Thursday, December 31, 2009

Persoalan Hati - Pentingkah ia?

Seorang sahabat saya mengirimkan satu artikel melalui email, yang diambilnya daripada (http://saifulislam.com/?p=401). Setelah membaca artikel yang baik itu, saya ingin menyatakan rasa setuju tentang apa yang dikatakan oleh Ustaz Saifulislam itu. Kita lebih suka kepada kajian status hadith, sanad, ilmu yang kering daripada tazkiyatun-nafs, dan ini didorongi oleh hubb az-zuhoor (suka zahir lebih daripada orang lain), dan ianya juga hasil bisikan syaitan, yang menjauhkan hamba-hamba Allah daripada perkara yang lebih bermanfaat.

Apa yang bermanfaat?

Firman Allah: "Di Hari yang tidak bermanfaat langsung harta mahupun anak-anak, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan qalbin salim (hati yang sejahtera)." [asy-Syu’ara:88-89]

Mari tadabbur ayat-ayat surah al-Jumu'ah:

سورة الجمعة

بسم الله الرحمن الرحيم

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ (1) هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (2) وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (3) ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (4) مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (5) قُلْ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ هَادُوا إِنْ زَعَمْتُمْ أَنَّكُمْ أَوْلِيَاءُ لِلَّهِ مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (6) وَلَا يَتَمَنَّوْنَهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (7) قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (8) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (9) فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (10) وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (11)


1. Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 2. Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

Lihat pada ayat kedua, di mana Allah menyatakan tugas Rasulullah adalah seperti berikut:

1. Menyampaikan al-Quran

2. Mensucikan (tazkiyah)

3. Mengajar al-Quran

4. Mengajar Sunnah

FAEDAH PENTING: Pentingnya tazkiyatun-nafs di dalam Islam dan da’wah!

3. dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kemudian lihat ayat seterusnya, mafhumnya adalah golongan sahabat tidak lagi sesat selepas Rasulullah datang memenuhi tugasnya yang disebut di atas, dan golongan sahabat telah menerimanya dengan sebaik mungkin.

FAEDAH PENTING: Pujian bagi sahabat-sahabat Rasulullah yang berada di atas jalan yang benar kerana mereka mempelajari al-Quran, Sunnah dan membersihkan jiwa mereka.

4. Demikianlah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai karunia yang besar.

Kemudian Allah menyebut kurnia Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

FAEDAH PENTING: Kelebihan seperti yang diperolehi para sahabat, dan lebih patut lagi para nabi dan Rasul, adalah pemberian dan kurnia daripada Allah, BUKAN hasil perbuatan kita, maka janganlah bermegah dengan kebolehan sendiri.

5. Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Kemudian dibawa satu perumpamaan orang-orang yang berilmu tetapi ilmunya tidak dimanfaatkan dengan amalan zahir dan batin (iaitu amalan hati seperti takut, harap, penyesalan, dsb)

FAEDAH PENTING: Ilmu bukanlah matlamat, tetapi wasilah kepada matlamat, iaitu amalan zahir dan batin.

6. Katakanlah: "Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwakan bahwa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar."
7. Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Kemudian datang ayat mencabar orang-orang Yahudi untuk mengharapkan maut, dan mereka tidak akan melakukannya kerana dosa-dosa mereka.

FAEDAH PENTING: Mereka lupa matlamat utama di Akhirat, langsung tidak menyediakan diri mereka dengan amalan-amalan zahir dan batin, malah mereka melakukan dosa pula.

8. Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."

Kemudian datang ayat ini yang mengingatkan bahawa Allah tahu semua amalan batin dan zahir mereka, dan mereka akan diberitahu amalan-amalan jahat mereka kelak.

FAEDAH PENTING: Allah tidak melihat kepada amalan zahir yang kosong daripada penglibatan amalan hati.

9. Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum'at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Kemudian datang ayat solat Juma’at.

FAEDAH PENTING: Pentingnya melakukan amalan zahir, dengan hati penuh dengan mengingati Allah, selepas ditinggalkan urusan dunia secara zahir DAN batin.

10. Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Kemudian datang ayat tentang selesainya solat agar bertebaran di mukabumi kepada urusan dunia sambil mengingati Allah.

FAEDAH PENTING: Walaupun amalan zahir sudah berhenti, amalan batin mesti diteruskan.

11. Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhotbah). Katakanlah: "Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan", dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezki.

Kemudian datang ayat mengenai perniagaan dan perkara-perkara yang melalaikan yang menyebabkan mereka tinggalkan amalan zahir mereka.

FAEDAH PENTING:

a. Urusan dunia akan menyebabkan kita tinggalkan amalan zahir yang merupakan tuntutan Islam sekiranya kita lupa amalan batin.
b. Pentingnya da’wah dan berpesan-pesan ke arah amalan zahir dan batin.
c. Kandungan da’wah sentiasa ke arah matlamat utama iaitu keredhaan Allah dan mencapai kenikmatan syurga di Akhirat. Ertikata lain, menggerakkan amalan batin agar amalan zahir menyusul.

Bagaimana untuk menjalinkan amalan zahir dengan amalan batin?

Kita lihat semula kepada ayat ke sembilan,

9. Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum'at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Mafhumnya:

a. Pergi awal ke amalan zahir, seperti solat Jumaat.

b. Masa menanti solat, hendaklah kita mengingati Allah, dengan bantuan amalan-amalan zahir yang umumnya mustahab, seperti berzikir, membaca al-Quran, berselawat, bersolat sunat, beristighfar, dsb.

c. Urusan dunia hendaklah dikosongkan daripada hati kita, sepertimana ianya ditinggalkan secara zahirnya.

d. Dosa-dosa boleh menghalang jalinan amalan zahir dan batin (mafhum ayat tujuh)

Allahu ‘lam.

No comments:

Post a Comment