Selalu kita lihat kezaliman yang dilakukan ke atas orang-orang Islam di merata-rata tempat, dan apabila perkara ini berlaku, umat Islam seluruh dunia akan berdoa kepada Allah agar orang-orang Islam yang dizalimi itu dibantu oleh Allah. Namun apa yang kita lihat, umat Islam merata dunia terus dizalimi, walaupun kadang-kadang kita lihat kemenangan-kemenangan di medan peperangan, namun seperti kata orang putih: “You win some battles, but you lose the war.” Bilakah Islam akan kembali gagah perkasa seperti zaman kegemilangannya, digeruni dan disegani oleh semua! Bagaimana kita hendak membela maruah agama Islam ini?!
Firman Allah:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [an-Nur:55]
Kita beriman dengan al-Quran, sebagai petunjuk dan Kalam Allah. Allah menjanjikan kekuasaan di muka bumi seperti mana umat terdahulu, namun lihat hakikat umat sekarang ini! Umat Islam yang berpecah belah, terbahagi kepada negara-negara kecil yang mempunyai pemimpin masing-masing! Musuh tidak lagi takut dengan orang Islam, malah mereka mempermain-mainkan lagi umat Islam!
Kemungkinan-kemungkinannya:
1. Adakah Allah telah memungkiri janjiNya? – Jauh sekali!!
Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُخْلِفُ الْمِيعَادَ
“Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.”
[Ali Imran:9]
2. Adakah Allah tidak berkuasa untuk menunaikan janjinya? – Jauh sekali!
Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.”
[al-Baqarah:20]
3. Adakah umat Islam belum layak untuk menerima janji Allah??
Kembali kepada firman Allah yang disebut di atas, terjemahannya di bawah:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [an-Nur:55]
Tadabbur ayat di atas. Allah telah menerangkan kepada kita bahawa janjinya adalah bagi mereka yang disebutkan sebagai:
1. Orang-orang yang beriman
2. Orang yang mengerjakan amal soleh
Dan Allah ulangi lagi sesuatu yang sudah terkandung di dalam sifat Iman dan amal soleh, iaitu, mereka sembah Allah semata-mata, dan tidak menyekutukanNya. Ertikata lain, mereka mempunyai Tauhid yang tinggi sebagai Aqidah mereka dan amalan mereka semuanya ikhlas untuk Allah sahaja!
Inilah jalan penyelesaiannya!! Doa mesti diteruskan sebab itulah salah satu cara kita mendekatkan diri kepada Allah! Namun, jalan penyelesaian, atau jalan untuk mendapatkan kemenangan adalah dengan mendapat pertolongan Allah yang telah dijanjikan! Dan janji Allah adalah untuk orang-rang yang benar-benar beriman dan beramal soleh!
Maka, mari kita semua renungi diri kita sendiri, adakah kita benar-benar orang yang beriman serta beramal soleh? Lihat pada diri sendiri, adakah kita sebabnya umat Islam tidak layak menerima bantuan dan kemenangan daripada Allah?
Sabda nabi (sallalalhahu 'alayhi wasallam):
إذَا تَبَايَعْتُمْ بالْعِينَةِ وَأخَذْتُمْ أذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيتُمْ بالزّرْعِ وَتَرَكْتُمْ الْجِهَادَ، سَلّطَ الله عَلَيْكُمْ ذُلاّ لاَ يَنْزِعُهُ حَتّى تَرْجِعُوا إلَى دِينِكُم
"Apabila kamu berurusan jual beli dengan Bai' al-'Inah; berpegang kepada ekor-ekor lembu; berpuas hati dengan bercucuk-tanam; dan meninggalkan Jihad, Allah akan menyebabkan kehinaan mengatasi kamu dan tidak akan mencabutnya daripadamu sehingga kamu kembali kepada agamamu."
[Sahih -Sunan Abu Daud (no. 3003)]
Hadith ini menerangkan kepada kita akan tiba suatu masa yang umat Islam bertambah buruk keadaan mereka, dan digambarkan sebagai:
1. Akan mula berurusan dengan Bai' al-'Inah - sejenis jual beli yang diharamkan oleh jumhur ulama, namun kita dapat lihat ianya berleluasa di bank-bank Malaysia.
2. Berpegang kepada ekor-ekor lembu dan berpuas hati dengan bercucuk tanam - gambaran bahawa umat Islam berpaut dengan dunia.
3. Meninggalkan jihad - samada dengan jiwa, harta ataupun ilmu (iaitu da'wah).
5. Tidak mengikut agama sepenuhnya - syarat yang disebutkan oleh nabi untuk mencabut kehinaan daripada umat Islam adalah mereka kembali kepada agama mereka, bermakna mereka tidak mengikut agama Islam sebenar-benarnya!
Ayat di atas dan hadith ini saling melengkapkan satu sama lain. Kita mesti kembali kepada agama Allah, al-Islam. Jangan diambil sebahagian, dan ditinggalkan sebahagian yang lain. Kita mesti belajar tentang Islam, perkemaskan Tauhid, amal dengan ilmu kita, berdakwah kepadanya, dan istiqamah! Dan bukan sebarang Islam, tetapi Islam yang sebenar, menurut kefahaman yang sebenar, berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Sabda nabi:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
"Aku telah tinggalkan di kalanganmu dua perkara, tidak kamu sesat selagi kamu bepegang kepada kedua-duanya: Kitab Allah dan Sunnah nabiNya."
[Hasan- al-Muwatta' Imam Malik]
No comments:
Post a Comment