Tuesday, September 14, 2010

Jangan ambil separuh-separuh...

Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
[2:208]

Marilah kita beriman dan beramal dengan Islam tanpa memilih-milih bahagian yang disukai dan ditinggalkan pula bahagian yang kita tidak sukai, kerana syaitan menyesatkan manusia sedikit demi sedikit, dengan langkah-langkah yang teratur sehinggakan mereka yang terjebak tidak terasa langsung bahawa mereka telah diperdaya oleh syaitan.

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?”
[2:85]

Sebelum ini saya pernah terangkan tentang golongan anti-hadith yang melakukan jenayah ini dalam tafsiran-tafsiran mereka terhadap al-Quran. Oleh itu, mereka bukannya anti-Hadith sahaja, malah mereka anti-Quran juga!

Jenayah ini banyak berleluasa di kalangan umat Islam. Malangnya, di kalangan ustaz pun ada yang melakukan kesilapan ini.

Sebagai contoh, ada satu blog kepunyaan seorang ustaz bekas pelajar Universiti al-Azhar, beliau telah menuliskan komennya tentang klip video Shaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi (rahimahullah), dalam artikelnya "Allah wujud tanpa Bertempat".

Bagi sesiapa yang memahami bahasa arab, sila lihat video di link berikut:

[http://www.youtube.com/watch?v=E0gaWawLNFM]

Komen beliau:

"Syeikh Muhammad Mutawalli as-Sya'rawi Rahimahullah seorang mufassir agung mensyarahkan ayat; "Dan Dialah Tuhan di langit dan Tuhan di bumi." [az-Zukhruf:84] Tuhan di sini merujuk kepada Allah kerana ayat ini menggunakan ismul mausul ( الذي ). Isim mausul di dalam kaedah bahasa arab menunjukkan kepada ma'rifah iaitu Allah.

Beliau menyatakan di dalam tafsirannya tidak ada bagi Allah tempat kerana tempat itu ciptaannya. Tidak ada bagiNya tempat dan masa kerana keduanya makhluk (ciptaan Allah). Sila rujuk video di atas.

TAMBAHAN PENULIS (Ustaz yang berkenaan)
Jika dikatakan Allah di langit maka bertentangan dengan ayat ini kerana Allah menyatakan di langit dan di bumi. Apakah Allah ada dua? Maka pandangan yang mendakwa Allah di langit atau di bumi atau di 'arasy semua terbatal. Oleh sebab itu ulama' ahlussunah mengkategorikan ayat sebegini sebagai ayat mutasyabihah. Kerana hakikatnya tiada bagi Allah tempat."

Begitulah komen beliau yang bermaksud untuk menyanggah fahaman yang selalu kita dengar sebagai fahaman Wahhabi. Beliau menggunakan ayat Quran di atas dan keterangan Shaikh asy-Sya'rawi untuk menafikan bagi Allah tempat, sekaligus menolak fahaman (yang dikatakan fahaman Wahhabi) bahawa Allah berada di langit, ataupun Allah berada di atas ArsyNya.

Di sini, saya jelaskan bahawa ustaz ini telah tersilap langkah. Berikut adalah ulasannya:

1. Sekiranya ustaz ini benar-benar mahu mencari kebenaran di dalam hal ini, maka mestilah dia mendengar keterangan Shaikh asy-Sya'rawi sendiri tentang ayat-ayat al-Quran yang menyebut Allah berada di atas ArsyNya, dan bukannya ambil satu klip video tentang ayat lain, kemudian mengatakan bahawa Shaikh ini menafikan Allah berada di atas 'ArsyNya atas alasan beliau menafikan bagi Allah tempat atau masa.

