Wednesday, November 25, 2009

Menjawab Dakwaan Terhadap Wahabi 3

Ini sambungan jawapan terhadap semua perkara yang dibangkitkan dalam artikel-artikel (1-5) yang kononnya Wahabi sesat kerana perkara-perkara tersebut, iaitu:
1. Tauhid Asma was-Sifat (Nama-nama dan Sifat-Sifat Allah)*
    a. Allah di atas ‘Arasy – duduk , arah dan menetap (istiwa)
    b. Nafikan jisim, pancaindera, anggota perkataan cela
    c. Allah mencipta manusia menurut gambaran
    d. Allah mempunyai had yang diketahui Allah sahaja
    e. Allah bergerak, tempat tinggi dan tempat rendah, turun dan naik
    f. Tidak menafikan lidah untuk Allah
    g. Lafaz Qadim dari falsafah
    h. Kalam Allah dengan huruf dan suara
    i. Kursi tempat letak kedua kaki Allah
2. Neraka akan binasa
3. Adam bukan nabi atau Rasul
4. Kafirkan orang Islam kerana aqidah bertentangan
5. Asya’irah dan Maturidiyah bukan ASWJ
6. Tauhid Uluhiyah (Ibadat)
    a. Abu Lahab & Abu Jahal lebih banyak tauhid dari umat Islam
    b. Bertuhankan Sayyid Ahmad al-Badawi
    c. Orang Syam menyembah Ibnu ‘Arabi
    d. Orang Hijaz dan Yaman tersebar ibadat kepada Taghut, pokok, batu, kubur
7. Bid’ah
    a. Sambutan Maulid Nabi
    b. Sambutan Lailatul-Qadr
    c. Sambutan Isra’ dan Mi’raj
    d. Nisfu Syaaban – khususkan puasa dan Qiyamullail

Nombor (1), (5) dan (7) telah dijawab secara ringkas dalam JAWAPAN 1, Nombor (6) telah dijawab dalam JAWAPAN 2.

Ringkasannya:

1. Aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah yang sebenar adalah Aqidah Salaf. Kaedahnya: Beriman dengan Sifat-Sifat Allah yang disebutkan oleh Allah dan RasulNya, tanpa bertanya bagaimana, atau macamana, atau cuba dibayangkan. Sebutan-sebutan yang tidak disebut oleh Allah dan RasulNya tidak boleh digunakan kerana kita tidak tahu perkara ghaib KECUALI daripada wahyu!
2. Hati-hati dan tinggalkan perkara-perkara baru dalam agama sepertimana nasihat nabi!
3. Tauhid mempunyai beberapa aspek, untuk menjadi Ahli Tauhid, semua aspek mesti dipatuhi! Sekiranya tidak, maka dikhuatiri mati dalam kesyirikan. Aspek-aspek penting dalam Tauhid:
    a. Beriman bahawa Allah yang mencipta semua, memberi rezeki dan mentadbir seluruh alam semesta.
    b. Beriman bahawa Allah sahaja yang berhak disembah, dan sembahan atau ibadat termasuk: doa, nazar, takut, harap, bersumpah, meminta hajat, meminta pertolongan, dsb.

Jawapan kepada perkara 2 -5:

Neraka akan binasa

Ini adalah masalah khilafiyah yang memang ada beza pendapat antara ulama Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Beza pendapat dalam masalah Aqidah pada cabangnya, tidak memudaratkan. Beza pendapat ini ada asas pegangan, bukan tanpa asas. Perbezaan pendapat tentang Neraka samada ianya kekal selama-lamanya atau bila tiba masanya ia akan binasa, adalah berdasarkan ayat al-Quran berikut:

“Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan merintih), mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.”
[Hud : 106-107]

Pendapat ini ada disebut di dalam kitab-kitab yang dipegang oleh Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah, seperti Tafsir at-Tabari, dan ad-Dur al-Manthur oleh Imam as-Suyuti. Namun begitu, pendapat ini telah dibantah oleh ramai ulama secara ilmi, dan dalil-dalilnya telah diputuskan sebagai lemah oleh ulama hadith. Golongan Ahbash mengatakan Shaikh Bin Baz, bekas Mufti Arab Saudi memuji sebuah buku yang menceritakan tentang Neraka akan binasa, cuba mengatakan bahawa Wahabi berpendapat demikian. Pada hakikatnya, Shaikh Bin Baz berpendapat seperti berikut:

“Beberapa ulama salaf telah mengatakan bahawa Neraka ada tempoh dan ada penghujung selepas beberapa ribu tahun dan masa yang lama, dan ahli-ahli neraka akan mati atau keluar daripadanya. Pendapat ini lemah bagi jumhur Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah, malah ianya batil, ditolak oleh banyak dalil-dalil di dalam Quran dan Sunnah seperti yang telah lalu. Pendapat Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah sudah tetap bahawa ianya (Neraka) kekal selama-lamanya dan mereka tidak akan keluar daripadnya, dan ianya tidak akan binasa….”
[Kumpulan Fatwa Bin Baz Jilid 4 ms 361]

Semua ulama besar yang mengikuti jejak sahabat-sahabat nabi masa kini berpendapat bahawa Neraka kekal selama-lamanya, dan pendapat-pendapat mereka ada sekiranya hendak dilihat.

Golongan Ahbash memang licik membuat tuduhan seperti ini, namun kebenaran tetap menyerlah!

Adam bukan nabi ataupun Rasul

Nabi Adam (’alaihi as-salam) adalah nabi yang pertama namun bukanlah Rasul Pertama, dan Rasul Pertama adalah Nabi Nuh (’alaihi as-salam), sebagaimana hadith dalam Sahih al-Bukhari:

Anas bin Malik (radiyallahu 'anhu) dalam hadith syafaat menceritakan bahwa Nabi (sallallahu 'alayhi wasallam) mengatakan, nanti orang-orang akan datang kepada nabi yang pertama, Adam untuk meminta syafaat, tetapi Nabi Adam meminta maaf kepada mereka seraya berkata, "Pergilah kepada Nuh, rasul pertama yang diutus Allah ." [Al Bukhari]

Dan memang inilah ‘Aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah dan juga semua yang mengikut jejak sahabat nabi. Itulah juga yang dikatakan ulama yang dituduh Wahhabi, seperti Shaikh Bin Baz, Shaikh Uthaimeen, Shaikh al-Albani, dan lain-lain, daripada kalangan ulama-ulama besar.

Mengkafirkan orang Islam

Mengenai mengkafir orang Islam, memang Islam tidak membenarkan kafir mengkafir antara satu sama lain. Tolong bezakan antara dua perkara di bawah:

1. Mengajar sesuatu dosa sebagai syirik atau kufur, dan memberi amaran sekiranya seseorang mati tanpa bertaubat daripada dosa syirik dan kufur, maka mati sebagai musyrik atau kafir! Ini semua dalam lingkungan dakwah.
2. Menghukum seseorang sebagai kafir, murtad

Dalam keadaan biasa, umat Islam hanya boleh melakukan perkara (1) iaitu mengajar, atau berdakwah. Tetapi perkara (2) hanya boleh dilakukan oleh mahkamah syariah setelah kesemua syarat-syarat dipenuhi dan halangan-halangan tiada. Kaedah ini memang sentiasa ditegaskan oleh para ulama yang mengikut jejak langkah sahabat-sahabat nabi.

Kafir mengkafir ini yang gembar-gemburkan adalah salah satu dari 3 yang berikut:

1. Golongan Ahbash telah mengambil kenyataan-kenyataan ulama yang berbentuk mengajar dan memberi amaran, dan menjadinya sebagai “mengkafir umat Islam”!
2. Golongan Ahbash meletakkan maksud yang mereka hendakkan untuk memburuk-burukkan para ulama yang mengikuti jejak langkah salaf as-soleh. Ertikata lain, mereka berdusta dalam dakwaan mereka! Atau mereka mengambil kenyataan keluar daripada konteksnya yang sebenar.
3. Golongan Ahbash telah mengambil kenyataan-kenyataan ekstrimis yang memang suka kafir mengkafir, seperti golongan Jihadi, yang mana mereka ini sering dibantah oleh para ulama yang mengikut salaf as-soleh.

Oleh itu, saya nasihat sekiranya terjumpa artikel-artikel yang menuduh bukan-bukan seperti artikel (Pendapat Ahli Sunnah vs. Wahhabi) bersiri 1-5 ini, periksalah dahulu kerana golongan Ahbash terkenal dengan penipuan, pendustaan, penyelewengan fakta dan pengambilan kenyataan luar konteks (helah). Dan lebih membimbangkan lagi, merekalah yang banyak mengkafirkan ulama-ulama dahulu dan sekarang.

Sila baca tulisan Dr. MAZA yang berikut:
http://drmaza.com/home/?p=835#more-835

No comments:

Post a Comment