Saturday, November 28, 2009

Sunnah vs. Bid’ah – Masalah Sikap!

Sikap seorang yang beriman mestilah berbeza daripada sikap orang-orang yang telah Allah murkai dan orang-orang yang sesat. Itulah yang kita sering baca, malah sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari, dan bacaan itu pula merupakan perintah Allah dalam bentuk doa.

Firman Allah: “Tunjuklah kami jalan yang lurus, jalan mereka yang Engkau telah kurniakan nikmat ke atas mereka, dan bukan (jalan) mereka yang Engkau murkai dan (bukan jalan) mereka yang sesat.” [al-Fatihah: 6-7]

Siapakah "mereka yang telah dikurniakan nikmat"?

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah (Quran) dan Rasul(Sunnah), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dikurnia nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para siddiqeen, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”
[an-Nisaa’:69]

Siapakah mereka "yang dimurkai dan mereka yang sesat"?

Tafsir nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) terhadap ayat di atas (Surah al-Fatihah) : “Yang dimurkai” adalah orang-orang Yahudi, dan “Yang sesat” adalah orang-orang Kristian.
[Musnad Ahmad no. 18572, Sahih Ibn Hibban no. 7206]

Saya ingin mengulangi cerita ini, yang menggambarkan sikap seorang yahudi dan sikap seorang mukmin yang sejati.

Seorang Yahudi berjumpa dengan Umar bin al-Khattab, sambil berkata: “Kamu membaca satu ayat dalam kitab kamu, sekiranya diturunkan kepada kami, orang-orang Yahudi, nescaya kami akan menjadikannya suatu hari perayaan!”

Umar bertanya: “Ayat manakah itu?”

Kata orang yahudi tersebut: Hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah melengkapkan NikmatKu, dan Aku redha Islam sebagai agama kamu.”
[al-Ma'idah: 3]

Jawapan Umar al-Farooq: “Demi Allah, aku memang tahu hari ianya diturunkan kepada Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), dan waktu ianya diturunkan kepada Rasulullah. Ianya turun pada petang Hari ‘Arafah pada hari Jumaat.”
[Riwayat al-Bukhari]

Di dalam riwayat lain, Umar menyebutkan bahawa ayat itu diturunkan pada 2 hari Raya (iaitu Hari Arafah dan Hari Jumaat).

Sabda nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam): Hari Arafah (9 Zulhijjah), Hari an-Nahr (10 Zulhijjah) dan Hari-Hari Tashriq (11-13 Zulhijjah) adalah hari-hari perayaan bagi kita Orang-orang Islam dan ianya hari-hari makan dan minum.”
[Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i - disahihkan oleh al-Albani]

Sabda nabi: Puasa pada hari Arafah Allah akan mengampunkan dosanya yang dilakukannya pada tahun lalu dan tahun yang akan datang.”
[Sahih Muslim]

Dan Abu Hurairah pernah berkata bahawa nabi melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang di Arafah. [Abu Daud – Hadis da’if menurut al-Albani]

Pada hakikatnya, Hari Arafah adalah Hari raya bagi mereka yang sedang Wukuf di Arafah sahaja, sedangkan ianya disunatkan berpuasa bagi selain mereka di seluruh dunia.

Lihat sikap Umar bin al-Khattab, al-Farooq! Beliau tidak langsung berfikir seperti Yahudi itu! Sekiranya Umar bersikap seperti orang yahudi itu nescaya dijadikan Hari Arafah sebagai Hari Perayaan bagi semua umat Islam, maka Hari Perayaan umat Islam akan menjadi:

1. Hari Agama Islam Lengkap – jatuh pada Hari Arafah
2. Hari Raya Korban (Aidil Adha) – Hari an-Nahr
3. Hari Raya Puasa (Aidil Fitri)

Saya rasa jelas perbezaan sikap antara Umar dan orang yahudi tersebut! Umar tidak melakukan lebih daripada apa yang ada di dalam Sunnah nabi!

Tetapi Yahudi pula mengikut perasaan, hari yang gembira seperti turunnya ayat lengkapnya Agama, sudah tentu layak untuk dijadikan perayaan, pada sangkaan mereka!!

Lihat pula kepada sikap ramai umat Islam sekarang, perayaan Maulud Nabi yang dipersetujui semua umat Islam bahawa ianya tidak pernah dirayakan oleh nabi sendiri, mahupun sahabat-sahabatnya, tetapi atas alasan perasaan “Cinta kepada Rasul”, mereka menjadikan ia Hari Perayaan.

Tidak perlu saya hukumkan bid’ah atau tidak. Memadai saya katakan:

“Adakah kita redha bersikap seperti seorang Yahudi, walaupun berdoa setiap hari agar dijauhkan daripada mengikut jalan orang-orang yang dimurkai (yahudi) dan yang sesat (nasrani)?!”

No comments:

Post a Comment