Sunday, October 18, 2009

SALAT: Bolehkah Mendahului Imam dalam solat?

Soalan: Kami melihat ramai orang yang mendahului Imam ketika ruku’, qiyam, sujud dan pergerakan mereka bersama pergerakan imam, atau mendahuluinya. Adakah solat mereka ini harus atau tidak?


Jawapan: Makmum wajib mengikut imamnya di dalam ruku’, sujud, qiyam dan bangun daripada ruku’ dan sujud, maka dia tidak boleh ruku’, sujud, dan bangun daripada ruku’ dan sujud kecuali selepas imamnya. Kerana perintah nabi (صلى الله عليه وسلم) dan larangan baginda terhadap mendahului imam atau seiringan dengan imam dalam apa sahaja pun di dalam solat.

Sabda nabi (صلى الله عليه وسلم):

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا
Maksudnya: “Hanyalah imam itu diadakan untuk diikuti, maka jangan mendahuluinya. Maka apabila dia menyebut takbir maka takbirlah, apabila dia ruku’ maka ruku’lah, dan apabila dia berkata ‘Sami’a Allahu liman hamidah’ katalah ‘Rabbana walaka al-hamdu’, dan apabila dia sujud maka sujudlah.” [1]

Maka (di dalam hadith ini) nabi memerintah makmum melakukan pergerakan-pergerakan itu selepas imam melakukannya kerana huruf ‘Fa’ (ف) memberi maksud ‘tertib’.

Dan sabda baginda lagi:

أَمَا يَخْشَى الَّذِي يَرْفَعُ رَأْسَهُ قَبْلَ الْإِمَامِ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ

Maksudnya: “Tidakkah takut dia yang mengangkat kepalanya sebelum imam bahawa Allah akan mengubah kepalanya menjadi kepala keldai. [2]

Maka, sesiapa ruku’ atau sujud atau bangun daripada keduanya sebelum imam atau bersamanya, maka dia telah menyalahi Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) dan mendedahkan dirinya kepada balasan buruk dan tidak diberi pahala, dan sekiranya dia tahu hukumnya maka batallah solatnya dan wajib mengulangnya, seperti yang diriwayatkan daripada Ibn Umar (رضي الله عنهما). Dan Imam Ahmad ibn Hambal juga berpendapat sedemikian. Sekiranya dia mendahului imam dalam keadaan lupa atau dia jahil tentang hukumnya, solatnya sah. Yang jahil perlu diberitahu (hukumnya) dan yang terlupa perlu kembali mengikut imamnya ketika dia teringat.

Dan taufiq daripada Allah, dan selawat dan salam ke atas nabi Muhammad dan para sahabatnya.

Imam Ibrahim ibn Muhammad Aal Shaikh – Ketua
Shaikh Abd ar-Razzaq ‘Afifi – Naib Ketua
Shaikh Abdullah ibn Ghudayyan – Ahli
[Jawatankuasa Tetap bagi Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa]

Tambahan penterjemah:

Terdapat dua pendapat tentang maksud nabi bahawa kepala atau rupa yang ditukar menjadi seperti keldai:

1. Pendapat ma’nawi: Kepala keldai yang dimaksudkan adalah kebodohan keldai, bukannya bertukar secara fizikal.

2. Pendapat zahiri: Pertukaran kepada kepala keldai secara fizikal.

Imam Abd ar-Rahman al-Mubarakfuri berkata:
Pendapat yang lebih tepat adalah memahami hadis ini secara zahir, dan tidak perlu kepada takwil (menukarkan maksud kepada yang tersirat) walaupun selepas apa yang diperkatakan oleh al-Hafizh (Ibn Hajr). Pendapat ini disokong oleh cerita yang disampaikan seorang ulama hadis bahawa dia telah menempuh perjalanan ke Damshiq untuk mempelajari hadis ini daripada seorang guru yang masyhur dalam ilmu hadis. Maka dia telah membaca kesemuanya tetapi guru tersebut telah meletakkan tirai antaranya dan dia tidak melihat wajah guru itu. Setelah lama mendampinginya, dan guru itu melihat kesungguhannya dalam mempelajari hadis, beliau pun membuka tirai tersebut maka dia pun melihat wajah gurunya itu berwajah keldai. Guru itupun berkata kepadanya: ‘Hati-hatilah, wahai anakku, jangan mendahului imam. Sesungguhnya ketika saya menjumpai hadis ini, saya tidak percaya ianya akan berlaku, maka saya pun mendahului imam, dan wajahku pun bertukar seperti yang kamu lihat ini.’
[Tuhfat al-Ahwazi (تُحْفَةِ الْأَحْوَذِيِّ) – Penerangan kepada kitab Jami’ at-Tirmizi, hadis no. 531]

Hadis yang berkaitan daripada al-Baraa’:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ لَمْ يَحْنِ أَحَدٌ مِنَّا ظَهْرَهُ حَتَّى يَقَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدًا ثُمَّ نَقَعُ سُجُودًا بَعْدَهُ

Maksudnya: Biasanya selepas Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) berkata: ‘Sami’a Allahu liman hamidah’, tiada seorangpun daripada kami yang mula membengkokkan belakangnya (iaitu memulakan pergerakan sujud) sehingga nabi (صلى الله عليه وسلم)telah turun (sepenuhnya) dalam keadaan sujud, kemudian barulah kami bersujud selepasnya.

Hadis di atas memberikan kita cara yang betul dalam mengikuti Imam di dalam solat Jemaah. Para sahabat akan memulakan pergerakan mereka selepas Rasulullah (SAW) sampai ke pergerakan seterusnya. Contohnya, apabila beliau (صلى الله عليه وسلم) mula untuk ke posisi sujud, para sahabat tidak bergerak sehinggalah Rasulullah sudah berada di posisi sujud.

--------------------------------------------------------------------------------
Notakaki:

[1] Ahmad (2/230), al-Bukhari (1/174,177), at-Tirmizi (2/194), an-Nasaa’ii (2/83), Abu Daud (1/141), Ibn Majah (1/276)[2] Ahmad (2/260), al-Bukhari (1/168), Muslim (1/221), Abu Daud (1/145), at-Tirmizi (2/476), an-Nasaa’ii (2/96), Ibn Majah (1/308)

[2] Surah Fatir: 28

No comments:

Post a Comment