Wednesday, November 11, 2009

Bid'ah Baik atau Keji - Inilah Jalan Penyelesaiannya...

Semenjak peristiwa penangkapan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin di Taman Sri Ukay tempoh hari, pelbagai pendapat serta nasihat telah diutarakan. Lebih-lebih lagi persoalan bid'ah kerana diperkatakan bahawa Dr. Asri adalah Wahabi kerana sering mengkritik amalan-amalan yang sudah biasa dilakukan di Malaysia sebagai bid'ah. Di sini saya ingin kemukakan jalan penyelesaian perkara ini, menurut Quran dan Sunnah!

Mula-mula sekali, mari kita lihat hadis nabi yang diriwayatkan oleh al-Irbaad ibn Saariyah, katanya: Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) memberikan satu ceramah yang mana hati-hati kami menjadi gementar, mata-mata kami menitis air mata. Kami pun berkata: “Wahai Rasulullah! Seolah-olah ianya ceramah orang yang akan pergi! Oleh itu, nasihatkanlah kami!”

Sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam): “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan taat (kepada pemerintah) walaupun yang menjadi pemerintah adalah seorang hamba. Sesiapa yang hidup (lama) di antara kamu, dia akan lihat banyak perselisihan. Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang diberi petunjuk selepasku.Gigitlah ia dengan gigi gerahammu. Dan hati-hatilah dengan perkara-perkara yang baru (dalam agama), kerana setiap perkara yang baru (dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” [Hasan Sahih - Tirmizhi, Abu Daud dll]

Nabi tahu* apa yang akan berlaku di akhir zaman, namun nasihatnya adalah berpegang teguh kepada sunnahnya dan sunnah Khulafa Rashidin dan hati-hati dengan bid’ah, bukannya perselisihan itu rahmat, atau biarlah perselisihan kecil-kecil, masalah furu', dan seterusnya…. Kalau semua perkara kalau ada khilaf sahaja, kita duduk goyang kaki, tidak perlu atau tidak boleh ajar atau beri nasihat kepada orang-orang Islam, apa akan jadi kepada Islam?? Islam akan bertukar rupa dan tidak dikenali lagi sekiranya nabi Muhammad (sallallahu 'alayhi wasallam) datang melawat umat ini. Malah nasihat nabi di atas yang merupakan nasihat jelas untuk umat akhir zaman, lebih-lebih lagi selepas kewafatan baginda, mestilah diberikan perhatian dan dipegang sekuat-kuatnya seperti sabda nabi sendiri: “Gigitlah ia dengan gigi gerahammu”.

Jalan Penyelesaian:-

1. Mari kita selesaikan perkara ini dengan mengambil titik persamaan. Dikatakan “Khilaf” tentang amalan-amalan baru seperti bacaan yaasin khusus hari atau malam Jumaat, selawat antara setiap rakaat tarawih, dan lain-lain isu. Sebahagian mengatakan bid’ah baik dan ada yang kata menyesatkan. Tapi, dua-dua belah pihak setuju amalan sunnah nabi adalah baik dan diredhai Allah. Kenapa kita semua tidak kembali kepada Sunnah nabi? Bukankah ini titik persamaan? Malah ianya merupakan perintah Tuhan!

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah (Quran) dan Rasul Sunnah) dan ulu al-Amri (ulama dan pemerintah) di kalangan mereka. Sekiranya kamu berselisihan mengenai sesuatu, kembalikanlah (perkara) itu kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah) sekiranya kamu beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Itu lebih baik dan sebaik-baik tafsiran.” [an-Nisa:59]

Imam Abu Ja’far Ibn Jarir at-Tabari (rahimahullah) telah menerangkan di dalam kitab tafsirnya yang sepakat diterima oleh semua ulama Ahlus-Sunnah wal-Jamaah mengenai ayat di atas:

“Apabila kamu berselisih pendapat, wahai orang-orang yang beriman, di dalam apa jua perkara agama kamu, antara sesama kamu, ataupun antara kamu dan pemerintah-pemerintah, lalu kamu berkelahi mengenainya. Iaitu, Allah bermaksud dengannya: Maka carilah hukum perkara yang kamu berkelahi tentangnya itu, antara sesama kamu atau antara kamu dan pemerintah-pemerintah kamu, pada: (1) “Allah” – iaitu Kitab Allah, lalu ikutilah apa yang kamu jumpa, manakala (2) “Rasul” – sesungguhnya Dia maksudkan: Sekiranya kamu tidak jumpa jalannya di dalam kitab Allah, maka carilah perkara itu pada Rasul sekiranya baginda masih hidup, dan sekiranya telah wafat, maka Sunnahnya!
[Tafsir at-Tabari]

Inilah jalan penyelesaian! - Adakah sesiapa yang tidak setuju ini jalan penyelesaian terbaik? Seperti firman Allah di atas: “Itu lebih baik dan sebaik-baik tafsiran.”

2. Sekurang-kurangnya, atas dasar tinggalkan perkara yang meragukan, iaitu perkara yang tidak disepakati itu dikira meragukan.

Sabda Rasulullah: “Tinggalkanlah hal yang meragukan kamu kepada hal yang tidak meragukan kamu. Kerana kebenaran akan membuahkan ketenangan dan dusta pula meragukan.” [Tirmizhi]

Bukankah kedua-dua belah pihak, dalam perkara-perkara yang dikatakan sebagai khilaf ini, setuju atau sepakat amalan-amalan yang dipersoalkan itu semuanya bid’ah, cuma khilaf samada bid’ah baik atau bid’ah keji! Maka tinggalkanlah perkara yang meragukan itu, dan amalkan sunnah yang memang disepakati!

