Hadith Encyclopedia



بحث عن

Wednesday, July 25, 2012

Hormati satu sama lain - PAS ke... Umno ke... Kita sama2 Islam




Alhamdulillah, kita bersyukur dua orang ustaz-ustaz ini yang saling hormat menghormati walaupun mewakili parti berlainan. Ini adalah contoh yang patut kita ikuti supaya kita dapat mengurangkan jurang perbezaan dan perselisihan antara umat Islam. Dan lebih memberansangkan lagi adalah sikap mengaku kesilapan sendiri yang dilakukan secara terbuka kerana mereka dihormati orangramai, supaya tidak ada yang terikut kesilapan seorang berilmu.



Saya berharap pengikut-pengikut parti PAS dan UMNO saling hormat menghormati antara satu sama lain, dan bekerjasama untuk kebaikan dan menegakkan Islam. Mereka mempunyai kekuatan masing-masing dan juga kelemahan masing-masing.



Oleh itu, kita mesti ingat hadith nabi yang sangat popular di kalangan ulama, dan dimuatkan di dalam kitab 40 hadith yang dikarang oleh Imam an-Nawawi, iaitu:



عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «الدِّينُ النَّصِيحَةُ» قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: «لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ»

Daripada Tamim bin Aus ad-Daarii bahawa nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) telah bersabda: “Agama ini adalah nasihat.”

Kami bertanya: “Kepada siapa?”

Sabdanya lagi: “Kepada Allah, KitabNya, RasulNya, pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan orang-orang awam.” [Sahih Muslim]

Bagaimana…?

Asal perkataan “Nasihat” bermakna tulen, dan bermaksud keikhlasan terhadap yang dinasihati. Oleh itu , maksud:

“Nasihat kepada Allah” – Ikhlas beriman kepada Allah, dengan mentauhidkan Allah dalam ibadat dan meninggalkan syirik, sekaligus mematuhi perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya.

“Nasihat kepada KitabNya” – Beriman dengan kitabNya, iaitu al-Quran, dan beramal dengan isi kandungannya.

“Nasihat kepada RasulNya” – Beriman dengan kerasulan dan kenabian Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan mentaati perintahnya dan meninggal larangannya.

“Nasihat kepada pemimpin-pemimpin” – Mematuhi mereka dalam kebenaran dan tidak memberontak dengan pedang sekiranya mereka zalim.

“Nasihat kepada orang-orang awam” – Menghendakkan kebaikan bagi mereka sambil menunjukkan mereka kepada perkara-perkara yang memanfaatkan mereka.

Oleh itu, kita sesama muslim, biarpun parti berlainan, kita mesti hormati satu sama lain, membantu satu sama lain, menasihati satu sama lain ke arah:

1.      Meninggalkan sesuatu kemungkaran kepada kebaikan

2.      Meningkat daripada sesuatu yang harus kepada sesuatu yang baik

3.      Meningkat daripada sesuatu yang baik kepada sesuatu yang lebih baik.

Dengan cara ini, barulah umat Islam dapat bersatu dan kuat semula seperti zaman kegemilangannya. Islam mewajibkan umat Islam bersatu. Bersatu dengan berpegang kepada tali Allah. Bersatu dengan berpegang kepada dua yang tidak sesat orang yang berpegang kepadanya, iaitu Quran dan Sunnah, menurut kefahaman yang asal dan betul.

Komen Ustaz Fathul Bari Isu Solekan | Ilmuan Malaysia

Komen Ustaz Fathul Bari Isu Solekan | Ilmuan Malaysia

Bismillah,
Untuk isu “solek” yang diperdebatkan oleh pecinta kebenaran; komen saya:
1. Setiap insan pasti melakukan kesilapan termasuk diri saya dan Ketua Pemuda PAS. Maka saya akui kesilapan saya (seperti di dalam gambar) apabila disolek kali pertama di bilik mesyuarat (moga Allah mengampunkan kesalahan ini), dan saya telah memperbetulkan kesilapan tersebut ketika berada di pentas debat, alhamdulillah.

2. Maka, yang terbaik buat pesalah adalah mengaku kesalahan dan beristighfar.

3. Bagi yang memberi komentar, jagalah lisan dan perkataan. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat lagi Maha Mendengar.

4. Bagi pihak yang menganjurkan program yang memerlukan kepada solekan, maka tolonglah ambil serius isu perbezaan jantina antara juru solek dan yang disolek.

