Thursday, September 23, 2010

NASIHAT: Jauhi Horoskop dan Ilmu Nujum

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ اقْتَبَسَ عِلْمًا مِنْ النُّجُومِ اقْتَبَسَ شُعْبَةً مِنْ السِّحْرِ زَادَ مَا زَادَ

Daripada Ibn Abbas (RA): Rasulullah (SAW) bersabda: "Sesiapa yang mempelajari satu cabang daripada bintang-bintang (ilmu nujum) telah mempelajari satu cabang daripada sihir. Ianya bertambah dengan bertambahnya apa yang dipelajari."
[Sahih - Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad]

Ilmu nujum ada tiga jenis:
1. at-Tanjeem - Iaitu mempercayai bahawa bintang-bintang ada kesan atas kejadian-kejadian di dunia. Pendek kata, mereka yang mempunyai kepercayaan ini akan menyembah bintang-bintang dan lain-lain kekufuran berkaitan dengan penyembahan bintang-bintang. Jenis ini disepakati ulama adalah kufur yang mengeluarkan seseorang itu dari Islam.
2. at-Ta'theer - Iaitu menggunakan pergerakan bintang-bintang sebagai tanda apa yang akan berlaku di masa depan. Pengamal jenis ini adalah serupa dengan tukang tilik kerana dia mendakwa ilmu ghaib dengan menggunakan pergerakan bintang-bintang sebagai petanda. Jenis inilah yang banyak dimuatkan di dalam majalah-majalah, suratkhabar, dan lain-lain, lebih dikenali sebagai horoskop!

عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Daripada salah seorang isteri nabi: Nabi (SAW) bersabda: "Sesiapa yang mendatangi seorang dukun dan bertanya mengenai sesuatu, tidak diterima solatnya 40 hari."
[Sahih Muslim]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَالْحَسَنِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Daripada Abu Hurairah dan al-Hasan: Nabi (SAW) bersabda: "Sesiapa yang mendatangi seorang tukang tilik (al-Arraf) atau dukun (al-Kaahin) kemudian mempercayai kata-katanya maka dia telah kufur dengan wahyu yang diturun kepada Muhammad."
[Sahih - Musnad Ahmad]

Membaca horoskop boleh dikiaskan dengan berjumpa dengan tukang tilik yang mendakwa mengetahui apa yang akan berlaku di masa depan, ertikata lain, mendakwa ilmu ghaib. Sesiapa yang bertanya tukang tilik sahaja, tidak diterima 40 hari solatnya!... Belum lagi mempercayainya! Begitu juga horoskop, membacanya sahaja adalah serupa dengan bertanya tukang tilik, walaupun tidak percaya! Apatah lagi bila kesamaan dirasai dan dia mula mempercayai apa yang dibaca, maka dia telah jatuh kufur, terkeluar daripada agama Islam. Na'uzubillah!

3. at-Tasyeer - Iaitu ilmu mengenai bintang-bintang dan pergerakannya untuk mengetahui kiblat, masa dan lain-lain yang bertepatan dengan sunnah Allah, atau sebab musabbab. Ilmu ini dibenarkan oleh sebahagian ulama.

NASIHAT
Saya ingin menasihatkan semua umat Islam agar menjauhi dukun, tukang tilik, peramal nasib dan sebagainya yang mendakwa pengetahuan ilmu ghaib, termasuk horoskop, agar tauhid kita tidak rosak dan jatuh ke kancah kebinasaan!

Dan kepada pemilik-pemilik blog, buangkanlah horoskop (atau astrological sign) daripada profile kamu! Ianya seolah-olah membenarkan horoskop, atau sekurang-kurangnya memberi gambaran horoskop tidak bercanggah dengan Islam!

No comments:

Post a Comment