Saturday, July 21, 2012

Mungkinkah hadith tentang suara kuat malam Jumaat di pertengahan Ramadan adalah benar?


Merujuk kepada artikel saya tahun lepas (5hb May 2011) tentang hadith ini (sila lihat: http://abukhadeejah.blogspot.com/2011/05/untuk-makluman-semua-hadith-yang.html)



Saya telah menerima satu komen daripada seorang yang tidak memperkenalkan dirinya, dan saya salinkan di bawah komennya secara penuh:




Saya kata bahawa hadis ini mungkin benar. Dan kalau diikutkan kata kunci hadis ini ialah:


1) Tahun berlakunya banyak gempa bumi. Kalau ikut kan ulama terdahulu yang hidup. Jarang berlaku gempa bumi yang banyak dalam masa setahun. Itu sebab ulamak terdahulu atau puak salafi beranggapan bahawa hadis ini lemah sebab mereka hidup ditahun dimana gempa bumi jarang berlaku atau tiada pada tahun itu. Gempa bumi banyak berlaku di tahun 2011, 2012 dan keatas. Kalau diikutkan sebelum tahun 2010 jarang berlaku gempa yang berpanjangan.


2) Kata kunci kedua ialah anda buka google blog search dan baca mimpi pasal kiamat yang ditulis. Disitu anda dapat simpulkan bahawa ramai orang bermimpi akan hadis ini. Ingat Sabda Rasullullah dalam hadisnya yang berbunyi: Bila hampir kiamat, Setiap mimpi orang beriman akan bermimpi benar, Dan orang paling soleh pada waktu itu adalah mimpi yang paling tepat.


Saya harap anda dapat fikirkan



Berikut adalah jawapan saya:

Saya faham maksud "anonymous" dengan komennya ini, dan percaya niatnya baik.

Terdapat beberapa persoalan yang perlu dibahaskan tentang komen ini.



Persoalan Pertama:



Adakah hadith ini sahih?



Jelas daripada artikel yang disebutkan di atas bahawa hadith ini tidak sahih menurut kaedah-kaedah ulama Hadith dalam penilaian sanad bagi hadith tersebut.



Persoalan Kedua:



Bolehkah hadith ini digunakan mengikut pendapat sebahagian ulama bahawa hadith lemah boleh digunakan dalam bab Fadha'il A'mal (Fadhilat2 Amalan)?



Menurut ulama yang membenarkan hadith lemah dalam bab Fadha'il A'mal, mereka tidak bermaksud semua hadith lemah boleh digunakan sedemikian. Mereka sebenarnya maksudkan hadith-hadith yang lemah dari segi sanadnya tetapi tidak teruk kelemahannya, dan mereka jauh sekali daripada menerima pakai hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang berdusta atau dituduh berdusta. Dan jelas daripada keterangan ulama bahawa hadith ini diriwayatkan oleh perawi yang berdusta, bukan hanya lemah dari segi ingatan.



Persoalan Ketiga:



Adakah kemungkinan sesuatu hadith yang dihukum sebagai lemah sebenarnya telah disebutkan oleh nabi?



Ya, memang ada kemungkinan itu. Namun, kita tidak boleh menggunakan kaedah seperti ini sebagai alasan untuk beramal atau menerima pakai hadith-hadith yang lemah. Ini adalah kerana:

1.    Di penghujung sesuatu kajian tentang sesebuah hadith adalah pengesahan bahawa nabi pernah bersabda sedemikian dan ini bukannya sesuatu yang kita boleh lakukan sewenang-wenangnya, tanpa kaedah-kaedah yang tetap. Lebih2 lagi apabila ianya ada kaitan dengan agama.

2.    Seringkali dijumpai bahawa hadith yang dijumpai lemah pada sanadnya, ianya juga bercanggah dengan al-Quran atau hadith yang sahih, sekaligus menunjukkan bahawa kaedah-kaedah penilaian ulama hadith adalah berkesan dan sangat tepat.



Persoalan keempat:



Adakah kemungkinan bahawa fakta yang disebutkan di dalam sesuatu hadith yang lemah adalah benar?



Ya, ini juga satu kemungkinan. Namun, kita mesti bezakan antara kebenaran fakta kandungan hadith lemah dengan pengesahan sesuatu hadith sebagai sabda nabi! Oleh itu, seringkali kita dapati ulama mengatakan sesuatu hadith itu lemah, tetapi maknanya betul, menunjukkan hadith itu tidak menepati penilaian hadith sekaligus tidak dapat disahkan sebagai sabda nabi, tetapi makna hadith disokong oleh nas-nas al-Quran atau hadith yang sahih, atau fakta-fakta yang sahih.



Persoalan Kelima:



Apakah yang mesti kita lakukan untuk menggunakan sesuatu hadith?



