Setiap kali kita membaca al-Fatihah, kita mesti membaca basmalah atau “بِسْمِ اللهِ الرَحْمنِ الرَّحِيمِ”.
Soalan: Adakah membaca basmalah ini wajib atau sunat ketika solat?
Jawapan: Para ulama berbeza pendapat tentang ini, kerana ianya bergantung kepada kedudukan basmalah di dalam surah al-Fatihah. Di antara ulama, ada yang mengatakan basmalah bukan sebahagian daripada surah al-Fatihah, maka mereka berpendapat basmalah tidak perlu dibaca, cuma sunat. Ulama lain pula, termasuk Imam Shafie mengatakan basmalah adalah salah satu daripada ayat-ayat di dalam surah al-Fatihah, maka wajiblah dibaca. Ini, insyaAllah, adalah pendapat yang lebih kuat.
Hikmah dijadikan basmalah pembukaan kepada surah al-Fatihah:
1. Untuk keberkatan memulakan sesuatu dengan nama Allah
2. Untuk meminta pertolongan dengan nama Allah agar dibantu dalam memahami al-Quran dan tidak menyeleweng, dan juga dibantu Allah untuk beramal dengan isi kandungan al-Quran dan Islam secara keseluruhan.
3. Ianya disyariatkan sebagai adab yang dipegang kuat oleh seorang muslim yang beriman dengan Allah. Diriwayatkan bahawa nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam): “Setiap perkara yang penting yang tidak dimulakan dengan nama Allah maka ianya cacat.” Walaupun hadith ini lemah menurut para ulama hadith tetapi maknanya diterima dan betul.
Sekiranya kita melihat kepada amalan masing-masing, adakah kita memulakan semua atau kebanyakan urusan dunia atau akhirat dengan nama Allah, samada basmalah atau zikir yang diajar khusus oleh nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam)? Sekiranya ada, adakah kita lakukan dengan niat meminta keberkatan serta ganjaran dan meminta pertolongan Allah dalam melakukan amalan kebajikan, ibadat, mahupun urusan dunia?
Al-Quran adalah panduan kita hidup di dunia daripada Allah, Tuhan yang menjadikan alam dan semua di dalamnya. Sekiranya kita menerima surat daripada sahabat kita, kita buka dan baca kandungannya, dan lakukan apa yang diminta. Inikan pula mesej daripada Allah, yang sampai kepada kita selepas junjungan kita Nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) berusaha sedaya upaya, bermati-matian untuk menyampaikannya kepada kita!
No comments:
Post a Comment