لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (ganjaran) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [al-Ahzab:29]
Nabi Muhammad sebagai Contoh Teladan
Pada rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) ada contoh teladan bagi seluruh umat Islam, dalam semua perkara, termasuk solat, puasa, haji, adab-adab makan & minum, adab-adab tandas, jual beli, dan lain-lain. Inilah tujuan seorang Rasul dilantik daripada kalangan manusia, agar seluruh umat dapat jadikan beliau contoh ikutan.
Siapakah pengikut Rasul yang sejati?
Pengikut Rasul yang sejati, yang benar-benar akan memanfaatkan contoh teladan nabi, adalah dia yang mempunyai 3 ciri-ciri berikut:
a. Mengharap kepada Allah, termasuk ikhlas kepadaNya.
b. Mengharapkan rahmat Allah dan ganjaran baik apabila datangnya Hari Kiamat, termasuk nikmat melihat Allah, dan Syurga.
c. Banyak mengingati Allah
Namun, hakikatnya, betapa ramai umat Islam mengikut contoh orang-orang kafir, yang mereka letak sebagai idola mereka, samada sedar atau tidak sedar.
Bagaimanakah umat Islam boleh bersatu sekiranya:
1. hati mereka tidak berharap kepada tuhan yang satu, iaitu Allah;
2. hati mereka tidak takut dengan Hari Kiamat yang pasti datang;
3. hati mereka cinta kepada selain nabi Muhammad, sehinggakan contoh teladannya diabaikan, malah meniru gerak langkah serta pemikiran orang-orang fasiq atau kafir.
4. hati mereka tidak mengingati Allah, walaupun di dalam Solat mahupun ketika berdoa.
Faedah-faedah daripada ayat:
1. Nabi Muhammad adalah contoh teladan bagi orang-orang yang beriman.
2. Sunnah Nabi adalah contoh yang kita diperintahkan oleh Allah untuk diikuti, dan sekiranya ada perselisihan, maka kembalilah kepada contoh yang ditetapkan oleh Allah, dan bukan amalan yang kita ada-adakan.
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Firman Allah (mafhumnya): “Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” [an-Nisa: 59]
3. Iman kepada Allah dan Hari Kiamat adalah dua rukun yang paling penting di antara rukun-rukun Iman, kerana ianya merangkumi kesemua rukun-rukun Iman, dan itulah sebabnya seringkali hanya kedua rukun ini disebut di dalam al-Quran dan Hadith.
4. Pengikut nabi yang sejati tidak tinggal atau hidup di dunia ini dengan sepenuh hatinya, tetapi hatinya terpaut kuat dengan harapannya di Akhirat, kerana kehidupan sejati yang terdapat di Akhirat, iaitu Syurga.
5. Zikir atau Zikrullah tidak terhad kepada tasbih (zikir ‘subhanallah’), tahmid (zikir ‘alhamdulillah’), tahlil (zikir ‘la ilaha illah’), takbir (zikir ‘Allahu akbar’) dan sebagainya yang merupakan amalan lisan, tetapi ianya merangkumi amalan anggota badan seperti solat, haji, dan lain-lain amalan menurut Sunnah Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam).
Imam an-Nawawi (rahimahullah) berkata:
اعلم أن فضيلة الذكر غير منحصرة في التسبيح والتهليل والتحميد والتكبير ونحوها ، بل كل عامل لله تعالى بطاعة فهو ذاكر لله تعالى ، كذا قاله سعيد بن جبير رضي الله عنه وغيره من العلماء.
“Ketahuilah, bahawa kelebihan berzikir tidak terhad kepada Tasbih, Tahlil, Tahmid, Takbir dan sepertinya. Malah setiap orang yang beramal dengan sesuatu amalan ketaatan kepada Allah, maka dia sedang berzikir (mengingati) kepada Allah. Begitulah kata Sa’id ibn Jubair (radiyallahu ‘anhu) dan para ulama selainnya.”
[al-Azkar]
No comments:
Post a Comment