عن عبد الله بن عمرو بن العاصي، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم ونحن عنده: " طوبى للغرباء "، فقيل: من الغرباء يا رسول الله ؟ قال: أناس صالحون، في أناس سوء كثير، من يعصيهم أكثر ممن يطيعهم
[Musnad Ahmad. Kata Shu'aib al-Arnaut: Hasan lighairihi]
Saya telah menerima artikel-artikel bersiri (1-5) tentang Ahlus-Sunnah wal-Jama'ah vs. Wahabi melalui email, dan saya rasa ianya perlu difahami dengan betul. Kandungan artikel-artikel tersebut adalah terjemahan daripada website (dlm bahasa arab) golongan Ahbash:
http://www.sunna.info/roudoud/index.php
Siapakah golongan Ahbash ini? Keterangan mengenai mereka, fatwa-fatwa terhadap mereka dan jawapan kepada tohmahan-tohmahan mereka boleh dibaca di website-website berikut:
http://bankahbash.blogspot.com/
http://ahbash-jahil.blogspot.com/
http://ahbash-sesat.blogspot.com/
http://ahbash-deviated.blogspot.com/
Saya bukan hendak kata di sini ada golongan yang digelar "Wahabi", kerana “wahabi” ini suatu nama jolokkan sahaja, sedangkan mereka yang ditohmah dengan nama Wahabi tidak merestui nama itu sama sekali. Mereka yang ditohmah lebih suka perkataan Salafi, yang bermaksud: “Orang yang mengikut golongan salaf as-soleh (sahabat2 nabi, generasi selepas itu, dan generasi selepas itu – 3 generasi yang dipuji oleh nabi).”
Kalau saya nak jawab satu persatu, ianya mengambil masa kerana kitab-kitab ulama mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan telah banyak ditulis oleh para ulama, berjilid-jilid banyaknya. Saya akan menjawab dengan jawapan yang ringkas, insyaAllah.
Semua perkara yang dibangkitkan di dalam artikel bersiri (1-5) adalah seperti berikut:
Wahabi sesat kerana perkara-perkara di bawah:
1. Tauhid Asma was-Sifat (Nama-nama dan Sifat-Sifat Allah)
a. Allah di atas ‘Arasy – duduk , arah dan menetap (istiwa)
b. Nafikan jisim, pancaindera, anggota perkataan cela
c. Allah mencipta manusia menurut gambaran
d. Allah mempunyai had yang diketahui Allah sahaja
e. Allah bergerak, tempat tinggi dan tempat rendah, turun dan naik
f. Tidak menafikan lidah untuk Allah
g. Lafaz Qadim dari falsafah
h. Kalam Allah dengan huruf dan suara
i. Kursi tempat letak kedua kaki Allah
2. Neraka akan binasa
3. Adam bukan nabi atau Rasul
4. Kafirkan orang Islam kerana aqidah bertentangan
5. Asya’irah dan Maturidiyah bukan ASWJ
6. Tauhid Uluhiyah (Ibadat)
a. Abu Lahab & Abu Jahal lebih banyak tauhid dari umat Islam
b. Bertuhankan Sayyid Ahmad al-Badawi
c. Orang Syam menyembah Ibnu ‘Arabi
d. Orang Hijaz dan Yaman tersebar ibadat kepada Taghut, pokok, batu, kubur
7. Bid’ah
a. Sambutan Maulid Nabi
b. Sambutan Lailatul-Qadr
c. Sambutan Isra’ dan Mi’raj
d. Nisfu Syaaban – khususkan puasa dan Qiyamullail
Sebelum saya menjawab tuduhan-tuduhan di atas, ada satu nasihat yang amat penting, yang menjadi pegangan ulama zaman dahulu dan sekarang. Nasihat ini tersebut di dalam hadith al-‘Irbaad ibn Sariyah: Sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam): “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan taat (kepada pemerintah) walaupun yang menjadi pemerintah adalah seorang hamba. Sesiapa yang hidup (lama) di antara kamu, dia akan lihat banyak perselisihan. Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang diberi petunjuk selepasku.Gigitlah ia dengan gigi gerahammu. Dan hati-hatilah dengan perkara-perkara yang baru (dalam agama), kerana setiap perkara yang baru (dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.”
