Soalan: Adakah diharuskan memotong rambut dan kuku ketika dalam keadaan junub sebelum mandi wajib?
Jawapan oleh Shaikh ‘Atiyyah Saqr (May 1997), bekas Ketua Jawatankuasa Fatwa al-Azhar, Mesir:
Disebutkan di dalam kitab Sharh al-‘Iqna’ bagi Matn Abu Shuja’ jilid 1 ms. 60 di dalam mazhab Shafi’e: (Imam al-Ghazali) telah berkata di dalam al-Ihya (Ihya Ulumuddin oleh Imam Ghazali): "Tidak boleh bercukur (rambut), atau memotong (kuku), atau mencukur (iaitu bulu ari-ari), atau mengeluarkan darah, atau menceraikan daripada dirinya satu bahagian sewaktu sedang junub, kerana bahagian-bahagian ini akan kembali kepadanya di Akhirat dalam keadaan junub. Dikatakan: Setiap helai rambut akan menuntut kepadanya sebab keadaan junubnya."
Tetapi, kata-kata ini tidak ada dalil bagi melarang perkara ini ketika dalam keadaan junub, dan tiada juga (dalil) tentang tuntutan bahagian yang tercerai (dari badan) ketika dalam keadaan junub pada Hari Kiamat.
Soalan seperti ini pernah diajukan kepada Ibn Taymiyyah seperti kata as-Safarini di dalam kitabnya Ghaza’ al-Albab jilid 1 ms. 382. (Ibn Taymiyyah) telah menjawab:
“Telah sabit daripada nabi (saw) bahawa apabila disebut kepadanya mengenai junub, sabda baginda: “Sesungguhnya seorang mukmin tidak akan menjadi najis, ketika hidup ataupun ketika mati.” “
Katanya lagi: “Saya tidak tahu apa-apa dalil shara’ pun bagi mengatakan makruh memotong rambut seseorang yang dalam keadaan junub, mahupun kukunya, malahan, nabi telah bersabda: “Buanglah rambut kufur daripada kamu dan berkhatanlah!” Maka, nabi memerintah orang yang masuk Islam dengan perkara ini dan tidak memerintahnya menundakan berkhatan dan memotong rambut sehingga setelah mandi junub. Mutlak kata-katanya menunjukkan harusnya kedua-dua perkara itu (iaitu memotong rambut dan berkhatan dalam keadaan junub). Begitu juga seorang perempuan yang sedang haid diperintah agar menyikat rambut ketika mandi sedangkan menyikat rambut boleh menggugurkan sebahagian rambut. Oleh itu, kita tahu bahawa perkara ini tidaklah makruh, dan apa sahaja yang disebutkan itu (dalam soalan) tiada asas baginya. Telah berkata ‘Ataa (bin Abi Rabah, tokoh tabi'een yang meninggal 114H): “Seorang yang dalam keadaan junub harus berbekam, memotong kuku-kukunya, mencukur kepalanya walaupun dia belum mengambil wudhu.” [Riwayat al-Bukhari]
No comments:
Post a Comment