Hanya terdapat empat sumber rujukan utama Sirah Nabi s.a.w yang diperakui:
1. Al-Quran al-Karim
Al-Quran merupakan sumber rujukan asasi yang kita cedok daripadanya Sirah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam). Al-Quran al-Karim telah menyingkap kehidupan Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) semasa kecil; memaparkan akhlak baginda yang mulia dan terpuji; membicarakan tentang keperitan dan sikap degil yang dihadapi oleh baginda (sallallahu ‘alayhi wasallam) di jalan dakwah; menyebut tentang beberapa gelaran yang diberikan oleh orang musyrik kepada baginda demi menyekat agama Allah ‘Azza wa Jalla daripada tersebar, seperti ahli sihir dan orang gila; memaparkan hijrah Rasul (sallallahu ‘alayhi wasallam); membentangkan pertempuran-pertempuran penting yang baginda lalui selepas Hijrah; memperkatakan tentang sesetengah mukjizat baginda seperti mukjizat Isra' dan Mi'raj; dan lain-lain. Oleh kerana al-Quran merupakan kitab paling dipercayai di atas muka bumi dan terbukti kebenaran secara mutawatir, seorang manusia yang berakal tidak sepatutnya terfikir untuk meragui nas-nas dan kekukuhan fakta sejarahnya. Namun dapat diperhatikan bahawa al-Quran tidak menyingkap peristiwa sirah secara terperinci, tetapi sekadar menyentuhnya secara ringkas. Ia sekadar membincangkan pengajaran dan pedoman yang boleh diambil. Demikianlah sikap al-Quran dalam setiap kisah berkenaan para nabi dan umat terdahulu.
2. Sunnah yang Sahih
Sunnah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) yang sahih terkandung dalam kitab karangan para imam hadis yang diakui kejujuran mereka lagi dipercayai di dunia Islam. Kitab-kitab itu ialah: Kitab Sunan Sittah (enam buah kitab hadis): Iaitu kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan an-Nasaie, Sunan at-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah. Begitu juga kitab al-Muwatto' karangan Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad. Kitab-kitab ini, terutamanya Sahih Bukhari dan Sahih Muslim berada di tangga teratas dari aspek kesahihan,
dipercayai dan pembuktiannya. Sementara kitab-kitab lain mengandungi hadis-hadis sahih dan hasan, dan juga hadis daif. Sebahagian besar kisah kehidupan Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam), peristiwa, peperangan dan amalan baginda terkandung dalam kitab-kitab ini. Daripadanya, kita dapat membentuk pemikiran yang menyeluruh berkenaan Sirah Rasul (sallallahu ‘alayhi wasallam) (sekalipun ia kadang-kadang tidak saling melengkapi). Antara perkara yang meningkatkan kepercayaan dan penerimaan terhadap kitab-kitab ini ialah, hadis-hadisnya telah diriwayatkan dengan sanad yung bersambung hingga kepada para sahabat (radhiyallahu ‘anhu). Merekalah yang bergaul dengan Rasulullah dan sentiasa bersama baginda. Allah juga telah memenangkan agamaNya melului mereka, Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) sendiri yang mendidik mereka. Oleh itu mereka adalah generasi paling sempurna dalam sejarah. Sama ada dari segi keluhuran akhlak, kekuatan iman, kejujuran percakapan, ketinggian roh dan kesempurnaan akal. Maka, riwayat dengan sanad yang sahih dan bersambung adalah wajib diterima sebagai satu hakikat sejarah tanpa ragu lagi. Para orientalis pula, yang juga disokong oleh orang Islam yang terpengaruh dan berpegangan agama yang rapuh, mempunyai misi tersembunyi untuk meragukan kesahihan kitab-kitab sunan yang berada di hadapan kita ini. Tujuan mereka semua ialah meruntuhkan Syariah dan menimbulkan keraguan terhadap peristiwa dalam Sirah. Namun Allah yang bertanggungjawab memelihara agamaNya, telah menyediakan golongan yang menolak kebatilan dan tipu daya tersebut sehingga menjerut batang leher mereka sendiri.
3. Syair Arab pada Zaman Kerasulan
Tidak diragui bahawa orang musyrik telah menyerang Rasul (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan dakwah baginda melalui lidah para penyair mereka. Ini memaksa orang Islam menjawabnya melalui lidah para penyair mereka pula seperti Hasan bin Thabit, Abdullah bin Rawwahah dan lain-lain lagi. Buku-buku sastera dan sirah yang ditulis selepas zaman itu mengandungi banyak syair-syair sebegini. Melalui syair-syair ini, kita dapat membuat kesimpulan tentang fakta-fakta berkaitan suasana persekitaran (sallallahu ‘alayhi wasallam) hidup dan dakwah Islam mula lahir.