5. Mungkin ada yang beralasan, “tidak mengapa jika tidak menyentuh kulit”, tetapi Islam memerintahkan umatnya menjaga mata pandangan. Sabda Nabi SAW: “mata juga berzina”. Melihat aurat wanita adalah sesuatu yang dilarang. Bahkan melihat wanita tanpa keperluan pun kita diperintah oleh Nabi SAW agar bersegera melarikan pandangan.

6. Saya dan KP PAS (saya yakin) bukanlah sengaja menghulurkan wajah untuk disolek, tetapi keizinan untuk disolek diambil oleh kami secara spontan tanpa sempat berfikir panjang. Inilah kelemahan manusia.

7. Saya cuba disolek kali pertama di dalam bilik (seperti di dalam gambar). Pada waktu itu saya baru tiba dalam kekalutan dan kelewatan, lalu disolek buat kali pertama. Tetapi saya telah meminta daripada juru solek untuk membersihkan sendiri. Namun oleh kerana ketidak”cekapan” saya dalam menyolek menyebabkan wajah saya bertapuk lalu juru solek tersebut melakukan touch up. Manakala kali kedua ketika di pentas, saya bermuhasabah kesilapan yang lalu maka saya tidak mengizinkan wajah saya disolek olehnya sekali lagi.

8. Wall Ustaz Fauzan menurut pendapat saya bertujuan menyedarkan pelampau politik yang memaksumkan tokoh-tokoh parti mereka bahawa setiap manusia tidak akan bebas dari silap dan salah termasuk KP PAS. Moralnya: Oleh itu, jangan kita mudah menghukum orang lain kerana seluruh manusia tidak maksum kecuali Nabi.

9. Saya berterima kasih atas nasihat Ustaz Fauzan dan sahabat-sahabat atas kesilapan ini. Moga Allah memberikan kekuatan untuk kita mengharungi fitnah dunia dan akhirat. Wallaahua’lam.

Ustaz Fathul Bari bin Mat Jahya

"Tolong padam gambar Fathul Bari sedang disolek"

"Tolong padam gambar Fathul Bari sedang disolek"

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan merayu kepada semua pihak khasnya penyokong Pakatan Rakyat agar jangan menyebarkan gambar Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya yang sedang disolek oleh wanita.

Ini berikutan ada pihak-pihak yang menyebarkan gambar itu untuk memalukan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) itu.

Gambar itu diambil ketika Fathul Bari dan Nasrudin disolek oleh jurusolek wanita ketika kedua-duanya menyertai debat anjuran Sinar Harian baru-baru ini.

"Dengan ini, Saya merayu agar gambar yang memaparkan sahabat saya Ustaz Fathul Bari disolek itu dipadamkan dan tidak disebarkan.

"Kita berpolitik secara matang dan berhemah tanpa perlu kita menyelak keaiban peribadi sesiapa.

"Sungguhpun saya berbeda pendapat dan berdebat dengan Ustaz Fathul Bari, suka saya tegaskan di sini, ianya tidak menghilangkan rasa hormat saya pada beliau dan saya tidak setuju beliau diaibkan sedemikian rupa," kata Nasrudin.

Nasrudin membuat gesaan ini melalui facebooknya yang sehingga kini sudah mendapat 41,986 likes dan 13,840 orang bercakap tentang perkara ini.

Dalam catatan itu, Nasrudin mengingatkan semua bahawa sekarang adalah bulan Ramdhan, bulan penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan Allah swt.

Justeru itu, katanya, beliau harap sangat - sangat agar tidak panjangkan isu 'make up' muka pada peristiwa Debat Sinar Harian yang bertajuk "PRU 13, Orang Muda Pilih Siapa?" baru - baru ini.

Menurut Nasrudin, beliau bersetuju bahawa juru solek wanita tidak sewajarnya bertindak sedemikian ke atas lelaki bukan mahramnya.

"Saya telah pun menegur pihak penganjur supaya menyediakan petugas juru solek lelaki untuk lelaki pada masa - masa akan datang," katanya.

Teguran itu, katanya, dibuat sebaik sahaja majlis debat selesai.

"Penganjur bersetuju dengan teguran saya," beritahu Nasrudin.

Menurut Nasrduin, beliau sendiri sukar mengelak apabila 'diserbu' oleh satu team petugas 'touch up' muka sewaktu rehat selepas pusingan pertama debat baru - baru ini.

Insiden itu dijadikan modal oleh pihak tertentu untuk menyerang peribadi beliau.

"Sedang ia berlaku tanpa rela dan saya tidak sempat mengelak diri kerana saya berada di atas kerusi pentas debat berdepan ratusan penonton dalam auditorium.

