Sunday, November 1, 2009

Pusat Pengajian Islam Darul Ta'lim - TTDI

Pada hari Sabtu lepas (31 Oktober 2009), buat pertama kalinya saya dijemput ke Pusat Pengajian Islam Darul Ta'lim atau Yayasan Ta'lim di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, untuk berceramah, sekadar mengisi slot pengajian Qalbun Salim oleh Ustaz Kariman yang tidak dapat hadir pada hari tersebut. Saya merasa amat kagum dengan Pusat Pengajian Islam ini yang kelihatan teratur (organised) yang lengkap dengan nota-nota pengajian yang pelbagai, cocok untuk sesiapa sahaja yang mahu mendalami ilmu Islam yang sahih. Kelas-kelas pengajian dijadualkan setiap hari, daripada hari Isnin sehinggalah ke hari Ahad. Dan kategori-kategori ilmu Islam yang ditumpukan adalah amat sesuai dengan tuntutan Dakwah Islamiyah dan keperluan semasa. Semoga Allah memberkati Pusat Pengajian Islam Darul Ta'lim dalam usaha pembentukan umat yang diredhai Allah subhanahu wata'ala sesuai dengan Kitab Allah dan Sunnah NabiNya menurut kefahaman Islam yang sebenar, sepertimana yang difahami oleh sahabat-sahabat nabi (salallahu 'alayhi wasallam). Dan semoga Allah subhanahu wata'ala mencucuri rahmatNya ke atas pengasas Pusat Pengajian Islam ini dan memberkati usaha beliau dan semua yang terlibat untuk menjayakan pusat pengajian ini dan memberikan ganjaran yang tidak terhingga kepada mereka sesuai dengan sabda nabi sallallahu 'alayhi wasallam:

الدَّالُّ عَلَى الْخَيْرِ كَفَاعِلِهِ
"Yang menunjuk kepada kebaikan adalah seperti yang melakukannya (dari segi pahala yang diberikan)"

Berikut adalah kategori-kategori ilmu yang diberi penekanan:-

ASMA’UL HUSNA

Al-Asma’ bererti nama dan Al-Husna bererti terbaik. Allah swt menegaskan kepada kita di dalam al Qur’an bahawa Dia mempunyai Al Asma’al Husna (Qur’an surah al-A’raf:180, al-Isra”:110, Thaha: 110, al-Hasyr: 24). Allah juga mengajak manusia untuk berdoa dan menyeruNya dengan sifat-sifat/nama-nama yang terbaik itu (Qur’an surah al-A’raf:180 dan al-Isra”:110). Selanjutnya>>>

AQIDAH

Amat penting sekali semua peserta menilai balik aqidah/pegangan masing-masing, dengan menggunakan kayu ukur aqidah yang diturunkan kepada Nabi kita yang menjadi pegangan para sahabat dan pengikut-pengikutnya. Adakah kita berpegang kepada aqidah sebagaimana yang patut sebagai orang Mukmin, atau pun pengaruh-pengaruh lain disekeliling kita telah mencemar pegangan yang tulin itu. Kita tidak akan nampak yang benar itu benar kecuali jika kita tahu juga yang batil. Banyak penyelewengan dalam aqidah berlaku, tetapi penganut cuai dalam menyedari kesilapan-kesilapan itu. Selanjutnya>>>

BAHASA AL-QUR’AN & HARFIAH/ HARFIAH/ KEFAHAMAN AL-QUR’AN

Memahami erti setiap satu perkataan yang terdapat di dalam al-Qur’an secara lafziyah/ harfiyah, disertai tatabahasa Arab secara asas. Selanjutnya>>>

BAHASA ARAB

Memperolehi kefahaman Bahasa Arab kearah menghayati al-Qur’an dan hadith yang menjadi asas panduan hidup muslimin. Memahami bahan –bahan agama Islam iaitu al-Qur’an, hadith dan kitab-kitab ulama-ulama silam yang di cetak dalam Bahasa Arab. Selanjutnya >>>