Bagi sesiapa yang mampu memahami bahasa arab, sila lihat tafsir Shaikh asy-Sya'rawi mengenai ayat: "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia istawa (bersemayam) di atas 'ArsyNya."[al-A'raf:54] atau [Yunus:3]

Linknya: [http://www.youtube.com/watch?v=YJV02AL7t5U]

Secara ringkas, Shaikh asy-Sya'rawi menerangkan bahawa "'Istiwa' (semayam) Allah di atas 'ArsyNya adalah menurut yang layak bagi Allah, seperti setiap sifat Allah yang sebutannya sama dengan sifat manusia, maka janganlah diambil kewujudan sifat itu seperti wujudnya pada manusia". Ertikata lain, Shaikh asy-Sya'rawi tidak menafikan bahawa Allah berada di atas 'Arsy, cuma jangan samakan atau bayangkan keberadaan Allah di atas ArsyNya seperti manusia atau raja di atas arsynya.

Malah Shaikh menerangkan seperti berikut: "Allah wujud dan manusia wujud, tetapi kewujudan manusia tidak sama dengan kewujudan Allah. Dan bagi Allah ilmu tentang semua perkara yang kita berinteraksi dengannya dan manusia juga ada ilmu tetapi tidaklah ilmu mereka seperti ilmu Allah. Dan bagi Allah perbuatan dalam bermacam perkara dan bagi manusia juga perbuatan tetapi perbuatan manusia tidak munasabah dengan perbuatan Allah! Maka janganlah diambil perkataan 'istiwa' dengan makna "duduk di atas tempat" agar dijauhkan daripada Allah dikatakan berada di suatu tempat."

Lihat perbezaan kata-kata Shaikh ini dengan komen ustaz di atas.

Ustaz ini mengatakan: "Maka pandangan yang mendakwa Allah di langit atau di bumi atau di 'arasy semua terbatal."

Sedangkan Shaikh mengatakan: "'Istiwa' (semayam) Allah di atas 'ArsyNya adalah menurut yang layak bagi Allah".

Kerana kewujudan Allah di atas 'ArsyNya tidak bermakna ianya memberikan tempat bagi Allah. Kenapa? Kerana Allah yang berfirman sedemikian. Adakah Allah tidak tahu ianya bermaksud mengadakan 'tempat' bagiNya?

Senang cerita: Kita hanya boleh menyifatkan Allah dengan lafaz-lafaz Allah dan RasulNya, beserta dengan kepercayaan bahawa tiada yang sama di antara Allah dan makhlukNya.

Keterangan yang diberikan Shaikh asy-Sya'rawi jelas, iaitu kita tidak boleh sama sekali membayangkan makna sifat-sifat Allah seperti sifat-sifat makhlukNya, maka sifat-sifat Allah itu tidak perlu ditakwil.

2. Ayat "Dan Dialah Tuhan di langit dan Tuhan di bumi." [az-Zukhruf:84] Adakah ayat ini bermaksud Allah di mana-mana?

Sekiranya kita rujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar, kita akan dapati bahawa maksud ayat ini adalah:

Allah jualah yang disembah oleh penghuni langit serta penghuni bumi.

Lihat Tafsir al-Jalalain, katanya: "Yakni, (bermaksud) yang disembah." [ms. 495]
Lihat Tafsir Ibn Kathir, katanya: "Yakni, Dialah yang disembah oleh sesiapa di langit dan yang disembah oleh sesiapa di bumi, penghuni kedua-duanya menyembahNya dan semuanya tunduk kepadaNya, hina di hadapanNya ."[J.4 ms. 143]
Lihat Tafsir asy-Syaukani dalam Fath al-Qadir, katanya: "Dan maknanya, Dialah yang disembah di langit dan disembah di bumi, ataupun yang berhak disembah di langit dan (berhak) disembah di bumi." [ms 1611]

Jelas bahawa ayat tersebut bukanlah bermaksud Allah berada di mana-mana. Kesilapan ini adalah disebabkan salahfaham maksud perkataan "Ilah". Sekiranya diterjemah ke bahasa Malaysia, maka perkataan itu bermaksud 'Tuhan'. Tetapi lebih tepat sekiranya diterjemahkan kepada 'Objek atau tumpuan sembahan'. Dengan maksud ini, maka akan ada 'Ilah' atau 'objek sembahan' yang benar dan ada juga 'objek sembahan' yang palsu. Maka ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa 'objek sembahan' yang benar adalah Allah, samada di langit mahupun di bumi! Dan bukan maksudnya Allah berada di langit dan di bumi!

