Monday, November 23, 2009

Pembahagian Tauhid kepada tiga - Bid'ah? (Menjawab Dakwaan terhadap Wahabi 2)

"Pembahagian Tauhid kepada tiga dipertikaikan kerana ianya tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan para sahabat, maka ianya suatu bid’ah."

Inilah dakwaan mereka yang tidak setuju dengan pembahagian Tauhid kepada 3 bahagian:

1. Tauhid Rubibiyah

2. Tauhid Uluhiyah

3. Tauhid Asma was-Sifat.

Sebenarnya, pembahagian Tauhid kepada 3 bahagian adalah hasil daripada kajian ayat-ayat al-Quran dan hadith lalu dirumuskan kepada pembahagian yang disebutkan di atas. Sesiapa pun di kalangan ulama boleh berijtihad untuk membuat pembahagian Tauhid dengan tujuan untuk membantu kefahaman. Di kalangan ulama, ada yang membahagikan Tauhid kepada 2:

1. Tauhid al-Ithbat wal-Ma’rifah - (merangkumi Tauhid Rububiyah dan Tauhid Asma was-Sifat)

2. Tauhid al-Qasd wat-Talab.

Ada ulama yang menjadikan pembahagian Tauhid kepada 4:

1. Tauhid Rubibiyah

2. Tauhid Uluhiyah

3. Tauhid Asma was-Sifat.

4. Tauhid al-Hakimiyah – (merupakan komponen Tauhid Rububiyah)

Yang pentingnya, setiap pembahagian bertujuan untuk membantu kefahaman, dan merangkumi setiap aspek Tauhid yang disebut di dalam al-Quran dan Hadith.

Seperti juga Syirik, boleh dibahagikan beberapa cara. Syirik boleh dibahagikan kepada 2:

1. Syirik Akbar (besar)

2. Syirik Asghar (kecil)

Ada yang membahagikan Syirik kepada 3:

1. Syirik Akbar

2. Syirik Asghar

3. Syirik Khafi (tersembunyi – merupakan komponen Syirik Asghar, bagi cara pembahagian pertama)

Yang pentingnya, setiap pembahagian bertujuan untuk membantu kefahaman, dan merangkumi setiap aspek syirik yang disebut di dalam al-Quran dan Hadith.

Mengapakah pembahagian Tauhid seperti ini dipertikaikan pula, sedangkan aspek-aspek yang dirujuk di dalam setiap pembahagian memang ada asasnya di dalam al-Quran dan Hadith?!

Katakanlah, semua yang membahagi Tauhid kepada 3 bahagian mengalah. Mereka buangkan semua bentuk pembahagian. Tauhid sahaja digunakan, tanpa Rububiyah, Uluhiyah atau Asma was-Sifat. Jika ini berlaku, adakah kita boleh lari daripada ayat-ayat di bawah:

1. “Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada dalamnya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?" Katakanlah: "Siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya 'Arsy yang besar?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak bertakwa?" Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?" [al-Mukminun:84-89]

• Ayat-ayat di atas adalah pengakuan-pengakuan benar daripada orang-orang musyrikin apabila ditanya soalan-soalan mengenai siapakah Tuhan. Jawab mereka: Allah, dan tidak disekutukan Allah dalam hal ini.

• Musyrikin mempunyai aqidah bahawa Allah itu Esa, dan wujud, dan berkuasa penuh! Tetapi mereka tetap musyrik!

• Sekiranya Tauhid hanyalah “Percaya bahawa Allah itu wujud dan hanya satu”, mengapa mereka masih digelar musyrikin?

2. “Maka apabila mereka (orang-orang Musyrikin) naik kapal mereka berdoa kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya, maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, terus mereka (kembali) mempersekutukan (Allah).” [al-Ankabut:65]

• Ayat ini menjelaskan bahawa orang-orang musyrikin bila dalam keadaan genting, akan berdoa dengan ikhlas kepada Allah, tetapi bila sudah selamat, mereka akan kembali mensyirikkan Allah.

