menerimanya.”

Persoalan: Adakah“Pujian” terhadap Allah ini sama seperti pujian kita terhadap makhluk ciptaanNya?
Jawapan: Sama sekali tidak, kerana pujian terhadap makhluk yang serba kekurangan tidak akan sama dengan pujian terhadap Pencipta semua makhluk yang Maha Sempurna.

Perkara ini akan lebih jelas lagi setelah dihuraikan tentang Nama-Nama Allah yang disebutkan selepas (الْحَمْدُ), insyaAllah pada siri yang akan datang.