Wednesday, July 25, 2012

Hormati satu sama lain - PAS ke... Umno ke... Kita sama2 Islam




Alhamdulillah, kita bersyukur dua orang ustaz-ustaz ini yang saling hormat menghormati walaupun mewakili parti berlainan. Ini adalah contoh yang patut kita ikuti supaya kita dapat mengurangkan jurang perbezaan dan perselisihan antara umat Islam. Dan lebih memberansangkan lagi adalah sikap mengaku kesilapan sendiri yang dilakukan secara terbuka kerana mereka dihormati orangramai, supaya tidak ada yang terikut kesilapan seorang berilmu.



Saya berharap pengikut-pengikut parti PAS dan UMNO saling hormat menghormati antara satu sama lain, dan bekerjasama untuk kebaikan dan menegakkan Islam. Mereka mempunyai kekuatan masing-masing dan juga kelemahan masing-masing.



Oleh itu, kita mesti ingat hadith nabi yang sangat popular di kalangan ulama, dan dimuatkan di dalam kitab 40 hadith yang dikarang oleh Imam an-Nawawi, iaitu:



عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «الدِّينُ النَّصِيحَةُ» قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: «لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ»

Daripada Tamim bin Aus ad-Daarii bahawa nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) telah bersabda: “Agama ini adalah nasihat.”

Kami bertanya: “Kepada siapa?”

Sabdanya lagi: “Kepada Allah, KitabNya, RasulNya, pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan orang-orang awam.” [Sahih Muslim]

Bagaimana…?

Asal perkataan “Nasihat” bermakna tulen, dan bermaksud keikhlasan terhadap yang dinasihati. Oleh itu , maksud:

“Nasihat kepada Allah” – Ikhlas beriman kepada Allah, dengan mentauhidkan Allah dalam ibadat dan meninggalkan syirik, sekaligus mematuhi perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya.

“Nasihat kepada KitabNya” – Beriman dengan kitabNya, iaitu al-Quran, dan beramal dengan isi kandungannya.

“Nasihat kepada RasulNya” – Beriman dengan kerasulan dan kenabian Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan mentaati perintahnya dan meninggal larangannya.

“Nasihat kepada pemimpin-pemimpin” – Mematuhi mereka dalam kebenaran dan tidak memberontak dengan pedang sekiranya mereka zalim.

“Nasihat kepada orang-orang awam” – Menghendakkan kebaikan bagi mereka sambil menunjukkan mereka kepada perkara-perkara yang memanfaatkan mereka.

Oleh itu, kita sesama muslim, biarpun parti berlainan, kita mesti hormati satu sama lain, membantu satu sama lain, menasihati satu sama lain ke arah:

1.      Meninggalkan sesuatu kemungkaran kepada kebaikan

2.      Meningkat daripada sesuatu yang harus kepada sesuatu yang baik

3.      Meningkat daripada sesuatu yang baik kepada sesuatu yang lebih baik.

Dengan cara ini, barulah umat Islam dapat bersatu dan kuat semula seperti zaman kegemilangannya. Islam mewajibkan umat Islam bersatu. Bersatu dengan berpegang kepada tali Allah. Bersatu dengan berpegang kepada dua yang tidak sesat orang yang berpegang kepadanya, iaitu Quran dan Sunnah, menurut kefahaman yang asal dan betul.

No comments:

Post a Comment