"Saya pun tidak menjangka mereka datang menerpa untuk touch up muka sewaktu rehat [untuk beri laluan kepada iklan tv penaja iaitu Astro Awani]," tulisnya lagi.

Pun begitu, apa yang berlaku sangat dikesali, katanya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang melontarkan nasihat dan teguran. Insyaallah di lain masa kami akan lebih berhati - hati," katanya lagi.


Saturday, July 21, 2012

Q&A: Hukum meneruskan makan ketika mendengar azan Subuh di bulan Ramadan.


Soalan saya:
Assalamu'alaikum wahmatullah wabarakatuh,

Wahai Shaikh kami yang mulia!

Saya mempunyai satu soalan tentang makan sahur: Adakah harus bagi seseorang yang mendengar Azan Subuh untuk meneruskan makan apabila mendengar Azan?[1] Ada beberapa ahli ilmu di Malaysia yang menyatakan harus untuk meneruskan makan sehingga habis apa yang di atas pinggan selepas mendengar azan, namun saya tidak puas hati dengan  pendapat ini.

Semoga Allah memberkatimu.

Shaikh Ali al-Halaby menjawab:
Sekiranya azan bertepatan pada waktu terbit Fajar Sadiq, maka tidak dibenarkan makan kecuali apa yang masih di dalam mulutmu atau di tanganmy sahaja. Manakala, sekiranya azan tidak bertepatan pada waktu Fajar Sadiq, maka harus makan sehingga terbit Fajar (sadiq).

Saya bertanya lagi:
Semoga Allah memberikan ganjaran baik untukmu, wahai Shaikh kami! Oleh itu, sesiapa yang mendengar Azan Subuh ketika sebiji pinggan yang penuh dengan makanan berada di tangannya, tidak dibenarkan baginya untuk terus makan kecuali apa yang di tangannya dan mulutnya. Dan ini telah diselisihi oleh sebahagian orang dan berfatwa bahawa ianya harus (untuk meneruskan makan) berdalilkan bahawa berhenti makan terus akan menyebabkan pembaziran.

Adakah pendapat ini pernah dikatakan oleh seorang Imam sebelum ini?

Semoga Allah memberkatimu.

Shaikh Ali al-Halaby menjawab:
Pembaziran apa seperti ini??!!
Subhanallah!



[1] Soalan ini berkenaan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (ra) yang berbunyi: “Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan dan bekas (makanan atau minuman) berada di tangannya, maka janganlah letakkannya sehingga kamu telah selesai hajatmu daripadanya.” [Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim – disahihkan oleh Imam al-Albani]

الاستمرار في الأكل عند سماع الأذان

السؤال:
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته يا شيخنا الفاضل
عندي سؤال حول أكل السحور: هل يجوز لمن سمع الأذان أن يستمر في الأكل عند سماع الأذان؟ قد أفتى بعض أهل العلم في ماليزيا بجواز الاستمرار في الأكل حتى يخلص ما في الصحيفة بعد سماع الأذان، ولكن لم أقتنع بالقول.

بارك الله فيكم

أجاب الشيخ علي الحلبي (حفظه الله):
إذا كان الأذان موافقا للفجر الصادق؛ فلا يجوز الاستمرار في الأكل إلا لما في فمك أو يدك فقط. وأما إذا لم يكن الأذان موافقا للفجر الصادق؛ فيجوز حتى يطلع الفجر.

السؤال:
قلت: جزاكم الله خيرا، شيخنا. إذًا، من سمع الأذان وصحيفته المملوؤة بالطعام كانت في يده لا يجوز له أن يستمر في الأكل إلا ما كان في يده (أي الطعام أم الشراب) أو فمه، وهذا قد خالفه البعض وأفتى بالجواز بدليل أن الإمساك يؤدي إلى التبذير.

هل قوله هذا قد سبقه إمام من الأئمة؟

بارك الله فيكم

أجاب الشيخ علي الحلبي (حفظه الله):
أي تبذير ذاك؟؟!!
سبحان الله!

Mungkinkah hadith tentang suara kuat malam Jumaat di pertengahan Ramadan adalah benar?


Merujuk kepada artikel saya tahun lepas (5hb May 2011) tentang hadith ini (sila lihat: http://abukhadeejah.blogspot.com/2011/05/untuk-makluman-semua-hadith-yang.html)



Saya telah menerima satu komen daripada seorang yang tidak memperkenalkan dirinya, dan saya salinkan di bawah komennya secara penuh:




Saya kata bahawa hadis ini mungkin benar. Dan kalau diikutkan kata kunci hadis ini ialah:


1) Tahun berlakunya banyak gempa bumi. Kalau ikut kan ulama terdahulu yang hidup. Jarang berlaku gempa bumi yang banyak dalam masa setahun. Itu sebab ulamak terdahulu atau puak salafi beranggapan bahawa hadis ini lemah sebab mereka hidup ditahun dimana gempa bumi jarang berlaku atau tiada pada tahun itu. Gempa bumi banyak berlaku di tahun 2011, 2012 dan keatas. Kalau diikutkan sebelum tahun 2010 jarang berlaku gempa yang berpanjangan.


2) Kata kunci kedua ialah anda buka google blog search dan baca mimpi pasal kiamat yang ditulis. Disitu anda dapat simpulkan bahawa ramai orang bermimpi akan hadis ini. Ingat Sabda Rasullullah dalam hadisnya yang berbunyi: Bila hampir kiamat, Setiap mimpi orang beriman akan bermimpi benar, Dan orang paling soleh pada waktu itu adalah mimpi yang paling tepat.


Saya harap anda dapat fikirkan



Berikut adalah jawapan saya:

Saya faham maksud "anonymous" dengan komennya ini, dan percaya niatnya baik.

Terdapat beberapa persoalan yang perlu dibahaskan tentang komen ini.



Persoalan Pertama:



Adakah hadith ini sahih?



Jelas daripada artikel yang disebutkan di atas bahawa hadith ini tidak sahih menurut kaedah-kaedah ulama Hadith dalam penilaian sanad bagi hadith tersebut.



Persoalan Kedua:



Bolehkah hadith ini digunakan mengikut pendapat sebahagian ulama bahawa hadith lemah boleh digunakan dalam bab Fadha'il A'mal (Fadhilat2 Amalan)?



Menurut ulama yang membenarkan hadith lemah dalam bab Fadha'il A'mal, mereka tidak bermaksud semua hadith lemah boleh digunakan sedemikian. Mereka sebenarnya maksudkan hadith-hadith yang lemah dari segi sanadnya tetapi tidak teruk kelemahannya, dan mereka jauh sekali daripada menerima pakai hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang berdusta atau dituduh berdusta. Dan jelas daripada keterangan ulama bahawa hadith ini diriwayatkan oleh perawi yang berdusta, bukan hanya lemah dari segi ingatan.



Persoalan Ketiga:



Adakah kemungkinan sesuatu hadith yang dihukum sebagai lemah sebenarnya telah disebutkan oleh nabi?



Ya, memang ada kemungkinan itu. Namun, kita tidak boleh menggunakan kaedah seperti ini sebagai alasan untuk beramal atau menerima pakai hadith-hadith yang lemah. Ini adalah kerana:

1.    Di penghujung sesuatu kajian tentang sesebuah hadith adalah pengesahan bahawa nabi pernah bersabda sedemikian dan ini bukannya sesuatu yang kita boleh lakukan sewenang-wenangnya, tanpa kaedah-kaedah yang tetap. Lebih2 lagi apabila ianya ada kaitan dengan agama.

2.    Seringkali dijumpai bahawa hadith yang dijumpai lemah pada sanadnya, ianya juga bercanggah dengan al-Quran atau hadith yang sahih, sekaligus menunjukkan bahawa kaedah-kaedah penilaian ulama hadith adalah berkesan dan sangat tepat.



Persoalan keempat:



Adakah kemungkinan bahawa fakta yang disebutkan di dalam sesuatu hadith yang lemah adalah benar?



Ya, ini juga satu kemungkinan. Namun, kita mesti bezakan antara kebenaran fakta kandungan hadith lemah dengan pengesahan sesuatu hadith sebagai sabda nabi! Oleh itu, seringkali kita dapati ulama mengatakan sesuatu hadith itu lemah, tetapi maknanya betul, menunjukkan hadith itu tidak menepati penilaian hadith sekaligus tidak dapat disahkan sebagai sabda nabi, tetapi makna hadith disokong oleh nas-nas al-Quran atau hadith yang sahih, atau fakta-fakta yang sahih.



Persoalan Kelima:



Apakah yang mesti kita lakukan untuk menggunakan sesuatu hadith?



Beberapa perkara mesti dilakukan untuk selamat dalam menggunakan hadith:

1.    Gunakan hadith-hadith di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, mengutamakan hadith yang terkandung di dalam kedua-dua kitab, kemudian Bukhari sahaja, kemudian Muslim sahaja.

