Monday, December 7, 2009

Tauhid dan pembahagiannya - 2

Kebelakangan ini banyak pula serangan terhadap kaedah tauhid yang dikatakan baru iaitu pembahagian tauhid kepada tiga. Mereka mengatakan ianya bid'ah kerana rasulullah dan sahabat-sahabatnya tidak pernah menyebutnya. Lantaran mereka mencabar sesiapa yang boleh membawakan walaupun satu ayat atau hadith atau nas daripada para sahabat atau golongan salaf tentang pembahagian Tauhid kepada tiga.

Walaupun saya sudah terangkan di dalam artikel sebelum ini (lihat 3 bahagian Tauhid) tetapi saya terpanggil untuk menjelaskan lagi hal ini.

Saya rasa amat pelik dan hairan mengapa segelintir orang yang berpelajaran tinggi di dalam bidang agama Islam boleh mencabar sedemikian rupa. Bukankah sesiapa yang melanjutkan pelajaran ke tahap pengajian tinggi akan membuat kajian mengenai sesuatu perkara kemudian hasilnya diringkaskan dalam bentuk pembahagian-pembahagian supaya para pembaca akan lebih faham rumusan kajian itu?

Mungkin mereka ini lupa kitab-kitab agama, seperti kitab Fiqh, banyak merumuskan atau meringkaskan kajian kepada pembahagian-pembahagian untuk menyenangkan proses pembelajaran. Contohnya telalu banyak, lihat kitab mazhab Shafi'e seperti Matn Abi Shuja':
1. "Air terbahagi kepada empat: (1) Air suci lagi menyucikan, iaitu air mutlak; (2) Air suci menyucikan makruh penggunaannya, iaitu air musyammas; (3) Air Mutaghayyir (4) Air Najis"

Pernahkah sesiapa yang mempersoalkan pembahagian ini, menentangnya kerana tidak pernah disebut oleh Rasul dan sahabat-sahabatnya?? Sekiranya ada yang menentang, fikirlah sendiri apa orang akan kata kepadanya....

2. "Perkara-perkara Fardu di dalam wudhu ada enam: (1) Niat ketika membasuh muka; (2) Membasuh muka; (3) Membasuh kedua tangan sehingga ke kedua siku; (4) Menyapu sebahagian kepala; (5) Membasuh kedua kaki sehingga ke buku lali (6) Tertib"

Saya cabar sesiapa yang boleh membawa nas Quran, Rasul atau sahabat-sahabatnya mengatakan Fardu wudhu adalah enam seperti di atas!

Saya yakin sesiapa yang ingin menyahut cabaran ini akan mengatakan fardu wudhu boleh didapati daripada al-Quran [al-Ma'idah:6] sebagai rangka dan ditambah pula hadith "Hanyalah setiap amalan bergantung kepada niat." [Sahih al-Bukhari] dan untuk tertib pula sebagai diambil daripada susunan ayat tersebut dan tertib semua riwayat-riwayat hadith yang menunjukkan tertib yang sama, maka diputuskan oleh para ulama sebagai suatu kefarduan.

Bolehkah kita kata: Merumuskan fardu-fardu wudhu kepada 6 seperti di atas adalah bid'ah? Memang jelas tidak pernah disebut di mana-mana nas al-Quran, Hadith ataupun kata-kata sahabat mengenai perkara ini, seperti yang disebutkan di dalam rumusan Matn Abi Shuja' di atas! Adakah ianya bid'ah?

Mari kita lihat kata-kata Imam Abu Ja'far Ibn Jarir at-Tabari (m. 310h), pengarang kitab tafsir yang menjadi rujukan semua ulama Ahlus-Sunnah wal-Jama'ah, tentang mengesakan Allah, dan lihat, sekiranya boleh dirumuskan 20 Sifat atau kepada tiga?!

Imam at-Tabari dalam menerangkan tentang Allah bersemayam di atas 'Arsy:


الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

“Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang bersemayam di atas 'Arsy.” [Taha : 5]

يقول تعالى ذكره: الرحمن على عرشه ارتفع وعلا

Imam Abu Ja'far berkata: "Firman Allah: ar-Rahman yang bersemayam di atas ‘Arsy, (bermaksud) naik dan menjadi lebih tinggi."

