Monday, June 25, 2012

Q&A: Adakah suara wanita aurat?

Soalan:
Ustaz,saya ada beberapa kemuskilan selepas perbincangan antara saya dan suami baru baru ini.


 Suami ada menegur mengenai bacaan Al-Quran saya dgn mengelurkan suara kerana aurat. Pada hal saya hanya membaca di dalam bilik yg hanya di dengari oleh anak dan suami sahaja. Suami saya tidak tahu/pernah membaca Al-Quran (dlm sembahyang haya surah2 pendek sahaja ). Tujuan saya untuk membentuk anak lelaki mengenal Al-Quran.

Saya tahu suara adalah aurat. Tetapi bagaimana pula dgn wanita-wanita yg membaca surah Yassin di dalam majlis kesyukuran atau musabaqah?


Saya berharap ustaz dapat menjelaskan supaya persoalan ini tidak lagi bermain di fikiran saya.
Wassalam…


Jawapan:
Wa’alaikum salam warahmatullah wabarakaatuh,


Pendapat yang lebih sahih adalah suara wanita bukan aurat. Berikut adalah dalil-dalilnya dan terjemahan pendapat-pendapat dalam mazhab Shafie daripada kitab Fekah Mazhab Shafie yang masyhur dan muktabar, iaitu Kitab al-Majmu’, penulisan Imam an-Nawawi (rahimahullah).


 Dalil al-Quran:


1.       Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang berdebat dengan kamu (Rasulullah) tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” [al-Mujadalah : 1] – Komen saya: Sekiranya suara wanita aurat, sudah tentu Allah akan menegur nabi tentang soal jawab antara nabi dan wanita yang membuat aduan itu.


2.       Wahai isteri-isteri Nabi, kamu tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,” [al-Ahzab: 32] – Komen saya: Sekiranya suara wanita aurat, sudah tentu tidak diberikan pilihan. Yang lebih tepat adalah suara wanita bukan aurat tetapi suara dengan cara yang boleh menimbulkan fitnah (menaikkan keghairahan lelaki) itulah yang tidak dibenarkan.


 Dalil Hadith:


Banyak terdapat hadith-hadith di mana seorang sahabiyah (sahabat wanita) yang datang berjumpa nabi yang bersamanya sahabat2nya lalu bertanya soalan sehingga didengari oleh para sahabat, malah merekalah yang meriwayatkan hadith-hadith ini. Contoh-contohnya:


1.       Abu Sa’id al-Khudri (ra) meriwayatkan bahawa ada seorang wanita datang kepada nabi dan mengadu bahawa golongan lelaki mempunyai peluang yang lebih daripada wanita untuk belajar ilmu hadith, lalu dia meminta nabi agar mengkhususkan masa untuk mengajar golongan wanita. [Bukhari dan Muslim] – Komen saya: Ternyata kejadian ini disaksikan oleh perawinya, Abu Sa’id al-Khudri.


2.       Abu Hurairah (ra) meriwayatkan tentang seorang wanita yang datang mengadu kepada nabi tentang penyakit gila. Nabi (Sallallahu ‘alayhi wasallam) lalu bersabda: “Sekiranya kamu mahu saya akan doakan dan kamu akan sembuh, tetapi sekiranya kamu mahu maka bersabarlah, dan kamu tidak akan dihisab (di Akhirat).” [Sahih – Ibn Hibban, Ahmad dan lain-lain] – Komen saya: Ternyata kejadian ini juga disaksikan oleh Abu Hurairah.


 Kata-kata Ulama:


Imam an-Nawawi telah menulis:


وأما المرأة فقال أكثر أصحابنا إن كانت تصلى خالية أو بحضرة نساء أو رجال محارم جهرت بالقراءة سواء صلت بنسوة أو منفردة وإن صلت بحضرة اجنبي أسرت وممن صرح بهذا التفصيل المصنف والشيخ أبو حامد والبندنيجي وأبو الطيب في تعليقهما والمحاملى في المجموع والتجريد وآخرون وهو المذهب وأطلق صاحب الحاوى انها تسر سواء صلت منفردة ام امامة وبالغ القاضي حسين فقال هل صوت المرأة عورة فيه وجهان (الاصح) انه ليس بعورة قال فان قلنا عورة فرفعت صوتها في الصلاة بطلت صلاتها والصحيح ما قدمناه عن الاكثرين قال البندنيجي ويكون جهرها اخفض من جهر الرجل قال القاضي أبو الطيب وحكم التكبير في الجهر والاسرار حكم القراءة واما الخنثى فيسر بحضرة النساء والرجال الاجانب ويجهر إن كان خاليا أو بحضرة محارمه فقط واطلق جماعة أنه كالمرأة والصواب ما ذكرته





Manakala wanita pula, kebanyakan sahabat2 kami (dalam mazhab Shafie) berkata: “Sekiranya dia solat seorang diri atau dihadiri wanita2 atau lelaki2 yang mahram, hendaklah dia menguatkan bacaannya samada dia solat (berjemaah) dengan wanita2 atau solat berseorangan. Sekiranya dia solat dihadiri (hampir) dengan seorang lelaki ajnabi (bukan mahram) hendaklah dia merendahkan (suaranya).”