2.    Apabila menggunakan hadith daripada selain kedua kitab di atas, dapatkan penilaian ulama hadith ke atas hadith itu samada dengan merujuk kepada ulama-ulama hadith, atau kitab-kitab mereka, atau merujuk kepada ustaz-ustaz yang boleh merujuk kepada ulama2 hadith atau kitab2 mereka.

3.    Boleh mengambil hadith yang disebut oleh ustaz2 atau di dalam kitab2 ilmu yang bukan hadith, dengan syarat kita kenal bahawa mereka atau penulis kitab tergolong di kalangan orang-orang yang berhati2 dalam menggunakan hadith.

4.    Gunakan hadith sahih dan hasan sahaja.

5.    Sekiranya hendak menggunakan hadith yang lemah, pastikan ianya tidak diriwayatkan oleh seorang pendusta atau dituduh berdusta, dan isi kandungan mempunyai sokongan daripada al-Quran atau hadith yang sahih atau asas-asas Islam.

6.    Sekiranya disebut hadith yang lemah, maka beritahu kepada pendengar atau pembaca bahawa hadith itu adalah hadith yang lemah.

7.    Sekiranya ingin beramal dengan hadith yang lemah, kerana sebahagian ulama membenarkannya, maka janganlah ianya diamalkan atas dasar ianya sesuatu yang sah dan sabit daripada nabi (sallallahu'alayhi wasallam).

8.    Sekiranya ingin beramal dengan hadith yang lemah, amallah sebagai amalan peribadi, apabila bersendirian.



Balik semula kepada komen "anonymous" tentang hadith suara kuat malam jumaat ini, kita tidak boleh mengesahkan hadith ini menurut kaedah2 ulama hadith, maka hadith ini kita tidak boleh mengatakan ianya benar sebagai sabda nabi. Oleh iu perkara2 yang dianjurkan di dalam kandungan hadith ini kita tidak boleh amalkan lebih2 lagi kelemahan hadith ini sangat ketara.



Walaupun kenyataan di dalam hadith ini sesuai dengan keadaan dunia sekarang ini seperti kejadian gempa bumi yang ketara kebelakangan ini, ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mengesahkan hadith ini sebagai sabda nabi.



Tetapi sekiranya timbul satu situasi ada suara keras yang kuat lagi menakutkan, mungkin hari Jumaat, atau apa-apa hari jua pun, saya rasa ramai akan lari masuk ke dalam rumah mereka, dan menutup pintu2 mereka khuatir ada penjahat, atau pemberontak, atau sesuatu yang merbahaya, dan sebagainya. Namun untuk mengamalkan Subhana al-Quddus, tidak disyariatkan. Amalan2 yang ditetapkan al-Quran dan Sunnah yang Sahih sedia ada dan banyak maka kita tidak perlu kepada hadith yang lemah, malah palsu, ini.



Manakala komen "anonymous" tentang mencari kata kunci di google dan mimpi orangramai yang mengesahkan kandungan hadith ini, saya kata yang berikut:

1.    Pengesahan hadith tidak boleh dilakukan dengan fakta-fakta betul, apatah lagi dengan mimpi-mimpi.

2.    Mimpi-mimpi hanya boleh disahkan sebagai mimpi benar sekiranya kandungan mimpi benar-benar terjadi. Oleh itu, selagi ianya tidak terjadi lagi, kita tidak dapat mengesahkan mimpi2 itu adalah benar, kerana di dalam hadith yang sahih nabi menyebutkan bahawa mimpi ada tiga jenis:

a.    Mimpi solehah

b.    Mimpi daripada syaitan

c.    Mimpi yang merupakan bisikan jiwa seseorang.



Bagaimana kita hendak mengenali di antara mimpi2 ini, tergolong dalam jenis yang mana satu? Ada kemungkinan bahawa Syaitan yang menyebabkan mimpi-mimpi ini untuk menyebabkan orangramai keliru dan percaya dengan hadith palsu ini! Sekiranya kita percaya dengan cara “kemungkinan”, maka ini adalah satu kemungkinan yang mesti diambil kira.



Yang jelasnya, hanya selepas terjadinya sesuatu kejadian baru kita tahu bahawa sesuatu mimpi itu adalah mimpi solehah.



Tentang komen “anonymous” yang mengatakan “Itu sebab ulamak terdahulu atau puak salafi beranggapan bahawa hadis ini lemah sebab mereka hidup ditahun dimana gempa bumi jarang berlaku atau tiada pada tahun itu.”, ini adalah alamat yang tidak sihat, pada pendapat saya:

1.    Kita tidak pertikaikan penilaian ulama terdahulu terhadap hadith dengan hujjah ini, kerana mereka menggunakan kaedah2 yang sama dalam penilaian hadith dengan ulama2 sekarang. Kaedah penilaian tidak berkait dengan waktu atau zaman.