[Hasan Sahih - Tirmizhi, Abu Daud dll]
Nabi nasihatkan kita berpegang kepada Sunnahnya dan Sunnah Khulafa ar-Rasyidin. Dalam hadith yang lain pula, nabi menceritakan bahawa umatnya akan tebahagi kepada 73, dan yang selamat adalah: “Mereka yang berada di atas jalanku dan sahabat-sahabatku.”
Maksudnya, aliran yang betul dan berada pada jalan yang lurus adalah mereka yang benar-benar mengikuti Sunnah nabi menurut kefahaman sahabat-sahabatnya.
Maknanya, Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah boleh diterjemahkan sebagai “Mereka yang mengikut Sunnah dan sahabat-sahabat nabi”!
Sejarah Ringkas
Cuba bayangkan zaman sahabat di waktu itu, umat Islam sedang mengikuti jalan yang lurus dan benar. Dan semakin lama selepas wafatnya Rasulullah, dan Negara Islam semakin membesar melalui penaklukan, semakin ramai orang yang masuk Islam di tempat-tempat yang jauh daripada pusat ilmu Islam, iaitu al-Madinah al-Munawwarah. Maka lojiknya, Sunnah nabi dan kefahaman yang betul akan mula cair dan mulalah perkara-perkara baru masuk ke dalam agama Islam.
Fahaman Syi’ah yang diapi-apikan Abdullah bin Saba’ (seorang pendeta Yahudi dari Yaman yang masuk Islam) mula muncul dalam 30 hijriyah. Pada 37 hijriyah selepas perang Siffin (peperangan saudara sesame Islam), timbul puak Khawarij. Permulaan abad kedua hijriyah pula timbul kaum Muktazilah yang dipimpin oleh Wasil bin ‘Ata (80 – 113H) dan Umar bin Ubeid (mati 145H). Ketika ini juga kitab-kitab falsafah Yunani diterjemah ke bahasa arab, maka berleluasalah fahaman ini yang lebih mendahulukan aqal berbanding dengan Quran dan Sunnah. Dan seterusnya, banyak lagi fahaman-fahaman sesat yang muncul.
Anehnya, KH Sirajuddin Abbas, yang mengarang kitab I’tiqad Ahlussunnah wal-Jamaah mengatakan bahawa “Sebagai reaksi dari firqah-firqah sesat tadi maka pada akhir abad ke 3 Hijriyah timbullah golongan yang bernama Kaum Ahlus-Sunnah wal Jama’ah, yang dikepalai oleh dua orang Ulama besar dalam Ushuluddin, yaitu Sheikh Abu Hasan Ali al-Asy’ari dan Sheikh Abu Mansur al-Maturidi. Perkataan Ahlussunnah wal Jama’ah kadang-kadang dipendekkan menyebutnya dengan Ahlusunnah saja, atau Sunny saja dan kadang-kadang disebut ‘Asyari atau Asya’irah, dikaitkan kepada guru besarnya yang pertama, Abu Hasan Ali al-Asy’ari.” [ms. 30]
Saya kata aneh kerana ianya seolah-olah Ahlus-Sunnah Wal-Jama’ah adalah fahaman baru yang lahir akibat munculnya fahaman-fahaman sesat, sedangkan Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah adalah pegangan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya serta semua yang mengikut jejak langkah mereka! InsyaAllah, ini akan diperjelaskan di bawah.
Imam Abul-Hasan al-Asy’ari pada mulanya adalah anak murid ulama besar golongan Muktazilah, ketika itu di Basrah, Iraq. Dan Imam Abul-Hasan al-Asy’ari setelah lama mempelajari aliran Muktazilah, mula sedar percanggahan fahaman ini. Salah satu kesesatan Muktazilah adalah mereka percaya Allah adalah zat yang tunggal tanpa sifat (sifat-sifat Allah semuanya dinafikan!)
Untuk memendekkan cerita, beliau bertaubat daripada fahaman ini, lalu berjuang melawan fahaman Muktazilah dengan lisan dan tulisan. Banyak karangan-karangan beliau, dan di antaranya, saya petik lagi daripada kitab I’tiqad Ahlussunnah wal-Jamaah oleh KH Sirajuddin Abbas:
1. Ibanah Fi Ushuluddiyanah, 3 jilid besar.
2. Maqalaatul Islamiyiin.
3. Al Mujaz, 3 jilid besar.
4. Dan lain-lain.
Menurut penerangan daripada KH Sirajuddin Abbas serta semua yang mengikut fahaman Asya’irah, bahawa Imam Abul-Hasan al-Asy’ari melalui dua peringkat dari segi kefahamannya, iaitu, peringkat masa dia berpegang dengan fahaman Muktazilah, dan peringkat yang dia berfahaman Asya’irah, atau seperti kata KH Sirajuddin, Ahlussunnah wal-Jama’ah. Tetapi pada hakikatnya, beliau melalui satu lagi peringkat, iaiti di akhir hayat beliau, yang boleh didapati dengan jelas dalam kitabnya terakhir, al-Ibaanah ‘an Usul ad-Diyanah (kitab pertama dalam senarai di atas). Di dalam kitab ini jelas pegangan beliau bertentangan dengan apa yang diikuti, seperti dalam sifat 20. Beliau mengatakan beliau berpegang dengan Aqidah Imam Ahmad, Imam Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah, yang dipuji oleh Imam asy-Syafi’e sendiri. Pegangan beliau adalah pegangan ulama salaf, yang didahului oleh para sahabat nabi.
Aqidah Salaf
Aqidah Salaf sebenarnya mudah. Allah telah menurunkan Quran untuk orang-orang arab memahaminya. Dan nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam), seorang arab yang fasih berbahasa arab, diutuskan kepada orang-orang arab untuk menerangkan kandungan al-Quran, dalam bahasa arab. Oleh itu, sahabat-sahabat nabi memahami isi kandung al-Quran dan sabda-sabda nabi dengan jelasnya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith banyak menyebut sifat-sifat Allah, seperti Wajah, Tangan, Kaki, dan sebagainya. Sahabat-sahabat nabi tidak pernah bertanya mengenai sifat-sifat ini kerana mereka memahami maknanya dalam bahasa arab. Dalam masa yang sama mereka tahu kaedah yang di dalam al-Quran: “Tiada yang serupa denganNya, dan Dia Mendengar lagi Melihat.” [asy-Syura:11]
Saya bagi contoh: Quran juga menyebut di dalam Syurga ada banyak buah yang namanya sama seperti buah-buahan di dunia, tetapi tidak serupa dari segi rupa dan rasa! Maka, sahabat-sahabat nabi memahami keterangan ini bahawa yang dinamakan buah di Syurga tetap buah tetapi tidak sama dengan apa yang mereka pernah lihat atau boleh bayangkan! Begitu juga sifat Allah. Fahaman Asya’irah mengatakan salah satu sifat Allah adalah “Hidup”, tetapi hidup bukan seperti hidupnya makhluk; Allah “Dengar” tetapi tidak seperti pendengaran makhluk, dan seterusnya.
Senang kan?!!
Tetapi, anehnya fahaman Asya’irah hanya menggunakan kaedah ini untuk 7 sifat Allah sahaja, sementara banyak lagi sifat-sifat Allah yang lain digunakan kaedah lain pula iaitu kaedah takwil! Takwil bermaksud, menafikan hakikat sifat itu dan berikan maksud lain (majaz). Contohnya “Tangan” Allah dinafikan sifat tersebut lalu diberikan maksud lain iaitu “Kuasa” Allah! Ini adalah serupa dengan cara Muktazilah, iaitu menafikan sifat-sifat Allah, walaupun tidak total kerana mereka terima 7 sifat, yang kemudian ditambah menjadi Sifat 20 oleh Maturidi dan Imam al-Ghazali.
Soalan: Mengapa mereka memilih-milih untuk menggunakan kaedah salaf bagi beberapa sifat Allah dan mentakwilkan pula sifat-sifat Allah yang lain dengan takwilan yang tiada asas daripada Quran dan Sunnah? Tidak pernah diajar langsung oleh Rasulullah untuk mentakwilkan sifat-sifat Allah di dalam Quran mahupun yang baginda sebut sendiri! Takwilan ini adalah stelah masuknya pengaruh falsafah dalam Islam, yang tidak wujud sebagai sumber Islam pada zaman Rasulullah dan sahabat-sahabatnya!
Sebenarnya, Imam Abul-Hasan al-Asy’ari telah bertaubat daripada aqidah ini juga, kerana Aqidah yang beliau perincikan di dalam kitab terakhirnya (iaitu al-Ibaanah) yang tersebut di atas adalah sama dengan Aqidah mereka yang ditohmahkan sebagai golongan Wahabi!
