Thursday, December 3, 2009

Wahhabi dan Salafi adalah Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah

"Dr. Asri?! Bagus dia tu... Cuma orang kata dia Wahhabi"

Ungkapan seperti ini biasa didengar sekarang. Sekiranya ungkapan ini dikeluarkan oleh penyokong UMNO atau Keadilan, saya fikir tidak mustahil kerana mereka kurang penekanan dalam pengisian agama. Tetapi apabila ungkapan seperti ini keluar dari mulut penyokong PAS, saya rasa tersangatlah pelik!

Saya terlihat sebuah buku yang ditulis oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Kitabnya berjodol: "Fahaman & Ideologi Umat Islam".


Kitab ini menceritakan tentang fahaman-fahaman serta ideologi-ideologi yang sesat dibandingkan dengan Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah. Kitab ini mengingatkan saya kepada sebuah lagi kitab yang banyak menjadi rujukan umat Islam di Malaysia dan Indonesia tentang perkara yang sama,iaitu kitab "I'itiqad Ahlussunah Wal-jamaah" yang dikarang oleh KH Sirajuddin Abbas.

Saya menyangkakan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang akan meletakkan golongan Wahhabi di dalam golongan yang sesat sepertimana KH Sirajuddin Abbas telah lakukan di dalam kitabnya, tetapi alangkah terkejutnya saya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah meletakkan Wahhabi dan Salafi di dalam golongan Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah!

Bagaimana pula penyokong-penyokong PAS mengatakan Wahhabi itu sesat sedangkan Presiden parti serta Tuan Guru mereka mengatakan Wahhabi DAN Salafi adalah Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah?!

Seperti biasa, mereka yang memusuhi golongan Wahabi dan Salafi selalu menuduh mereka mempunyai Aqidah yang sesat, Aqidah Mujassimah, dan tidak mengikut Salaf. Dan mereka tidak segan silu membuat tuduhan-tuduhan ini di masjid-masjid dan surau-surau, malah di dalam surat khabar juga!

Saya juga terlihat sebuah kitab lain yang juga dikarang oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang berjodol "Beriman Kepada Allah."


Kitab ini merupakan huraian yang baik mengenai apa yang dimaksudkan dengan beriman kepada Allah dan tuntutan-tuntutannya.

Dalam permasalahan Sifat-Sifat Allah, beliau telah menghuraikan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah yang disebut oleh Imam Abul-Hasan Ash'ari, iaitu tujuh sifat yang biasa dipelajari di Malaysia, seperti Wujud, Qidam, Baqa' dan seterusnya.

Kemudian beliau menyebut tentang sifat-sifat Allah yang  selebihnya, seperti Tangan Allah, Mata Allah, Istiwa atas 'Arsy, dan sebagainya., yang boleh dibahagikan kepada empat pendapat:
1. Golongan Mujassimah - yang mengisbatkan kepada Allah sifat-sifat ini sebagai menyerupai sifat makhluk.
2. Golongan Mu'attilah - yang tidak mengisbatkan apa-apa sifatpun kepada Allah.
3. Golongan Salaf- yang mengisbatkan semua sifat-sifat ini kepada Allah, dalam masa yang sama, mengatakan bahawa sifat-sifat Allah tidak langsung menyerupai mana-mana makhluk ciptaanNya.
4. Golongan Khalaf - yang menghadapi ancaman pengaruh falsafah, maka mereka menghuraikan sifat-sifat ini, atau lebih tepat, mentakwilkan sifat-sifat ini, seperti Muka sebagai zatNya, Tangan sebagai kudrahNya, dan sebagainya.

Selepas menerangkan sedikit sebanyak tentang kempat-empat pendapat yang disebutkan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menerangkan jalan atau pendapat mana yang lebih selamat. Kata beliau (hafizahullah) dalam mukasurat 174 (gambar disebelah):

 "Jalan ikutan yang selamat adalah pegangan salaf iaitu pendapat ketiga."

Kenyataan beliau mirip ungkapan yang biasa disebut oleh golongan khalaf dahulu, iaitu:

طريقة السلف أسلم، طريقة الخلف أعلم وأحكم
"Jalan Salaf lebih selamat, Jalan Khalaf lebih berilmu dan Hikmah."

Keterangan al-Hafizh Ibn Hajr al-'Asqalani (rahimahullah) tentang itu:
وقال غيره قول من قال طريقة السلف أسلم وطريقة الخلف أحكم ليس بمستقيم لأنه ظن أن طريقة السلف مجرد الإيمان بألفاظ القرآن والحديث من غير فقه في ذلك وان طريقه الخلف هي استخراج معاني النصوص المصروفة عن حقائقها بأنواع المجازات فجمع هذا القائل بين الجهل بطريقة السلف والدعوى في طريقة الخلف وليس الأمر كما ظن بل السلف في غاية المعرفة بما يليق بالله تعالى وفي غاية التعظيم له والخضوع لأمره والتسليم لمراده وليس من سلك طريق الخلف واثقا بان الذي يتأوله هو المراد ولا يمكنه القطع بصحة تاويله


“Orang lain pula mengatakan pendapat mereka yang mengatakan: “Jalan Salaf adalah paling selamat, tetapi Jalan Khalaf adalah paling berilmu dan berhikmah” adalah tidak betul kerana dia berfikir bahawa jalan Salaf hanyalah beriman dengan lafaz-lafaz al-Quran dan hadith tanpa sebarang kefahaman di dalamnya, dan jalan Khalaf adalah mengesktaksi makna nas-nas yang diubah hakikat-hakikatnya dengan kiasan-kiasan (majaz). Maka kata-kata (ungkapan) ini mengandungi kejahilan tentang jalan Salaf serta dakwaan (semata) tentang jalan Khalaf. (Hakikat)nya tidaklah seperti yang mereka sangkakan. Malah, golongan Salaf mempunyai ma’rifah yang mendalam tentang apa yang berpadanan tentang Allah, dan sangat menghormati (ta’zhim) kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya serta menyerah diri kepada KehendakNya. Dan mereka yang mengikuti jalan Khalaf tidak pula yakin bahawa takwilan yang dilakukannya adalah yang dimaksudkan (oleh Allah) dan mereka tidak mungkin pasti tentang kesahihan takwilannya.”
[Fath al-Bari karangan Ibn Hajr al-‘Asqalani di dalam Kitab at-Tauhid, Sahih al-Bukhari]

Al-Hafizh Ibn Hajr menolak dakwaan bahawa jalan Khalaf lebih berilmu dan berhikmah, maka tinggallah "Jalan Salaf lebih selamat" sebagai kenyataan yang betul.

Fikir-fikirkanlah...

1 comment:

  1. Salaf mengisbatkan ayat, tanpa menafsir, menyerahkan maknanya kpd Yg memfirmankannya.
    Ashariyah mengisbatkan ayat dan menakwil dgn makna yg bersesuaian bg mengelak org awam menggambarkan Tuhan dgn sifat makhluk. Namun makna hakikinya ttp diserahkan kpd Yg memfirmankannya.
    Yg dituduh wahabi pula, dikatakan mengisbatkan ayat dan menafsirkanya dgn makna zahir dan dituduh menganggap makna zahir itulah makna hakikinya. Dituduh juga mendakwa golongan yg tidak menerima fahaman mrk sbg golongan yg mengingkari ayat Quran. Betul ke ?

    ReplyDelete