3. Atau katakanlah satu pihak mengalah, perkara-perkara itu semua diakui sebagai “bid’ah baik”, adakah ianya lebih baik daripada Sunnah nabi?? Siapa berani mengatakan amalan bid’ah, walaupun disangkakan “baik” adalah lebih baik daripada Sunnah nabi?? Kenapa kita mahu yang kurang baik sedangkan yang lebih baik jelas, terang, lagi bersuluh!

Firman Allah: “Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: "Hai Musa, kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu jenis makanan sahaja. Sebab itu mintakanlah untuk kami kepada Tuhanmu, agar Dia mengeluarkan bagi kami dari apa yang ditumbuhkan bumi, yaitu sayur-sayurannya, timunnya, bawang putihnya, kacang adasnya, dan bawang merahnya". Musa berkata: "Mahukah kamu mengambil yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik ? Pergilah kamu ke (mana-mana) kota, pasti kamu boleh mendapati apa yang kamu minta". Lalu ditimpakanlah kepada mereka kehinaan dan kemiskinan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.”
[al-Baqarah: 61]

Itulah sikap orang-orang Ahli Kitab yang terdahulu!

4. Yang dikhuatiri daripada amalan-amalan baru (dibandingkan dengan zaman sahabat nabi) ini adalah ianya akan mematikan Sunnah. Malah itulah yang telah berlaku. Berapa ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam tahu bahawa nabi Muhammad (sallallahu 'alayhi wasallam) menggalakkan kita membaca surah al-Kahf pada setiap hari Jumaat? Sunnah ini ternyata telah mati kecuali di kalangan pengamal-pengamal Sunnah, yang dituduh Wahabi serta sesat!

Ibn 'Abbas pernah berkata: "Tidak datang ke atas manusia satu tahun kecuali mereka ada mencipta di dalamnya satu bid'ah, dan mereka mematikan di dalamnya satu sunnah, sehinggalah hidup bid'ah-bid'ah itu dan matilah sunnah-sunnah." [Ilm Usul al-Bida']

Adakah kita redha dengan kematian sunnah-sunnah nabi?? Dimanakah letaknya cinta kita kepada nabi Muhammad (sallallahu 'alayhi wasallam)?? Hanya pada sambutan Maulud nabi?

Cadangan

Ramai yang mengatakan bahawa amalan-amalan yang dipertikaikan sudah lama diamalkan dan sudah menjadi adat rakyat Malaysia yang beragama Islam, dan usaha untuk mengubah akan menyebabkan pecah belah antara umat, dan fahaman "Wahabi" tidak sesuai.

Mengapa tidak semua ulama dan ustaz di Malaysia mengambil kesempatan kekalutan yang ada sekarang, semua isytihar ikut Sunnah nabi sebagai jalan keluar daripada kekalutan dan perselisihan ini, sebulat suara untuk berpegang kepada Sunnah nabi dan elakkan amalan-amalan yang dipertikaikan dari segi kewujudannya sebagai sunnah nabi. Apabila ini berlaku, tiada isu lagi yang boleh dibangkitkan. Walaupun kefahaman tentang wujudnya bid'ah baik wujud atau tidak masih ada, sekiranya semua kembali kepada sunnah nabi, maka perselisihan tidak akan berlaku lagi!!

Saya rasa inilah yang patut diusahakan dan dibincangkan kerana seluruh rakyat Malaysia tertumpu ke arah isu ini. Inilah masanya untuk semua kembali kepada Quran dan Sunnah. Sekiranya semua ulama, ustaz dan guru agama sepakat dengan perubahan ini, pastinya semua rakyat beragama Islam akan turut dan redha!

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah (Quran) dan Rasul Sunnah) dan ulu al-Amri (ulama dan pemerintah) di kalangan mereka. Sekiranya kamu berselisihan mengenai sesuatu, kembalikanlah (perkara) itu kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah) sekiranya kamu beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Itu lebih baik dan sebaik-baik tafsiran.” [an-Nisa:59]

_________________________
* Maksud saya "nabi tahu apa yang akan berlaku di akhir zaman" iaitu nabi tahu mengenai akhir zaman kerana diwahyukan Allah kepada baginda. Dan nabi sudah menceritakan kejadian-kejadian di akhir zaman dan memberikan jalan penyelesaiannya jika ada.

عن عمرو بن أخطب الأنصاري قال صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يوما الفجر وصعد المنبر فخطبنا حتى حضرت الظهر فنزل فصلى ثم صعد المنبر فخطبنا حتى حضرت العصر ثم نزل فصلى ثم صعد المنبر حتى غربت الشمس فأخبرنا بما هو كائن إلى يوم القيامة فأعلمنا أحفظنا . رواه مسلم

Daripada 'Amr bin Akhtab al-Ansari: Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam) solat Fajr bersama kami pada suatu hari, dan naik di atas minbar kemudian berceramah kepada kami sehinggalah waktu Zuhur. Kemudian baginda turun (dari minbar) lalu solat (Zuhur) kemudian menaiki minbar lalu berceramah kepada kami sehingga waktu Asar. Kemudian baginda turun lalu solat (Asar) kemudian menaiki minbar (dan berceramah) sehingga tenggelam matahari (waktu Maghrib). Badinga memberitahu kepada kamu segala yang akan berlaku sehinggalah ke Hari Kiamat. Orang yang paling banyak ilmunya (mengenai kejadian-kejadian tersebut) adalah orang yang paling kuat hafalannya.
[Sahih Muslim]

No comments:

Post a Comment