Kembali kepada apa yang disebutkan tadi bahawa kenyataan KH Sirajuddin Abbas tentang munculnya Ahlussunnah wal-Jama’ah pada abad ke tiga hijriyah adalah aneh, kerana Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah sebenarnya fahaman sahabat-sahabat nabi, dan bukannya muncul sebagai reaksi kepada ajaran-ajaran sesat. Dan Fahaman Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah adalah fahaman mudah, iaitu dalam perkara ghaib, kita beriman sepertimana Allah dan RasulNya katakan tanpa membayangkan bagaimana atau membuat misalan dengan makhluk atau apa sahaja gambaran. Mereka hanya dengar dan taat, dalam keadaan cukup memahami kandungan al-Quran dan Sunnah (selagi ianya sahih). Maka mereka tidak menafikan, malah mrereka membenarkan sifat-sifat Allah yang disebut oleh Allah Sendiri dan RasulNya, cuma mereka tidak membayangkan atau memperincikan bagaimana sifat-sifat tersebut! Dan tidak pula menafikan perkara-perkara yang tidak disebut langsung oleh Allah dan Rasulnya, seperti jisim atau lidah. Kenapa kita kena memandai-mandai sebut Allah ada ataupun tiada jisim ataupun lidah, kerana perkara ini tidak pernah disebut di dalam Quran atau Sunnah!
Contoh, perkataan “Qadim” atau “Qidam” yang digunakan sebagai sifat Allah. Perkataan ini tidak boleh dijumpai di dalam Quran mahupun Sunnah sebagai sifat Allah. Yang ada: “Al-Awwal” yang ditafsirkan oleh nabi sendiri bermakna “Tiada apa pun sebelumNya.” Lihat sendiri apa yang ditulis oleh KH Sirajuddin Abbas:
“2. Qidam. – Tuhan bersifat Qidam, artinya tidak berpermulaan adaNya, mustahil Ia berpermulaan ada-Nya, karena kalau Ia berpermulaan ada-Nya maka samalah Ia dengan makhluk. Kalau Ia sama dengan makhluk maka Ia bukan Tuhan. Selain daripada itu, kalau Ia berpermulaan ada-Nya maka siapakah yang menjadikan makhluk yang terdahulu daripada-Nya? Dalil dari al-Quran atas Qidam-Nya Tuhan ialah firman-Nya: “Ia-lah (Tuhan) yang tidak berpermulaan ada-Nya dan pula tidak berkesudahan ada-Nya, Ia-lah yang lahir wujud-Nya. Ia-lah yang tersembunyi (zat-Nya) dan Ia tahu tiap-tiap sesuatu.” [al-Hadid:3]”
Dalam ayat yang disebutkan oleh KH Sirajuddin Abbas, disebutkan “Ia-lah al-Awwal”, bukannya “Ia-lah Qadim”! Rasulullah dan sahabat-sahabatnya tidak pernah sebut “Allah al-Qadim” atau “Sifat Allah Qidam”, maka mereka hanya gunakan perkataan yang datang di dalam nas al-Quran dan Sunnah dan tidak menggunakan perkataan selainnya, sambil beriman tiada persamaan antara sifat Pencipta dan sifat makhluk! Tetapi mereka yang dipengaruhi falsafah, mula menggunakan perkataan-perkataan lain dan mentakwil sifat-sifat Allah. Lihat di dalam Quran apa maksud sebenarnya Qadim atau Qidam:
“Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang qadim (tua)*.” [Yaasin: 39]
* Maksudnya: bulan-bulan itu pada awal bulan, kecil berbentuk sabit, kemudian sesudah menempati manzilah-manzilah, dia menjadi purnama, kemudian pada manzilah terakhir kelihatan seperti tandan kering yang melengkung.
Perkataan “Qadim” bermaksud “Tua”!! Bukannya “tidak berpermulaan adaNya” seperti yang didakwa oleh KH Sirajuddin Abbas dan lain-lain ulama kalam.
Mana lebih elok? Guna perkataan yang digunakan sendiri oleh Allah dan RasulNya atau kita guna perkataan yang manusia pilih?
Ikutlah contoh Imam Malik, Imam Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah, ketika ditanya oleh seseorang tentang “ar-Rahman istawa (bersemayam) atas ‘Arsy”, katanya: “(Perkataan) Istiwa sedia maklum (maknanya), bagaimana (hakikatnya) tidak diketahui, beriman dengannya adalah wajib, menyoalnya adalah bid’ah!”