3. Imam Abul-Hasan al-Asy'ari sendiri, yang disebut oleh ustaz ini: "beliau (Imam al-'Asyaari) merupakan wira ahulussunnah yang menentang akidah yang sesat lagi menyesatkan kaum mujassimah atau musyabbihah," telah menyebutkan di dalam kitabnya al-Ibanah 'an Usul ad-Diyanah tentang Aqidah sesat:

"Golongan Muktazilah, Jahmiyah dan Haruriyah telah berkata: 'Sesungguhnya makna firman Allah: "ar-Rahman istawa atas 'Arsy" [Taha:5], bahawa Dia istawla (menakluki), memiliki dan berkuasa, dan Allah berada di mana-mana, dan mereka ingkar bahawa Allah berada di atas 'ArsyNya, seperti kata Ahl al-Haq - dan mereka berpendapat bahawa perkataan Istiwa bermaksud Qudrah."
[ms.122]

Lihatlah bagaimana Imam Abul-Hasan al-Asy'ari mengatakan bahawa Aqidah "Allah berada di mana-mana" adalah Aqidah golongan Muktazilah, Jahmiyah dan Haruriyah!

Kemudian Imam Abul-Hasan al-Asy'ari membawa beberapa dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Allah berada di atas 'ArsyNya, contohnya: hadith tentang turunnya Allah ke langit dunia pada waktu malam (1/3 akhir), ayat-ayat [an-Nahl:50], [al-Ma'arij:4], [as-Sajdah:4], hadith Jariyah dan lain-lain lagi.

Janganlah ambil sebahagian dan tinggal sebahagian yang lain.

Saya akhiri dengan kata-kata Imam Abul-Hasan al-Asy'ari (rahimahullah) yang menggariskan Aqidah yang beliau pegangi, seperti berikut:

"Pendapat kami yang kami berkata dengannya, dan agama yang kami beribadat dengannya (adalah): Berpegang kepada Kitab Rabb kami, dan Sunnah nabi kami (sllallahu 'alayhi wasallam), dan segala yang diriwayatkan daripada para sahabat, tabi'in dan imam-imam Hadith, dan kami berpegang teguh dengan itu, dan dengan segala yang dikatakan oleh Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal, semoga Allah memberikan cahaya kepada wajahnya dan meninggikan darjatnya, dan memberikan ganjaran yang banyak...

6. Dan (kami beriman) bahawa Allah istawa (bersemayam - menurut yang layak bagi Allah) di atas 'ArsyNya, seperti firmanNya: "Ar-Rahman istawa di atas 'ArsyNya."[Taha:5]"
[Al-Ibanah 'an Usul ad-Diyanah, ms. 44-45]

4 comments:

  1. Jazakallahukhairan, may Allah increase your knowledge in the religion. Keep posting..:)

    ReplyDelete
  2. {Ertikata lain, Shaikh asy-Sya'rawi tidak menafikan bahawa Allah berada di atas 'Arsy, cuma jangan samakan atau bayangkan keberadaan Allah di atas ArsyNya seperti manusia atau raja di atas arsynya.}

    ini kau punya fahaman sendiri bukan syeikh Mutawalli punya fahaman JANGAN PUSINGKAN KENYATAAN SYEIKH MUTAWALLI DENGAN KEFAHAMAN KO!!

    ReplyDelete

  3. Assalam..
    Semoga ilmu yg dikongsikan tt akan memberi manfaat kepada yg menerima. Islam itu mudah, usah dirumitkan. Agama ini adalah nasihat. Saling memperingati dan menegur antara kita tidak lain untuk kita sama2 belajar dan menambah ilmu agar dapat memperbaiki diri dalam kefahaman beragama.
    Hati-hatilah wahai hati. . Ilmu kiita takat hujung kuku je..kadang xfaham, kadang salah faham. Jika salah orang yg kita cari, cuba semak takut2 diri kiita yg banyak perlu diperbetul. Wallahualam.

    Allah berfirman, yg bermaksud:
    "Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran."
    (A-li'Imraan 3:7)

    ReplyDelete