2.    Sekiranya ini dijadikan hujjah, maka akan berleluasalah fahaman2 sesat seperti Muktazilah dan sebagainya kerana mereka juga berhujjah di zaman sahabat mereka tidak secekap zaman kemudian dalam menggunakan akal dan lojik akal.

3.    Digunakan perkataan “atau puak salafi” yang mempamerkan salah faham beliau, kerana “salafi” bukan puak. “Salafi” bermaksud seorang muslim yang mengikut jejak langkah, sikap dan cara memahami agama ulama2 as-Salaf as-Soleh. Persoalan:

a.    Adakah golongan as-Salaf as-Soleh golongan yang tercela atau sesat?

Jauh sekali, malah golongan ini yang terdiri daripada sahabat-sahabat nabi, generasi yang seterusnya, dan yang seterusnya, telah dipuji oleh nabi dalam hadith2 yang tidak boleh diragukan, iaitu hadith bertaraf mutawatir.

b.    Adakah salah mengikut golongan as-Salaf as-Soleh?

Mana mungkin ianya salah, sedangkan kita disuruh mengikut jejak langkah orang-orang soleh.

c.    Adakah kita diperintah untuk mengikut golongan as-Salaf as-Soleh? Ya! Kita diperintah oleh Allah dan RasulNya untuk mengikut golongan ini. Bukankah Allah menyatakan redhaNya kepada sahabat2 dan sesiapa yang mengikut sahabat? Lihat surah at-Taubah:100. Bukankah nabi pernah mengatakan umat Islam akan terbahagi kepada 73 pecahan, dan yang selamat adalah mereka yang mengikut jalan Rasulullah dan sahabat2nya?

Oleh itu, “salafi” bukanlah suatu puak, tetapi mereka adalah sesiapa sahaja yang mengikut jejak langkah as-Salaf as-Soleh dalam memahami agama, baik perkara2 ibadat, muamalat, akhlak, lebih-lebih lagi Aqidah. Sesiapa yang menganggapkan dirinya salafi seperti satu kumpulan politik, atau jemaah yang mengatur ahli2nya seperti Ikhwan al-Muslimin, maka dia sudah jauh menyimpang daripada kefahaman sebenarnya.


Saturday, July 7, 2012

Bahaya menyebarkan Hadith tanpa Usul Periksa

[Ini adalah respon saya kepada beberapa teguran para pembaca email2 yang saya sebarkan untuk menerangkan tentang hadith-hadith lemah dan palsu yang tersebar luas, malah digunapakai oleh umat Islam di Malaysia]

Saya minta maaf kerana menulis dan menyebarkan tentang masalah hadith lemah dan palsu tetapi tidak menerangkan kenapa saya lakukan sedemikian. Dan saya faham bahawa semua yang membalas email saya berniat baik dan bersangka baik. Semoga Allah berikan kepada kita semua Hidayah dan Taufiq kepada memahami Islam sepertimana yang Dia maksudkan. Berikut adalah penerangan yang agak panjang tetapi bermanfaat untuk memahami bagaimana ulama Islam menjaga kemurniaan Islam.
Adakah cukup niat sahaja?
Ada di antara email yang saya terima menyatakan bahawa yang penting adalah niat kita.