Beberapa perkara mesti dilakukan untuk selamat dalam menggunakan hadith:

1.    Gunakan hadith-hadith di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, mengutamakan hadith yang terkandung di dalam kedua-dua kitab, kemudian Bukhari sahaja, kemudian Muslim sahaja.

2.    Apabila menggunakan hadith daripada selain kedua kitab di atas, dapatkan penilaian ulama hadith ke atas hadith itu samada dengan merujuk kepada ulama-ulama hadith, atau kitab-kitab mereka, atau merujuk kepada ustaz-ustaz yang boleh merujuk kepada ulama2 hadith atau kitab2 mereka.

3.    Boleh mengambil hadith yang disebut oleh ustaz2 atau di dalam kitab2 ilmu yang bukan hadith, dengan syarat kita kenal bahawa mereka atau penulis kitab tergolong di kalangan orang-orang yang berhati2 dalam menggunakan hadith.

4.    Gunakan hadith sahih dan hasan sahaja.

5.    Sekiranya hendak menggunakan hadith yang lemah, pastikan ianya tidak diriwayatkan oleh seorang pendusta atau dituduh berdusta, dan isi kandungan mempunyai sokongan daripada al-Quran atau hadith yang sahih atau asas-asas Islam.

6.    Sekiranya disebut hadith yang lemah, maka beritahu kepada pendengar atau pembaca bahawa hadith itu adalah hadith yang lemah.

7.    Sekiranya ingin beramal dengan hadith yang lemah, kerana sebahagian ulama membenarkannya, maka janganlah ianya diamalkan atas dasar ianya sesuatu yang sah dan sabit daripada nabi (sallallahu'alayhi wasallam).

8.    Sekiranya ingin beramal dengan hadith yang lemah, amallah sebagai amalan peribadi, apabila bersendirian.



Balik semula kepada komen "anonymous" tentang hadith suara kuat malam jumaat ini, kita tidak boleh mengesahkan hadith ini menurut kaedah2 ulama hadith, maka hadith ini kita tidak boleh mengatakan ianya benar sebagai sabda nabi. Oleh iu perkara2 yang dianjurkan di dalam kandungan hadith ini kita tidak boleh amalkan lebih2 lagi kelemahan hadith ini sangat ketara.



Walaupun kenyataan di dalam hadith ini sesuai dengan keadaan dunia sekarang ini seperti kejadian gempa bumi yang ketara kebelakangan ini, ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mengesahkan hadith ini sebagai sabda nabi.



Tetapi sekiranya timbul satu situasi ada suara keras yang kuat lagi menakutkan, mungkin hari Jumaat, atau apa-apa hari jua pun, saya rasa ramai akan lari masuk ke dalam rumah mereka, dan menutup pintu2 mereka khuatir ada penjahat, atau pemberontak, atau sesuatu yang merbahaya, dan sebagainya. Namun untuk mengamalkan Subhana al-Quddus, tidak disyariatkan. Amalan2 yang ditetapkan al-Quran dan Sunnah yang Sahih sedia ada dan banyak maka kita tidak perlu kepada hadith yang lemah, malah palsu, ini.



Manakala komen "anonymous" tentang mencari kata kunci di google dan mimpi orangramai yang mengesahkan kandungan hadith ini, saya kata yang berikut:

1.    Pengesahan hadith tidak boleh dilakukan dengan fakta-fakta betul, apatah lagi dengan mimpi-mimpi.

2.    Mimpi-mimpi hanya boleh disahkan sebagai mimpi benar sekiranya kandungan mimpi benar-benar terjadi. Oleh itu, selagi ianya tidak terjadi lagi, kita tidak dapat mengesahkan mimpi2 itu adalah benar, kerana di dalam hadith yang sahih nabi menyebutkan bahawa mimpi ada tiga jenis:

a.    Mimpi solehah

b.    Mimpi daripada syaitan

c.    Mimpi yang merupakan bisikan jiwa seseorang.



Bagaimana kita hendak mengenali di antara mimpi2 ini, tergolong dalam jenis yang mana satu? Ada kemungkinan bahawa Syaitan yang menyebabkan mimpi-mimpi ini untuk menyebabkan orangramai keliru dan percaya dengan hadith palsu ini! Sekiranya kita percaya dengan cara “kemungkinan”, maka ini adalah satu kemungkinan yang mesti diambil kira.



Yang jelasnya, hanya selepas terjadinya sesuatu kejadian baru kita tahu bahawa sesuatu mimpi itu adalah mimpi solehah.



Tentang komen “anonymous” yang mengatakan “Itu sebab ulamak terdahulu atau puak salafi beranggapan bahawa hadis ini lemah sebab mereka hidup ditahun dimana gempa bumi jarang berlaku atau tiada pada tahun itu.”, ini adalah alamat yang tidak sihat, pada pendapat saya:

1.    Kita tidak pertikaikan penilaian ulama terdahulu terhadap hadith dengan hujjah ini, kerana mereka menggunakan kaedah2 yang sama dalam penilaian hadith dengan ulama2 sekarang. Kaedah penilaian tidak berkait dengan waktu atau zaman.

