Tuesday, July 21, 2009

SOLAT: Janganlah tinggal solat!..

Tahukah kamu apa hukuman seorang yang meninggalkan solat, menurut jumhur ulama? Tahukah kamu dosa meninggalkan solat adalah lebih besar daripada dosa minum arak dan makan daging babi?

Untuk menimbulkan kesedaran betapa pentingnya solat di dalam Islam, saya kemukakan penjelasan berikut: 1) Para ulama Islam, termasuk Imam-Imam Empat Mazhab, bersepakat bahawa sesiapa yang MENGINGKARI KEWAJIPAN solat ke atas setiap muslim aqil baligh, maka dia telah murtad, kafir!

2) Para ulama Islam, termasuk Imam-Imam Empat Mazhab, berselisih pendapat mengenai seorang muslim yang meninggalkan solat kerana MALAS:

a. Kafir, Murtad – Pendapat Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hanbali), juga pendapat para sahabat nabi. Antara dalil mereka: Sabda nabi:
“Perjanjian (yang membezakan) kita dan mereka (orang-orang musyrikin) adalah solat, sesiapa meninggalkannya maka dia telah kafir.”
[Ahmad, Tirmizi, Abu Daud dll]

Seorang tabi’in bernama Abdullah bin Syaqiq rahimahullahu pula berkata: “Adalah para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak memandang adanya sesuatu dari amalan-amalan yang bila ditinggalkan dapat mengkafirkan pelakunya kecuali amalan solat.”
[At-Tirmizi]

b. Tidak kafir, atau murtad – Pendapat Imam Shafie (Mazhab Shafie), Malik (Mazhab Maliki) dan Abu Hanifah (Mazhab Hanafi). Antara dalil mereka: Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah tidak akan memaafkan syirik, tetapi akan memaafkan dosa yang selainnya bagi sesiapa yang Dia mahu.”
[an-Nisaa:48]

Perhatian: Bukan tujuannya di sini untuk membahaskan pendapat yang lebih tepat. Tumpuan mesti diberikan kepada hakikat betapa besarnya dosa meninggalkan solat kerana MALAS, sehinggakan perbincangan ulama adalah di sempadan Islam dan kekufuran. Bayangkan sekiranya pendapat yang tepat adalah hukum murtad bagi yang meninggalkan solat, maka sia-sialah segala amal soleh yang telah dilakukan, firman Allah:

“Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.”
[al-Ma’idah:5]

3) Para ulama Islam, termasuk Imam-Imam Empat Mazhab, berselisih pendapat mengenai hukuman seorang muslim yang meninggalkan solat kerana MALAS:

a. Mazhab Hanbali – Hukuman bunuh kerana telah murtad
b. Mazhab Shafie dan Maliki – Hukuman bunuh, tetapi bukan kerana murtad
c. Mazhab Hanafi – Hukuman penjara dan dipukul sehingga keluar darah, sampai dia mula bersolat.

Perhatian: Seperti juga di atas, bukanlah maksud saya untuk membahaskan pendapat yang paling tepat. Bayangkan kita berada di dalam sebuah negara Islam (Khilafah Islamiyah), dan kita meninggalkan solat kerana malas, maka hukumannya bunuh, menurut jumhur ulama! Betapa besarnya dosa meninggalkan solat ini sehinggakan hukumannya sedemikan! Dengan hukumannya sedemikian rupa, dan hampirnya ia kepada kekufuran, tidak syak lagi dosanya lebih berat daripada makan daging babi, minum arak!

4) Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firman-Nya:
“Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar?” Mereka menjawab, “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat….”
[Al-Muddaththir: 42-43]

No comments:

Post a Comment