Namun di dalam Islam, niat sahaja tidak mencukupi, tetapi amalan itu sendiri mesti betul. Oleh itu kita dengar ungkapan: “Niat tidak menghalalkan cara.”
Dalil2nya banyak, cukup dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (ra): Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak lihat kepada rupa2 kamu dan harta2 kamu, tetapi (Dia) lihat kepada hati2 kamu dan amalan2 kamu.” [Sahih Muslim]
Bahaya Menyebarkan Hadith tidak sahih
Sebenarnya, menyebarkan hadith secara sewenang-wenangnya tanpa usul periksa adalah suatu perbuatan yang mungkar dan merbahaya, dan dilarang oleh Allah dan junjungan kita, nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam). Berikut adalah dalil2nya:
Dalil daripada al-Quran:
1.     “Wahai orang2 yang beriman! Sekiranya seorang fasiq datang kepada kamu dengan sesuatu khabar, maka periksalah dengan teliti.” [al-Hujurat: 6] – Isyarat daripada Allah untuk memeriksa kesahihan sesuatu berita atau pengkhabaran.
2.     Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggung-jawabkan.” [al-Isra’ : 36]
Dalil daripada Hadith:
1.     “Sesiapa yang sengaja berdusta kepada-ku, maka sediakanlah tempat tinggalnya di dalam neraka.” [Sahih Bukhari dan Muslim]
2.     “Sesiapa yang meriwayatkan daripadaku hadis yang dianggap dusta, maka dia termasuk dalam kalangan pendusta.” [Sahih Muslim]
3.     “Sudah cukup seseorang itu (mendapat) dosa, bahawa dia meriwayat (tanpa usul periksa) apa sahaja yang dia dengar.” [Sahih Sunan Abu Daud]
4.     “Sudah cukup seseorang itu (dikira) berdusta, bahawa dia meriwayat (tanpa usul periksa) apa sahaja yang dia dengar.” [Sahih Muslim]
5.     “Akan ada di Akhir Zaman para Dajjal, Pendusta, mereka datang kepada kamu dengan hadith-hadith yang kamu tidak pernah dengar, dan tidak juga nenek moyang kamu. Maka berhati-hatilah kamu dan berjaga-jagalah dengan mereka (agar) mereka tidak menyesatkan kamu dan menguji kamu...” [Sahih Muslim]
Sebab-sebab lahirnya hadith Palsu
Banyak sebab-sebab lahirnya hadith palsu yang telah dikenalpasti oleh ulama-ulama hadith, dan sebab-sebab ini terus wujud sehinggalah ke akhir zaman. Di antaranya (secara ringkas):
1.       Kecenderungan politik
2.       Fanatik mazhab
3.       Golongan fanatik (asabiyah)
4.       Ahli-ahli bid’ah
5.       Ahli-ahli sufi yang sesat
6.       Ulama yang melobi pemerintah
7.       Tukang cerita
8.       Orang-orang yang mencari rezeki
9.       Kepentingan peribadi
10.   Mencari nama atau kemasyhuran
Ilmu Hadith
Kita perlu tahu bahawa di dalam ilmu Islam, ada satu cabang ilmu yang sangat penting tetapi ramai yang tidak tahu tentangnya atau tidak endah dengannya. Cabang itu adalah Ilmu Hadith. Cabang ilmu inilah yang diperlukan untuk mengenalpasti kesahihan hadith2, yang bermula sejak zaman sahabat lagi secara beransur-ansur.
Setiap hadith terdiri daripada dua bahagian:
1.       Sanad atau Isnad hadith – rantai perawi daripada ulama yang mengumpulkan hadith itu sehinggalah sahabat atau Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam)
2.       Matan hadith – isi kandungan hadith samada sabda baginda, akhlak baginda, perbuatan baginda, sifat baginda, dan taqrir (iaitu tidak menegur sesuatu yang berlaku dalam pengetahuan baginda)
Contoh sanad dan matan untuk hadith pertama dalam Kitab hadith Sahih al-Bukhari:
قال البخاري حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ
قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