Di antara mereka yang menyatakan perincian sedemikian adalah penulis (ash-Shirazi), Abu Hamid (al-Ghazali), al-Bandaniji, Abu at-Toyyib dalam komentarinya, al-Mahamili dalam kitab al-Majmu’ dan at-Tajrid, dan lain-lain, dan inilah (pendapat muktabar) mazhab. Penulis kitab al-Hawi (iaitu al-Mawardi): “Sesungguhnya dia (wanita) merendahkan suara samada ketika solat berseorangan atau sebagai Imam (kepada jemaah wanita).” Dan al-Qadhi Husain pula lebih jauh lagi (kritikannya terhadap pendapat suara wanita itu aurat), dia berkata: “Adakah suara wanita aurat? Dalam hal ini ada dua wajah pendapat (ulama mazhab Shafie): Yang lebih sahih adalah  ianya (suara wanita) bukan aurat.” Katanya lagi: “Sekiranya kami berpendapat (ianya aurat), lalu dia telah menguatkan suaranya dalam solat maka batallah solatnya! (Pendapat) yang sahih adalah apa yang kami telah utarakan daripada majoriti.”


Al-Bandaniji pula berpendapat: “Menguatkan suaranya (wanita) adalah lebih rendah daripada suara lelaki.”


Abu at-Toyyib pula berpendapat: “Hukum membaca takbir secara kuat atau perlahan adalah (sama seperti) hukum membaca (al-Quran). Manakala khunsa pula hendaklah merendahkan suaranya di kalangan wanita dan lelaki ajnabi, dan hendaklah dia menguatkan (suaranya) sekiranya berseorangan atau di kalangan lelaki mahram sahaja. Sekumpulan (ulama) mengatakan hukumnya (khunsa) seperti wanita, dan (pendapat) yang benar adalah apa yang saya sebutkan.”
[Kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab oleh Imam an-Nawawi, Jilid 3, ms. 355-356]

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib asy-Syarbini, seorang ulama Fekqh Mazhab Shafie menyebutkan:

صَوْتُ الْمَرْأَةِ لَيْسَ بِعَوْرَةٍ ، وَيَجُوزُ الْإِصْغَاءُ إلَيْهِ عِنْدَ أَمْنِ الْفِتْنَةِ ، وَنُدِبَ تَشْوِيهُهُ إذَا قُرِعَ بَابُهَا فَلَا تُجِيبُ بِصَوْتٍ رَخِيمٍ ، بَلْ تُغَلِّظُ صَوْتَهَا بِظَهْرِ كَفِّهَا عَلَى الْفَمِ

"Suara wanita bukannya aurat, dan harus mendengar (suara)nya ketika aman daripada fitnah. Disunatkan mengubah suaranya apabila pintu rumahnya diketuk maka dia tidak menjawab dengan suara yang lembut merdu. Malah hendaklah dia mengasarkan suaranya dengan meletakkan belakang tangannya ke mulut."
[Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifat Alfadz al-Minhaj, dalam Kitab an-Nikah]

Oleh yang demikian, tidak salah puan membaca al-Quran di hadapan suami dan anak lelaki, malah ianya sesuatu yang baik, lebih-lebih lagi dengan niat yang baik seperti yang disebutkan.


Cuma tambahan saya tentang bacaan wanita surah Yasin di dalam Majlis kesyukuran dan musabaqah, setelah mendengar kata-kata ulama bila ditanya tentang bacaan wanita yang didengari golongan lelaki yang bukan mahram, maka mereka biasanya menasihatkan agar tidak dilakukan kecuali bila terpaksa. Contohnya, bila guru Quran perempuan tidak dapat diketemui maka harus seorang wanita mempelajari al-Quran dengan guru lelaki, samada cara berdepan, mahupun dengan menalipon ke siaran TV yang mengajar al-Quran. Ini adalah kerana bacaan al-Quran disunatkan dengan suara yang sedap dan berlagu, maka ianya, sekurang-kurangnya, makruh diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Apatah lagi sekiranya suara seorang wanita yang sedang bernyanyi, maka itu tidak syak lagi, haram.



Malah, nabi telah berpesan kepada umatnya, sekiranya sesuatu kesilapan berlaku di dalam solat Jemaah, maka golongan lelaki boleh menegur dengan menyebut "Subhanallah", namun golongan wanita disuruh menepuk tangan mereka. Lihat bagaimana nabi memberikan cara yang betul bagi golongan wanita untuk menegur sesuatu kesilapan di dalam solat Jemaah yang merupakan ibadat yang sangat agung dan Fardu! Apatah lagi dalam musabaqah al-Quran yang paling kuat hukumnya pun sunat, dan golongan wanita sepatutnya menegaskan pendirian mereka agar musabaqah khusus untuk wanita diadakan tanpa kehadiran golongan lelaki.


Allahu a’lam

1 comment:

  1. PEMBETULAN TAFSIR AL-QURAN : Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). Surah Al-Ahzab(32)

    ReplyDelete