HADITH

Melengkapkan ilmu ad-Din dengan mempelajari hadith-hadith Rasulullah S.A.W. dan mengetahui serta membezakan antara hadith-hadith itu. Selain itu, dapat meningkatkan pengetahuan dan keyakinan tentang cara-cara beramal yang betul mengikut proses betul, pada masa yang ditetapkan, mengikut piawaian, pada kadar yang bertepatan dan kena pada tempatnya. Selanjutnya>>>

HIDUP BAHAGIA

Peluang kepada semua, samaada sedang menghadapi masalah atau belum menghadapi masalah dalam perhubungan sesama manusia. DT adakan sebuah kelas bagi memberi sedikit panduan yang dapat membimbing kita ke arah hidup bahagia sesama manusia. Perhatian seimbang akan diberi terhadap IQ, EQ dan SQ. Selanjutnya>>>

ITTIBA' AR RASUL

Kalau tidak dihayati Islam sebagaimana ditunjuki oleh Rasul SAW, ditakuti keadaan agama Islam akan menjadi semakin asing dan terjauh daripada ajaran yang tulin, sepertimana telah diramalkan oleh Nabi kita. Selanjutnya>>>

QALBUN SALIM ( Hati yang Sejahtera )

Menginsafkan diri kita tentang besarnya pengaruh kesucian hati dalam memancar dan membuahkan akhlak yang mengkagumkan.

Di samping, untuk peka tentang apakah sifat-sifat yang tercela (mazmumah) dan apakah sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) dengan berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran & Hadith. Dan dengan menyucikan hati daripada sifat-sifat yang keji dan mengisikan dengan sifat-sifat terpuji memerlukan usaha & mujahadah yang gigih dan berterusan dalam melawan hawa nafsu dan syaitan, dan ini mesti dilaksanakan secara sedar. Tanpa mempunyai bantuan ilmu tentangnya, tidak akan lahir usaha untuk menuju kearah mensalimkan qalbun. Selanjutnya>>>

QUM FA ‘ANDZIR DAN FALSAFAH SEERAH

Kuliah ini bertujuan memberi kejutan kepada minda, sikap dan perlakuan umat yang ‘oblivious’ tentang apa yang sedang berlaku di dunia sekarang. Di samping, untuk memberi kesedaran bahawa ramai daripada umat Islam sekarang telah tertipu dengan keadaan yang mengaburkan kebenaran. Di tambah lagi dengan adanya agenda-agenda tersembunyi musuh yang bergerak secara halus bagi menghancurkan umat Islam.Ia juga, untuk memberi peringatan supaya kita dapat berhati-hati dan tidak terperangkap ke dalam jerat mereka.Akhirnya, untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada seluruh jamaah supaya dapat menjadi bimbingan dalam kehidupan serta menjadi pedoman dalam pembentukan sikap counter reactive terhadap permasalahan Islam kontemporari yang dihadapi baik di Malaysia ,Sudan,Lebanon ,Indonesia dan di dunia2 Islam demi menjaga kemurnian AdDeen. Selanjutnya>>>

TAFSIR/ TAFSIR MAUDU’I/ TADDABBUR

Memahami isi kandungan al-Qur’an agar kita tidak tergolong ke dalam golongan yang diibaratkan seperti ‘keledai yang memikul buku-buku yang tebal’. Memahami isi kandungannya akan membolehkan kita mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian dan seterusnya berdakwah dengannya. Selanjutnya>>>

TARBIYAH RUHIYYAH

Berapa ramai yang mendapat ilmu tetapi ilmu itu tidak sering dihayati kerana tidak dapat sampai ke dalam jiwa ; dan tidak sedikit juga yang lama menuntut ilmu tetapi jiwa tidak banyak mendapat kesan darinya. Selanjutnya>>>

No comments:

Post a Comment