Friday, July 6, 2012

Keterangan tentang amalan di Nisfu Sya'ban

Saya tidak berniat untuk berhujjah panjang lebar tentang masalah sambutan Nisfu Sya’ban. Saya hanya akan menyebutkan di sini fatwa Prof. Yusuf al-Qardawi (Tokoh Ma’al Hijrah) tentang perkara ini, tetapi sebelum itu, mahu ajak berfikir sejenak, sekaligus sebagai nasihat apabila berhadapan dengan persoalan amalan agama yang diperselisihkan antara boleh amal ataupun ianya bid’ah.

Ta’rif Bid’ah:

Bid’ah, dari segi bahasa bermaksud sesuatu amalan yang tidak ada contoh sebelumnya, dan dalam istilah Islam, bermaksud sesuatu amalan yang diada-adakan yang menyerupai syariah, yang dilakukan untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Tujuan Kaedah:

Tujuan kaedah ini, adalah untuk memelihara agama daripada diubah sesuka hati. Allah telah nyatakan bahawa agama ini sudah sempurna (perfect), maka perubahan tidak akan membuatkannya lebih sempurna, malah akan mengurangkan kesempurnaannya.

Ibadat dan sumber2nya:

Islam yang diredhai Allah sebagai agama kita pada asalnya bersumber daripada al-Quran dan Sunnah nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam). Sumber lain dalam Islam adalah Ijmak dan Qiyas. Namun di dalam perkara-perkara yang diklasifikasikan sebagai ibadat, maka caranya, penentuannya, hanya bersumberkan al-Quran dan Sunnah sahaja. Mengapa? Sebab ibadat ditentukan oleh Allah dan RasulNya sendiri. Islam adalah agama Allah, maka Dialah yang berhak menentukannya.

Kita boleh ambil contoh di kilang atau tempat kerja, di mana cara melakukan satu kerja yang ditentukan oleh majikan dengan SOP (Standard Operating Procedure) tidak boleh dibuat sesuka hati, WALAUPUN hasil kerjanya mungkin sama! SOP di dalam Islam adalah al-Quran (boleh diibaratkan Quality Manual) dan as-Sunnah atau hadith (boleh diibaratkan sebagai Quality System Procedure). Sesiapa yang tidak bekerja menurut SOP atau prosedur yang ditetapkan sudah pasti kerjanya tidak diterima dan dia dikenakan tindakan tatatertib oleh majikan.

Dalam ibadat, kita mestilah mengikut Quran dan Sunnah kerana Allah sahaja yang tahu apa yang Dia redhai sebagai ibadat kepadaNya atau tidak. Tambahan pula, ibadat mempunyai rahsia yang kita tidak ketahui kecuali Allah. Kita boleh cuba fikirkan hikmah sesuatu ibadat yang sudah ditentukan, tetapi sesuatu buah fikiran yang dianggap baik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengadakan satu ibadat baru, atau mengubah cara ibadat yang telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu, nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak kami perintah maka ianya tertolak.” [Sahih Muslim] Bukan kerana amalan itu pada asalnya tidak baik, tetapi kerana ianya tidak diperintahkan sebegitu rupa, tidak ditentukan sebegitu caranya, tidak dijadikan SOP oleh Allah dan RasulNya! Oleh itu, sahabat nabi, Abdullah bin Umar (ra) berkata: “Semua bid’ah adalah sesat, walaupun orangramai berpendapat ianya hasanah (baik).”

Fatwa tentang Nisfu Sya’aban:

Setelah memahami kaedah di atas, barulah kita boleh memahami alasan Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi di bawah:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabat, dan dua generasi muslim selepas sahabat).

Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Amalan Nisfu Sya’aban zahirnya baik, tetapi dikatakan bid’ah kerana tidak ada dalil, samada Quran atau Sunnah, yang menetapkan sesuatu amalan khas atau sambutan pada Nisfu Sya’aban. Walaupun ada dalil tentang kelebihan malam itu, kita tidak boleh menetapkan, mengkhususkan sesuatu ibadat pada hari itu kerana dalil sahih yang ada pun tidak menentukannya. Maka amalan khusus yang biasa dianjurkan, diamalkan setiap tahun telah menjadi amalan yang diada-adakan yang menyerupai syariah, yang dilakukan untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Cuma satu amalan yang boleh dikaitkan dengan bulan Sya’aban, dan bukan Nisfu Sya’aban, adalah amalan berpuasa, kerana nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) paling banyak berpuasa dalam sesuatu bulan, selain bulan Ramadan, adalah di dalam bulan Sya’aban. Lebih-lebih lagi hadith ini:

Daripada Usama bin Zaid (ra): Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Mengapa saya tidak nampak tuan berpuasa sunat mana-mana bulan sebanyak tuan berpuasa di bulan Sya’aban?”

Sabda baginda: “Itu adalah bulan yang orangramai telah lupakan, di antara Rejab dan Ramadan. Ianya adalah bulan di mana amalan-amalan diangkat kepada Rabb al-‘Alamin (Allah), dan aku suka diangkat amalanku sedang aku berpuasa.”
[Sahih - Riwayat an-Nasaa’i, Ibn Khuzaimah dan lain-lain]

Semoga kemurniaan Islam yang asal dipelihara daripada tokok tambah dan pengubahsuaian.

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment