Hadith Encyclopedia



بحث عن

Saturday, January 29, 2011

عَنْ أمِيرِ المُؤْمِنِينَ أبي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَاب رَضيَ الله عَنْهُ قَال: سَمِعتُ رسُولَ الله صَلّى اللّه عَلَيْهِ وَسَلَّم يَقُولُ: إنَّمَا الأعْمَالُ بِالْنيَّاتِ، وَإنَّمَا لِكلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرتُهُ لِدُنيَا يُصيبُهَا، أَوِ امْرَأةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab (ra) berkata: Saya mendengar Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda:
"Hanyalah (hukum) perbuatan itu bergantung kepada niat-niatnya. Dan hanyalah (ganjaran) bagi setiap orang menurut apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu untuk Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang diinginkannya, atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu untuk apa yang dia tujui.”
Perawinya:
Amir al-Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab bin Nufail al-Qureshi al-‘Adawi, nasabnya bertemu dengan nasab Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) pada Ka’b bin Lu’ay. Beliau (di antara yang) awal memeluk Islam di Mekah dan mengambil bahagian di dalam semua peperangan (bersama Rasulullah) dan memegang jawatan Khalifah selepas Abu Bakr as-Siddiq. Beliau dibunuh pada tahun 23H pada bulan Zulhijjah berlalu empat (hari) daripadanya, atau dikatakan (juga) tiga (hari).
Kosa kata:
إنَّمَا – untuk membataskan (الحصر), iaitu mensabitkan hukum kepada yang disebutkan dan menafikan hukum itu bagi selain daripadanya.
الأعْمَالُ – Amalan-amalan badaniyah (dengan tubuh badan), (termasuk) kata-kata, perbuatan, fardu mahupun sunat, yang berpunca daripada mukallaf yang beriman.
بَالْنيَاتِ – (Niyyaat) adalah jama’ (plural) نِيَّة, iaitu keazaman hati.
وَإنَّمَا لِكل امرئ مَا نَوَى – Sesiapa yang berniatkan sesuatu, dia tidak akan mendapatkan selainnya.
فمَنْ كَانَتْ هِجْرَتهُ – (Hijrah) adalah berpindah daripada negara Syirik kepada negara Islam.
إلَى اللّه وَرَسُولِهِ – bahawa niatnya ketika berhijrah adalah mentaati Allah dan RasulNya
فَهِجْرَتهُ إلَى اللّه وَرَسُولِهِ – (maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya) dari segi hukum dan syara’.
دُنيا – iaitu apa sahaja di atas mukabumi termasuk angin dan cuaca sebelum hari kiamat. Dikatakan juga maksudnya adalah harta.
يُصيبُهَا - mendapatnya
فَهِجْرَتُه إلَى مَا هَاجَرَ إليهِ – (maka hijrahnya itu untuk apa yang dia tujui) baik dunia mahupun wanita. Yang pertama adalah seorang peniaga, dan yang kedua adalah pelamar.
Pengajaran daripada hadith:
1. Galakkan kepada keikhlasan. Oleh itu para ulama suka memulakan penulisan-penulisan dengan hadith ini agar penuntut ilmu berwaspada tentang pembetulan niat.
2. Bahawa semua amalan shariah tidak dipertimbangkan kecuali dengan niat (yang ikhlas), dan di antaranya adalah at-Taharah seperti bab yang dibuat oleh penulis.
3. Kelebihan berhijrah kepada Allah dan RasulNya. Hijrah telah berlaku di awal Islam dalam dua wajah:
a. Berpindah daripada negara yang diselubungi ketakutan kepada negara aman, seperti hijrah ke Habsyah dan permulaan hijrah daripada Mekah ke Madinah
b. Hijrah daripada negara Kufur kepada negara Iman, dan ini selepas nabi menetap di Madinah dan berhijrah juga sesiapa sahaja orang Islam yang berkemampuan. Ketika itu Hijrah khusus untuk perpindahan ke Madinah sehinggalah dibuka kota Mekah, dan ketika itu putuslah pengkhususan (hijrah) dan tinggallah (makna) umum perpindahan daripada negara Kufur kepada negara Islam, wajib bagi yang mampu.
4. Perbuatan-perbuatan yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak beroleh pahala kerana perbuatan itu semata-mata, sehinggalah diniatkan dengannya untuk mendekatkan diri kepadaNya.
[Diterjemah daripada kitab al-Ilmam bisyarh Umdat al-Ahkam oleh Shaikh Ismail al-Ansari]

Tuesday, January 18, 2011

JALAN PINTAS KE SYURGA

Dengan matlamat kita yang sama, iaitu untuk ke Syurga yang Allah telah sediakan untuk orang-orang yang beriman, kita sentiasa mencari jalan untuk memudahkan kita, ertikata lain, mencari JALAN PINTAS KE SYURGA.