Imam Abu Ja'far at-Tabari menulis mengenai ayat surah Yunus:

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy untuk mengatur segala urusan. Tiada seorangpun yang akan memberi syafa'at kecuali sesudah ada izin-Nya. (Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu, maka sembahlah Dia. Maka apakah kamu tidak mengambil pelajaran?”
[Yunus:3]

قال أبو جعفر : يقول تعالى ذكره: إن ربكم الذي له عبادة كل شيء، ولا تنبغي العبادة إلا له، هو الذي خلق السموات السبع والأرضين السبع في ستة أيام، وانفرد بخلقها بغير شريك ولا ظهيرٍ، ثم استوى على عرشه مدبرًا للأمور ، وقاضيًا في خلقه ما أحبّ، لا يضادُّه في قضائه أحدٌ، ولا يتعقب تدبيره مُتَعَقِّبٌ، ولا يدخل أموره خلل.

Imam Abu Ja’far Ibn Jarir at-Tabari (224- 310H) berkata:
“Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Tuhanmu adalah Yang berhak (kepada) ibadah (dari) setiap sesuatu, dan tidak wajar sesuatu ibadat itu kecuali (ditujukan) kepada Dia. Dialah Yang mencipta Tujuh Langit dan Tujuh Bumi dalam 6 hari, dan Dia telah menciptakan (semua)nya tanpa ada sekutu mahupun pembantu. Kemudian Dia bersemayam di atas ‘ArsyNya sambil mentadbir semua perkara dan menentukan apa sahaja yang Dia suka di dalam ciptaanNya. Tiada yang (boleh) melawan QadhaNya, dan tiada siapa yang boleh mengekori pentadbiranNya, dan tiada cacat pada perintah-perintahNya."

Kata Imam Abu Ja'far lagi:

فَاعْبُدُوهُ ، يقول : فاعبدوا ربكم الذي هذه صفته ، وأخلصوا له العبادة ، وأفردوا له الألوهية والربوبية ، بالذلة منكم له ، دون أوثانكم وسائر ما تشركون معه في العبادة

Firmannya: Maka sembahlah Dia

"Maksud firmanNya: Maka sembahlah Tuhan kamu Yang inilah sifatNya, maka ikhlaskanlah ibadat kepadamu, dan esakanlah Uluhiyah dan Rububiyah kepadaNya, dengan (perasaan) rendah (hina) daripada kamu kepadaNya, tanpa berhala-berhala kamu dan segala yang kamu sekutukan denganNya dalam ibadat."

Selepas Imam at-Tabari menyebut sifat-sifat Allah yang tiada tandingannya (Inilah Tauhid Asma wa Sifat!) termasuk menyebut Allah bersemayam di atas 'Arsy tanpa mentakwilkan maksud ayat itu, beliau mentafsirkan ayat seterusnya dengan kenyataan di atas, "esakanlah (Inilah Hakikat Tauhid!) Uluhiyah (ibadat) dan Rububiyah (ketuhanan) kepadaNya".

Cubalah rumuskan kefahaman Tauhid beliau daripada kata-kata di atas...

Setuju tak bahawa Imam at-Tabari percaya kepada perkara-perkara tersebut:
1. Mentauhidkan Allah dari segi sifat-sifatNya serta Nama-NamaNya.
2. Mentauhidkan Allah dari segi Uluhiyah (ibadat) kepadaNya tanpa apa-apa sekutu.
3. Mentauhidkan Allah dari segi Rububiyah (ketuhanan) Allah yang tiada sekutu dalam penciptaanNya seluruh alam dan pentadbiranNya.


Saya berani kata, sesiapa yang berkelayakan dalam bidang agama pasti dapat melihat lojik (mantiq) rumusan di atas.

Andaikata kita kata Tauhid tidak tiga tetapi satu. Tidak menjadi masalah. Cuma huraian Tauhid tetap akan memuatkan tiga aspek yang disebut di atas, maka Tauhid bermaksud: "Mengesakan Allah dari segi ketuhananNya, Nama-nama & Sifat-sifatNya dan semua ibadat untukNya tanpa sekutu." Ada sesiapa berani mengingkari takrifan ini?

Inilah rumusan atau ringkasan kefahaman salaf kita, dan disusun dan dijelaskan oleh ulama-ulama Ahlus-Sunnah yang datang kemudian, termasuk Shaikh al-Islam Ibn Taymiyah. Pembahagian seperti ini adalah untuk membantu pemahaman Islam, bukan untuk mencipta kefahaman baru.

Fikirkanlah: Tauhid sifat 20, pembahagian yang sedia maklum sekarang tetapi hanya wujud selepas zaman  Imam Abul-Hasan Ash'ari (260 - 324H). Mengapa beliau tidak dikatakan melakukan bid'ah membahagikan Tauhid kepada 20 yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah serta sahabat-sahabatnya?

Semoga Allah memberikan kepada mereka petunjuk ke jalan yang benar.

No comments:

Post a Comment