4. Kitab-kitab Sirah
Pada mulanya kisah dalam Sirah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) hanya merupakan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat (radhiyallahu ‘anhu) kepada generasi selepas mereka. Sesetengah sahabat memberikan perhatian khusus terhadap setiap peristiwa yang berlaku dalam sirah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan perinciannya. Kemudian, para tabien menukilkan riwayat-riwayat ini dan mencatatnya dalam lembaran simpanan mereka. Sesetengah mereka memberi perhatian khusus terhadap usaha ini, contohnya: Aban bin 'Othman bin 'Affan r.a (32-105H) dan 'Urwah bin az-Zubair bin al-'Awwam (23-93H). Contoh di kalangan tabien kecil pula iulah, Abdullah bin Abu Bakar al-Ansari (meninggal dunia pada 135H), Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri (50-124H), juga 'Asim bin 'Umar bin Qatadah al-Ansari (meninggal dunia 129H). Kemudian, generasi selepas mereka telah menulis sirah dalam penulisan yang khusus. Di antara pengarang awal Sirah yang paling terkenal ialah Muhammad bin Ishaq bin Yasar (Ibnu Ishaq) (meninggal dunia 152H), yang disepakati thiqah, kecuali Malik dan Hisyam bin ' Urwah bin az-Zubair, yang dianggap sebagai persengketaan peribadi antara mereka oleh kebanyakan ulama muhaqqiqin. Ibnu Ishaq pula telah menulis kitab al-Maghazi. Dukacitanya, kitab ini tidak sampai kepada kita. Akan tetapi, kandungan kitab itu masih kekal terpelihara di dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam.
Sirah Ibnu Hisyam
Beliau ialah Abu Muhammad Abdul Malik bin Ayyub al-Himyari (dikenali dengan Ibnu Hisyam). Membesar di Basrah dan meninggal dunia pada tahun 213 atau 218H. Kitabnya as-Sirah an-Nabawiyah mengandungi peristiwa sirah yang diriwayatkan oleh gurunya, al-Bakka-ie daripada Ibnu Ishaq, di samping peristiwa sirah yang beliau riwayatkan sendiri daripada guru-gurunya, selain Ibnu Ishaq. Kitab ini muncul sebagai sumber Sirah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) yang paling amanah, paling sahih. dan paling teliti. Kitabnya ini telah disyarahkan oleh dua orang 'alim diri Andalus: as-Suhaili (508-581H) dan al-Khusyani (535-604H).
Tobaqot Ibnu Saad
Beliau ialah Muhammad bin Saad bin Mani' az-Zuhri (dikenali dengan Ibnu Saad). Lahir di Basrah pada 168H dan meninggal dunia di Baghdad pada 230H. Beliau adalah seorang penulis kepada Muhammad bin 'Umar al-Waqidi (130-207HJ, ahli sejarah yang terkenal dalam bidang kisah-kisah peperangan dan sirah. Ibnu Saad menyusun tulisannya dalam kitabnya, at-Tobaqot (selepas menulis tentang Sirah Rasul (‘alayhis-salam) dengan menyebut nama-nama sahabat dan tabien mengikut lapisan generasi (tobaqot), kabilah dan kawasan mereka. Kitab beliau, at-Tobaqot dianggap antara sumber awal sirah yang paling dipercayai dan faktanya paling terpelihara dengan dinyatakan latar belakang sahabat dan tabien.
Tarikh at-Tobari
Abu Jaafar Muhammad bin Jarir at-Tobari (224-310H). Seorang imam, faqih, ahli hadis dan pengasas mazhab fiqh yang kurang tersebar. Penulisan beliau di bidang sejarah, tidak terbatas kepada Sirah Rasul (‘alayhis-salam), bahkan sejarah umat-umat sebelumnya. Beliau menyediakan bahagian yang khusus untuk Sirah baginda (‘alayhis-salam), seterusnya menyambung perbicaraan tentang sejarah negara-negara Islam sehingga beliau hampir meninggal dunia. Apa yang diriwayatkan oleh at-Tobari boleh dijadikan hujah dan dipercayai. Walaubagaimanapun, banyak riwayat daif atau batil yang beliau sebut, yang beliau sandarkan riwayatnya kepada perawinya. Ini kerana puda zaman beliau, orang ramai mengenali perawi tersebut. Contohnya, apa yang diriwayatkan daripada Abu Mikhnaf. Abu Mikhnaf adalah seorang pengikut Syiah yang taksub. Namun begitu at-Tobari banyak memasukkan riwayat beliau ke dalam tulisannya dengan cara menyandarkan riwayat tersebut kepada Abu Mikhnaf. At-Tobari seolah-olah melepaskan tanggungjawab riwayat tersebut dan meletakkannya ke bahu Abu Mikhnaf.
Perkembangan penulisan Sirah
Kemudian, penulisan Sirah terus berkembang. Sesetengah aspek telah ditulis secara khusus dan berasingan seperti, Dala-il an-Nubuwwah (Tanda-tanda Kenabian) oleh al-Asbahani, Syama-il al-Muhammadiyyah (Perwatakan Muhammad) oleh at-Tirmizi, Zadul-Ma'ad (Bekalan ke Tempat Kembali) oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, as-Syifa’ (Kesembuhan) oleh Qadhi 'Iyadh dan al-Mawahib al-Ladunniyah (Bakat-bakat Kurniaan Tuhan) oleh al-Qastoluni. Ia disyarah dalam lapan jilid oleh az-Zarqani yang meninggal pada tahun 1122H. Di antara kitab paling terkenal pada zaman moden kita ialah kitab Nur al-Yaqin fi Sirah Sayyid al-Mursalin oleh Syeikh Muhammad al-Khudhori rahimahullah.
No comments:
Post a Comment