Wujudkah JALAN PINTAS KE SYURGA?

Allah memberitahu kita melalui Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) tentang semua perkara di dalam agama dan hal dunia, termasuk kejadian-kejadian di akhir zaman, apakah Allah tidak memberitahu kita jalan pintas ke SyurgaNya??

Jawabnya: Memang ada!

Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud (ra):
Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) pernah menggariskan satu garis (di atas tanah) dengan tangan beliau seraya berkata: “Ini jalan Allah yang lurus”.
Kemudian beliau (صلى الله عليه وسلم) menggariskan garis-garis di kanan dan kiri garis tadi dan berkata: “Ini jalan-jalan lain, tidak ada satu jalan pun di sana, kecuali ada syaitan yang mengajak kepadanya”.
Kemudian beliau (صلى الله عليه وسلم) membaca ayat: “Dan inilah jalanKu maka ikutilah ia dan jangan ikut jalan-jalan yang akan memisahkan kamu dari jalanNya. [6:153]”
(HR. Imam Ahmad, Nasa’i, Ibnu Abi Hatim dan Hakim dan beliau menshahihkannya)

Jelas di sini nabi menerangkan jalan pintas, yang terpendek ke syurga, iaitu jalan lurus yang menghubungkan kita dengan syurga! Jalan yang lain membawa kita jauh daripada jalan yang lurus, sesat sehingga ke Neraka, na’uzubillah. Tetapi, apakah jalan pintas itu?

Sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam):
“Umat ini akan terbahagi kepada 73 bahagian, kesemuanya di dalam Neraka,kecuali satu!”
Sahabat bertanya: “Siapa mereka, wahai Rasulullah?”
“Mereka yang berada di atas (jalan) sepertimana aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya.”
[Sahih – Abu Daud, Tirmizhi dan lain-lain]

Ini menerangkan pentingnya mengikut Islam menurut kefahaman yang sebenar dan betul, iaitu kefahaman para sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) yang dididik sendiri oleh Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) dengan petunjuk daripada Allah. Ini adalah satu kaedah penting untuk mengenal sesuatu ajaran Islam adalah betul atau salah. Iaitu, pentingnya manhaj (metodologi) yang betul dalam memahami Islam.

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata:
Rasulullah s.a.w. bersabda:
An-Nubuwwah (kenabian) berada bersamamu selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu berada di zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah (metod kenabian). Dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia akan mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu menghadapi zaman Malikan Jabriyah (raja diktator), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwah, kemudian baginda diam.”
[Riwayat Ahmad 4/275, Abu Daud 4/211, At- Tirmizi 4/503 – Hadith Sahih]

Kegemilangan Islam tidak akan kembali KECUALI dengan kembali mengikuti MANHAJ KENABIAN, iaitu Islam yang difahami dengan betul. Siapa di antara kita yang diluluskan oleh Allah dan RasulNya sebagai mukmin sejati, yang memahami Islam dengan sempurna, menurut MANHAJ KENABIAN?

Jawabnya: Sahabat-sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم).

Apakah ia manhaj kenabian?
Memahami Islam melalui sumbernya yang betul menurut prioriti yang betul, dengan merujuk kepada kefahaman yang betul. Sumbernya:
1) Al-Quran
2) As-Sunnah (Sahih)
3) Ijma’
4) Kias
Menurut kefahaman tiga generasi terbaik – as Salaf as Soleh
(Generasi as-Salaf as-Soleh adalah tiga generasi terawal Islam, diketuai oleh para sahabat Rasulullah, kemudian dua generasi selepasnya yang dipuji oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik manusia, selepas para nabi)

Setelah asas ini betul, maka akan betullah kesemuanya di dalam Islam seseorang itu, bermula daripada Aqidah, Niat, Sikap , Amalan, Prioriti, dan lain-lainnya.

Dengan manhaj yang betul:
1. Kita akan mempunyai Aqidah yang betul dan diredhai Allah kerana aqidahnya akan berlandaskan al-Quran dan Sunnah, menurut kefahaman golongan Salaf as-Soleh
2. Kita akan mempunyai niat yang betul dalam kesemua amalan kita
3. Kita akan berakhlak dengan baik kerana keutamaan adalah mencontohi akhlak Rasulullah.
4. Kita akan beramal dengan amalan soleh yang diiktiraf semua sebagai amalan baik kerana amalannya akan berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Ini adalah kerana setiap amalan dianggap soleh dan diterima setelah memenuhi dua syarat: (1) Ikhlas (2) Menurut Sunnah Rasulullah.
5. Kita akan bersikap positif dan betul dalam menghadapi semua perkara dan urusan, kerana tawakkal penuh kepada Allah, dan mengikut saranan al-Quran dan Sunnah
6. Kita akan melakukan semua perkara menurut prioritinya, keutamaannya kerana Allah menuntut tanggungjawab menurut prioriti, seperti di dalam al-Quran dan Sunnah,

Maka, dengan manhaj yang betul, ianya akan menggolongkan kita di dalam Ahlus-Sunnah wal-Jamaah, Golongan yang Terselamat di antara 73 golongan umat Islam.

Itulah jalan pintas, dengan usaha yang sama mendapat pahala yang berganda-ganda lebih daripada sesiapa yang tidak mengikut manhaj yang betul. Itulah jalan pintas di dunia, supaya kita dapat melalui jalan pintas di Akhirat pula, yang penuh dengan liku-likunya yang mengerikan. Kita berdoa kepada Allah, setelah usaha yang sewajarnya, agar dikurniakan jalan pintas di Akhirat, iaitu dimasukkan ke Syurga TANPA HISAB.

Tuesday, January 11, 2011

Apakah maksud: “Saya Seorang Muslim?”

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah mati kecuali dengan keadaan Islam.”
[Ali ‘Imran: 102]

Kata ulama tentang intipati “Islam”:

الإسلام هو الاستسلام لله بالتوحيد والانقياد له بالطاعة، والبراءة من الشرك وأهله
“Islam adalah menyerah diri kepada Allah dengan Tauhid, patuh kepadaNya dengan ketaatan, dan melepas diri daripada syirik dan orang-orangnya.”

Seseorang itu masuk Islam dengan Dua Kalimah Shahadah, yang merupakan rukun pertama di antara rukun-rukun Islam:

Daripada Abdullah ibn Umar radhiyallahu ‘anhuma: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Islam dibina di atas lima (rukun); persaksian tidak ada ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan salat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadan".
[al-Bukhari (1/7) dan Muslim (1/34)]

Shahadatain – (Dua Kalimah Shahadah):
1. Persaksian bahawa tiada ilah selain Allah
2. Persaksian bahawa Muhammad adalah utusan Allah

DUA KALIMAH SHAHADAH dikatakan sebagai KUNCI SYURGA. Tetapi setiap kunci mempunyai lurah-lurah (giginya) dan sekiranya tepat maka pintu akan terbuka. Itulah perincian yang diperlukan agar DUA KALIMAH SHAHADAH yang kita sebut DITERIMA OLEH ALLAH.

Dua Kalimah Shahadah, merupakan UNGKAPAN PENGISYTIHARAN tentang KOMITMEN terhadap DUA PERKARA PALING PENTING DI DALAM ISLAM:
1. TAUHID (Pengesaan Allah di dalam semua Hak-HakNya)
2. ITTIBA’ (Pengesaan contoh ikutan HANYA kepada Rasulullah dan Sunnahnya)

TAUHID
TAUHID terbahagi kepada tiga aspek:
1. Tauhid Rububiyah – Pencipta, Pemberi Rezeki, Pentadir Alam
2. Tauhid Uluhiyah – Yang Berhak disembah, tanpa sekutu
3. Tauhid Asma’ was-Sifat – Memiliki Nama-Nama Husna, Bersifat Sempurna

Lawan Tauhid: SYIRIK.

Bahaya Syirik:
1. Allah tidak akan ampunkan dosa Syirik sekiranya tidak bertaubat daripadanya
2. Allah akan haramkan Syurga bagi pelaku syirik
3. Kesemua amalan baik terhapus dengan syirik
4. Tempat akhirnya Neraka selama-lamanya
5. Sebab utama Islam dalam keadaan lemah dan hina

ITTIBA’
ITTIBA’ pula termasuk:
1. Akui Kerasulannya
2. Ikrar dengan lisan
3. Ikut Ajarannya
4. Membenarkan sabdanya
5. Mencintai nabi lebih daripada semua makhluk
6. Sabdanya didahulukan

Lawan Ittiba’: BID’AH

Bahaya Bid’ah:
1. Setiap bid’ah yang timbul akan menghilangkan satu amalan Sunnah
2. Bid’ah adalah dosa besar
3. Pelaku bid’ah tidak akan bertaubat kerana sangkakan amalannya baik dan diterima Allah
4. Seolah-olah mendustakan Allah yang telah mengisytiharkan Islam sebagai lengkap dan sempurna.
5. Seolah-olah mengatakan Rasulullah tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk menyampaikan Islam dengan sempurna.
6. Sebab kedua Islam dalam keadaan lemah dan hina

Semoga Allah memberikan kita semua taufiq dan hidayah untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dan memasukkan kita semua ke dalam Syurga.