a.      Berkata Imam al-Bukhari: al-Humaidi (guru Imam Bukhari) telah meriwayatkan kepada kami; Sufyan (Ibn ‘Uyaynah) telah meriwayatkan kepada kami; Yahya bin Sa’id al-Ansari telah meriwayatkan kepada kami; Muhammad bin Ibrahim at-Taymi telah memberitahu kepadaku bahawa dia mendengar ‘Alqamah bin Waqqas al-Laythi berkata: Aku telah mendengar Umar bin al-Khattab (ra) di atas minbar berkata: Aku telah mendengar Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda:
b.     “Hanyalah amalan2 bergantung kepada niat2nya, dan bagi setiap seseorang itu apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah untuk mendapat (habuan) dunia, atau untuk menikahi seorang wanita, maka hijrahnya menurut tujuan dia berhijrah.”
Untuk pengetahuan semua, (a) adalah sanad, dan (b) adalah matannya. Setiap perawi yang dinamakan di atas mempunyai latarbelakang yang lengkap di kalangan ulama hadith.
Contohnya, secara ringkas:
Imam al-Bukhari – Nama sebenar Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah. Dilahirkan 194H. Seorang Imam besar dalam ilmu hadith dan kefahaman hadith. Meninggal dunia 256H.
Al-Humaidi (Guru al-Bukhari)– Nama sebenar Abdullah bin az-Zubair bin Isa bin ‘Ubaidillah bin Usamah. Seorang ulama besar, Hafiz (hadith), Faqih, dan dipercayai. Meninggal dunia pada tahun 219H di Mekah.
Yahya bin Sa’id al-Ansari – Daripada golongan tabi’in. Seorang Imam, Hafiz, Faqih, Hujjah, dipercayai dan tepat (hafalannya). Meninggal dunia 144H.
Muhammad bin Ibrahim at-Taymi – Daripada golongan tabi’in, Seorang yang dipercayai, perawi bagi kitab2 Sunan Sittah (Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, An-Nasaa’i, Ibn Majah). Meninggal dunia 120H.
‘Alqamah bin Waqqas al-Laythi – Daripada golongan tabi’in. Seorang yang dipercayai, tepat (hafalannya). Meninggal dunia di zaman Khilafah Abdul Malik  di Madinah.
Umar bin al-Khattab – Sahabat nabi yang masyhur.
Sekiranya sesuatu hadith tidak mempunyai sanad, maka hadith ini tiada asalnya, dan pada hakikatnya, tidak wujud. Sekiranya ada sanad tetapi di kalangan perawinya ada yang lemah ingatan, atau banyak melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadith, atau pendusta, maka sanad itu dikira lemah dan hadith itu ditolak. Sekiranya sanad itu terputus kerana adanya seorang perawi meriwayatkan daripada seorang yang dia tidak pernah jumpa atau tiada kemungkinan berjumpa, maka hadithnya tertolak.
Ulama2 Islam melarang meriwayatkan hadith yang lemah, kecuali hadith2 yang tidak berapa lemah sangat dalam Fadha'il  a'mal (Fadhilat-fadhilat beramal) menurut satu pendapat ulama.
Masalahnya, siapa antara kita tahu sesuatu hadith itu kelemahannya teruk atau tidak, boleh digunakan untuk menggalakkan sesuatu amalan atau tidak?
Contoh Perbincangan tentang hadith yang lemah
Kita ambil contoh salah satu hadith tentang Nisfu Sya’ban:
Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Jika malam nisfu Sya’ban tiba, maka salatlah di malam hari, dan berpuasalah di siang harinya, kerana sesungguhnya pada malam itu, setelah matahari terbenam, Allah turun ke langit dunia dan berkata: Adakah yang beristighfar kepadaKu, lalu Aku ampuninya, Adakah yang memohon rezeki, lalu Aku berikan rezekinya , adakah yang tertimpa bala’, lalu Aku selamatkannya, demikian seterusnya hingga terbitnya fajar.” [Sunan Ibn Majah (1/421)].
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn al-Jawzi di dalam kitab al-‘Ilal (2/561), dan Imam al-Bayhaqi di dalam kitab Sy’uab al-Iman (3/378-379) dan Fada’il al-Awqat (24).
Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Majah di dalam kitab Sunan dengan sanad berikut:
Ibn Majah ß Al-Hasan bin Ali al-Khallal ß Abdur-Razzaq ß Ibn Abi Sabrah ß Ibrahim bin Muhammad ß Muawiyah bin Abdullah ß bapanya ß Ali bin Abu Talib ß Rasulullah
Semua sanad hadith ini samada dalam Sunan Ibn Majah mahupun kitab-kitab lain bergantung kepada riwayat Ibn Abi Sabrah.
Ibn Abi Sabrah – Namanya Abu Bakar (Nama sebenar diperselisihi: Abdullah atau Muhammad) bin Abdullah bin Muhammad bin Abi Sabrah. Seorang yang berilmu tetapi dituduh memalsukan hadith. Meninggal pada tahun 162H.
Seorang ulama hadith bernama al-Busairi berkata tentang sanad hadith ini: “Isnadnya lemah kerana kelemahan perawi Ibn Abi Sabrah.”
Imam Ahmad dan Yahya bin Ma’in, dua ulama hadith yang masyhur berkata tentang Ibn Abi Sabrah: “Dia memalsukan hadith.”
Ibn Rajab pula berkata: “Isnadnya lemah.”
Imam al-Munzhiri juga mengisyaratkan kepada kelemahan hadith ini.
Oleh itu, Imam al-Albani menghukumkan hadith ini sebagai Mawdhu’, iaitu hadith palsu.
Akhirkata
Saya berharap keterangan di atas cukup untuk memberikan gambaran bahaya bermain-main dengan hadith tanpa usul periksa, dan juga menimbulkan kesedaran tentang pentingnya cabang ilmu Islam yang dinamakan Ilmu Hadith. Semua ini menunjukkan bahawa sumber-sumber Islam adalah sumber-sumber yang boleh dipercayai dan diyakini.
Semoga Allah membuka dan melapangkan dada2 kita semua untuk menerima kefahaman agama yang betul.