Sirah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) mempunyai pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Keistimewaannya secara ringkas:
Pertama: Sirah Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) istimewa lantaran ia merupakan sirah yang menceritakan sejarah nabi utusan Allah ataupun sejarah keagungan seorang tokoh islah yang paling sahih. Sirah Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) telah kita terima melalui susur galur ilmiah yang paling tepat dan paling pasti, yang tidak memberi ruang untuk kita meragui kebenaran peristiwa besar dan penting yang berlaku. Dengan ini, mudah kita mengesan peristiwa dan mukjizat yang ditokok tambah oleh akal yang jahil dan gemar menambahkan sifat-sifat mengkagumkan kepada Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) pada zaman-zaman terkemudian melebihi apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya. Keistimewaan sirah yang sahih lagi tiada sebarang keraguan ini, tidak terdapat dalam mana-mana sirah rasul-rasul Allah terdahulu. Keraguan yang lebih kuat berlaku terhadap sirah tokoh-tokoh agama dan ahli falsafah lain yang bilangan pengikutnya di dunia mencapai ratusan juta orang, seperti Buddha dan Confucious.
Kedua: Kehidupan Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) pada setiap peringkat hidupnya amat jelas; sejak perkahwinan bapa Baginda, Abdullah dengan ibu Baginda, Aminah sehingga Baginda (sallallahu ‘alayhi wasallam) wafat. Kita mengetahui banyak perkara tentang kelahiran, zaman kanak-kanak, zaman remaja, sumber pencarian Baginda sebelum kenabian dan pengembaraan-pengembaraannya ke luar Makkah sehinggalah Allah rnengutuskannya sebagai Rasul yang mulia. Kita juga mengetahui secara lebih terperinci, jelas dan sempurna setiap hal ehwal Baginda selepas perutusan tersebut daripada setahun ke setahun. Bahkan pendetilan dalam meriwayat sirah Baginda hingga ke tahap mereka menyatakan kepada kita bilangan uban di kepala dan janggut Baginda (sallallahu ‘alayhi wasallam). Ini menjadikan sirah Baginda (sallallahu ‘alayhi wasallam) jelas dan terang seumpama matahari. Sebagaimana kata sesetengah pengkritik Barat: "Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) adalah satu-satunya tokoh yang lahir di bawah sinaran matahari." Fenomena seperti ini tidak mudah didapati di kalangan mana-mana rasul yang terdahulu.
Ketiga: Sirah Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) menceritakan perjalanan hidup seorang manusia yang dimuliakan Allah dengan risalah-Nya. Namun ia tidak mengeluarkan Baginda daripada sifat kemanusiaannya. Kehidupan Baginda tidak disertakan dengan dongeng-dongeng, juga tidak ditokok tambah dengan sifat ketuhanan, sama ada sedikit mahupun banyak. Apabila kita bandingkan hal ini dengan cerita-cerita yang diriwayatkan oleh orang Kristian tentang perjalanan hidup Isa (‘alayhis-salam), penganut Buddha tentang Gauthama Buddha, penyembah berhala tentang tuhan sembahan mereka, akan jelas kepada kita perbezaan nyata antara Sirah Baginda (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan sirah mereka. Maka, Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) akan terus menjadi model manusia yang kamil kepada sesiapa yang ingin hidup bahagia dan mulia dari segi diri, keluarga dan suasana persekitarannya.
Oleh yang demikian, Allah Taala berfirman dalam kitab-Nya yang mulia: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat.”
[Al-Ahzab: 21]
Keempat: Sirah Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) meliputi setiap sudut kemanusiaan yang dimiliki manusia. Ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) selaku pemuda yang amanah dan berakhlak mulia, iaitu sebelum Allah memuliakan Baginda dengan risalah-Nya. Sirah Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) meliputi semua aspek kemanusiaan dalam masyarakat. Ini menjadikan Baginda contoh teladan yang baik untuk setiap pendakwah, panglima, bapa, suami, teman sejati, jiran, pendidik, ahli politik, ketua negara dan demikianlah seterusnya.Kita tidak dapati kesyumulan seperti ini atau hampir sama dengannya dalam catatan sejarah berkenaan sirah rasul terdahulu, pengasas agama dan falsafah yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Satu-satunya manusia dalam sejarah yang boleh menjadi contoh teladan untuk semua golongan, semua pemilik pelbagai bakat dan semua manusia ialah Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam).
Kelima: Sirah Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) adalah satu-satunya sirah yang memberi dalil yang tidak diragui tentang kebenaran risalah dan kenabian Baginda kepada kita. Ia adalah perjalanan hidup seorang manusia kamil. Baginda mengharungi kehidupan bersama dakwahnya dengan mendapat kejayaan demi kejayaan; Bukan dengan cara peristiwa-peristiwa pelik yang melanggar adat kebiasaan mahupun mukjizat. Bahkan semata-mata dengan cara yang normal. Ketika hampir wafat, dakwah Baginda telah berkembang meliputi seluruh semenanjung tanah Arab. Dakwahnya tersebar melalui cara iman (keyakinan), bukan dengan cara paksaan atau kemenangan perang, dalam tempoh masa yang terlalu singkat iaitu 25 tahun. Semua ini memberikan keyakinan bahawa Muhammad adalah benar-benar pesuruh Allah. Allah tidak akan mendokong sesiapa yang mendustakan-Nya.
Mukjizat yang berlaku bukanlah faktor utama orang Arab beriman dengan dakwah Baginda. Bahkan kita tidak dapati Baginda mempunyai mukjizat yang menyebabkan orang kafir yang ingkar menjadi beriman kerana mukjizat tersebut. Mereka beriman dengan kebenaran risalah Baginda hanya kerana bukti-bukti lojik yang qat’ie dan masuk akal yang menunjukkan kebenaran dakwaan kenabiannya. Di antara bukti tersebut ialah: al-Quran al-Karim. Ia merupakan mukjizat yang boleh diterima oleh akal. Ini berbeza sama sekali dengan sirah para nabi terdahulu yang disimpan oleh para pengikutnya. Sirah para nabi terdahulu menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai beriman setelah melihat mukjizat dan perkara pelik yang menyalahi adat berlaku kepada rasul-rasul tersebut, tanpa meletakkan akal sebagai hakim dalam menilai prinsip-prinsip dakwah para rasul tersebut, seterusnya tunduk kepadanya. Sesiapa yang meneliti al-Quran al-Karim, dia akan dapati dalam usaha meyakinkan manusia, al-Quran bergantung kepada budi bicara akal, penyaksian pancaindera terhadap kebesaran ciptaan Allah, juga pengetahuan sempurna berkenaan Rasul yang buta huruf, sekaligus membuktikan kebenaran risalah Baginda.
Allah Taala berfirman: "Dan mereka berkata "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata" (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman."
[Al-Ankabut: 50-51]
Firman Allah lagi: “Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, untuk kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalir-kan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?"
[Al-Isra': 90-93]
No comments:
Post a Comment