Maksudnya: Perkataan “istiwa” telah digunakan oleh Allah, maknanya pun diketahui umum, namun hakikatnya tidak diketahui. Sekiranya difikirkan bagaimana ia, dan soal lebih-lebih, gunakan perkataan-perkataan lain, itu adalah bid’ah! Dan penyoal itu diarah oleh Imam Malik agar keluar dari tempatnya!!
Kaedah Memelihara Kemurnian Islam
Kembali pula kepada hadith yang disebutkan di atas sebagai suatu kaedah penting. Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) memberi amaran agar berhati-hati dengan perkara-perkara baru dalam agama, kerana ianya sesat!
1. Dalam hal Aqidah, kita hendaklah berpegang dengan Aqidah menurut kefahaman para sahabat nabi kerana itulah yang diajar oleh nabi sendiri. Bagaimana cara mereka? Mereka HANYA menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang disebut di dalam Quran dan Hadith (yang sahih), serta kefahaman maknanya, tetapi tidak cuba memperincikan bagaimana atau macamana sifat-sifat itu. Ertikata lain, beriman dengan sifat-sifat Allah semuanya menurut yang layak bagi Allah, tanpa perinci lebih daripada sebutannya. Kalau nabi tidak ajar lebih dari itu, kenapa kita rasa “lebih baik” takwilkan pula??
2. Dan dalam hal ibadat, serupa! Hati-hati dengan amalan-amalan baru dalam agama. Siapa berani kata bahawa sambutan maulid, sambutan nisfu Sya’ban, sambutan Isra’ Mi’raj dan Lailatul-Qadr, pernah disambut oleh nabi?? Semua setuju sambutan-sambutan ini tidak wujud di zaman nabi! Namun begitu, bagaimana pula orang sekarang boleh “berpendapat” bahawa ini semua baik??
Sekiranya perkara-perkara baru ini baik dan elok diamalkan, sudah tentu sahabat-sahabat nabi sudah mengamalkannya lebih dahulu daripada kita!!
Saya rasa semua pernah dengar cerita seorang Yahudi berjumpa dengan Umar bin al-Khattab, sambil berkata: “Kamu membaca satu ayat dalam kitab kamu, sekiranya diturunkan kepada kami, orang-orang Yahudi, nescaya kami akan menjadikannya suatu hari perayaan!” Umar bertanya: “Ayat manakah itu?” Kata orang yahudi tersebut: “Hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah melengkapkan NikmatKu, dan Aku redha Islam sebagai agama kamu.”
[al-Ma'idah: ]
Lihat apa jawapan Umar al-Farooq: “Demi Allah, aku memang tahu hari ianya diturunkan kepada Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), dan waktu ianya diturunkan kepada Rasulullah. Ianya turun pada petang Hari ‘Arafah pada hari Jumaat.”
[Riwayat al-Bukhari]
Lihat sikap seorang sahabat berbanding seorang Yahudi? Orang Yahudi akan menjadikan hari yang disebutkan oleh Umar itu sebagai hari Perayaan, hari sambutan, macam Maulid, Isra Mi’raj dan lain-lain. Namun, seorang sahabat nabi, Umar bin al-Khattab, yang memahami hukum halal haram, dan ingat kepada pesanan-pesanan nabi, salah satunya adalah hadith al-Irbaad yang telah disebutkan di atas, tidak bersikap seperti orang yahudi itu, walaupun pertanyaan orang Yahudi itu boleh mencetuskan “idea” baik untuk menjadikan Hari Arafah sebagai satu perayaan untuk hari penurunan ayat Quran terakhir, atau Hari Perasmian Agama Islam, bagi seluruh umat Islam (dan bukan untuk mereka yang sedang Wukuf di Arafah sahaja)!!
Sekarang bandingkanlah sikap sahabat nabi dengan sahabat mereka yang mengaku Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah sekarang! Betapa jauhnya Ahlus-Sunnah (sekarang) daripada al-Jama'ah (sahabat-sahabat nabi)!!
Saya harap penjelasan ini cukup untuk membetulkan silap faham tentang Tauhid Asma’ was Sifat, dan Bid’ah berdasarkan Quran dan Sunnah menurut kefahaman sahabat-sahabat nabi.
InsyaAllah jawapan terhadap tuduhan-tuduhan di atas akan diteruskan dalam posting saya berikutnya.
cukup inshaAllah
ReplyDelete