2.    Sekiranya ini dijadikan hujjah, maka akan berleluasalah fahaman2 sesat seperti Muktazilah dan sebagainya kerana mereka juga berhujjah di zaman sahabat mereka tidak secekap zaman kemudian dalam menggunakan akal dan lojik akal.

3.    Digunakan perkataan “atau puak salafi” yang mempamerkan salah faham beliau, kerana “salafi” bukan puak. “Salafi” bermaksud seorang muslim yang mengikut jejak langkah, sikap dan cara memahami agama ulama2 as-Salaf as-Soleh. Persoalan:

a.    Adakah golongan as-Salaf as-Soleh golongan yang tercela atau sesat?

Jauh sekali, malah golongan ini yang terdiri daripada sahabat-sahabat nabi, generasi yang seterusnya, dan yang seterusnya, telah dipuji oleh nabi dalam hadith2 yang tidak boleh diragukan, iaitu hadith bertaraf mutawatir.

b.    Adakah salah mengikut golongan as-Salaf as-Soleh?

Mana mungkin ianya salah, sedangkan kita disuruh mengikut jejak langkah orang-orang soleh.

c.    Adakah kita diperintah untuk mengikut golongan as-Salaf as-Soleh? Ya! Kita diperintah oleh Allah dan RasulNya untuk mengikut golongan ini. Bukankah Allah menyatakan redhaNya kepada sahabat2 dan sesiapa yang mengikut sahabat? Lihat surah at-Taubah:100. Bukankah nabi pernah mengatakan umat Islam akan terbahagi kepada 73 pecahan, dan yang selamat adalah mereka yang mengikut jalan Rasulullah dan sahabat2nya?

Oleh itu, “salafi” bukanlah suatu puak, tetapi mereka adalah sesiapa sahaja yang mengikut jejak langkah as-Salaf as-Soleh dalam memahami agama, baik perkara2 ibadat, muamalat, akhlak, lebih-lebih lagi Aqidah. Sesiapa yang menganggapkan dirinya salafi seperti satu kumpulan politik, atau jemaah yang mengatur ahli2nya seperti Ikhwan al-Muslimin, maka dia sudah jauh menyimpang daripada kefahaman sebenarnya.


2 comments:

  1. Salam, pada pandangan saya, hadith yg sdg hangat dibincangkan ini tidak menggugat aqidah seseorang pun..

    Selaku seorang yang beraqal yang mampu membuat pilihan kita hendaklah bersedia dan berhati2, seandainya tiada apa yang berlaku ucapkanlah Alhamdulillah..

    Tetapi sekiranya ia benar berlaku mampukah kita menyalahkan diri kita andai kejadian yang tidak diingini menimpa keluarga, sanak saudara, sahabat handai padahal kita pernah diberi peringatan walau dari sanad yg dhaif.. Maqasid itu kan penting..

    Wallahua'lam..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf, saya kurang setuju. Bila kita kata "ini hadith", kita berkeyakinan dan beri'tiqad (Aqidah) bahawa ini adalah sabda nabi, salah satu bentuk wahyu daripada Allah, sekiranya ada suruhan atau larangan kita wajib patuh, sekiranya ada galakan untuk beramal, kita amal dengan yakin Allah akan berikan pahala yang dijanjikan kepada orang yang berhak.

      Oleh itu, ulama yang membenarkan beramal dengan hadith da'ef mereka letak syarat tidak mengatakan ianya sabit daripada nabi, malah kena beritahu hadith da'ef, dan itupun bersyarat hadith yang tidak lemah sangat.

      Hadith kita ini lemah sangat untuk dianjurkan kita beramal KERANA hadith lemah ini, tapi kalau sesuatu berlaku dan lojik akal sendiri mengatakan elok lakukan tindakbalas, dan kebetulan serupa pula dengan hadith, maka tiada masalah. Yang pentingnya, kita tidak sebarkan hadith yang terlalu lemah kerana larangan nabi, dan tidak pula amalkan KERANA hadith ini.

      Bila hadith terlalu lemah, kebarangkalian hadith itu memang sabda nabi hampir tiada, kerana perawi yang memalsukan hadith akan meletakkan dalam sanadnya perawi2 yang dipercayai, agar tiada orang sedar. Tetapi ulama hadith kenal pemalsu itu, lalu siapa jua di dalam sanad hadithnya, biarpun sanad emas sekalipun, tapi bila sampai kepada pemalsu, ulama tolak hadithnya.

      Oleh itu, jauhilah hadith-hadith lemah. MAlah terbukti, banyak hadith lemah bercanggah dengan hadith sahih, apatah lagi hadith yang sangat lemah atau palsu.

      Delete