• Ini menunjukkan mereka mempunyai aqidah bahawa Allah itu satu dan wujud, dan bila diperlukan, mereka ikhlas berdoa kepada Allah. Jadi bagaimana mereka mensyirikkan Allah?

• Mereka menjadi musyrik kerana berdoa kepada selain Allah apabila keadaan selesa dan selamat, walaupun mereka percaya keesaan Allah dari segi kewujudan Tuhan yang menjadikan seluruh alam.

3. “Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil Awliya (Wali-wali, atau pelindung) selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya."…” [az-Zumar:3]

• Ayat di atas menunjukkan orang-orang musyrikin berusaha mendekatkan diri mereka kepada Allah.

• Caranya adalah mereka mengambil para Wali sebagai perantaraan antara mereka dengan Allah. Inilah syirik yang dimaksudkan dalam ayat ini.

4. “Hanya Engkaulah yang kami sembah[6], dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan” [al-Fatihah: 5]

• Ayat paling asas di atas, menunjukkan kita diperintah Allah untuk menyembah Allah sahaja dan meminta pertolongan daripada Allah SAHAJA.

Beginilah hal orang-orang musyrikin ketika itu, mereka ikhlas beribadat kepada Allah bila mereka dalam keadaan genting. Tetapi, dalam keadaan senang dan selesa, mereka menyekutukan Allah. Bagaimana pula umat Islam zaman sekarang? Bila dalam keadaan genting, mereka berdoa kepada Abuya, doa kepada Sayyid Ahmad al-Badawi, doa kepada Wali-Wali. Bukankah ini syirik kepada Allah seperti dalam ayat-ayat di atas? Maka dengan perincian begini, tidak salah dikatakan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih banyak Tauhid daripada sebahagian umat Islam sekarang, kerana mereka mempunyai Aqidah Allah itu wujud (seperti Iblis juga), Allah itu satu dan tiada Pencipta yang lain, dan mereka akan ikhlas berdoa bila dalam keadaan genting. Tetapi dalam keadaan biasa, mereka melakukan syirik, dengan berdoa kepada berhala-berhala mereka, yang merupakan perantaraan antara mereka dengan Allah.

"Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain). "
[Yusof: 106]

قال ابن عباس: من إيمانهم، إذا قيل لهم: من خلق السموات؟ ومن خلق الأرض؟ ومن خلق الجبال؟ قالوا: "الله"، وهم مشركون به. وكذا قال مجاهد، وعطاء وعكرمة، والشعبي، وقتادة، والضحاك، وعبد الرحمن بن زيد بن أسلم.


Ibn Abbas (ra) menafsirkan ayat ini, katanya: "Sebahagian daripada iman mereka (orang-orang musyrikin), apabila mereka ditanya: Siapakah yang mencip langit-langit? Siapakah yang mencipta bumi? Siapakah yang mencipta gunung-gunung? Mereka akan menjawab: 'Allah!', dan (dalam masa yang sama) mereka menyekutukan (sembahan-sembahan lain) denganNya. "
Begitu juga tafsiran Mujahid, 'Ataa, 'Ikrimah, ash-Sha'bi, Qatadah, ad-Dahhak dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam.
[Dipetik daripada Tafsir Ibn Kathir]
 
Di sini, Ibn 'Abbas menyebut perkataan 'Iman' orang-orang musyrikin adalah Allah itu Wujud, berkuasa penuh, dan seterusnya. Namun 'Iman' itu tidak memadai, kerana tidak cukup hanya dengan beriman dengan ketuhanan Allah atau Rubbiyah Allah, kerana mereka masih tidak beriman dalam pemurnian ibadat, atau Tauhid Uluhiyah.

Adapun Tauhid Asma was-Sifat (Nama-nama dan Sifat-Sifat), sila lihat posting sebelum ini:

http://abukhadeejah.blogspot.com/2009/11/menjawab-dakwaan-terhadap-wahabi.html

No comments:

Post a Comment