Perbincangan kita yang lepas tentang surah al-Fatihah ayat:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala pujian bagi Allah Rabb sekalian alam.”
[al-Fatihah : 2]
Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat di atas seperti berikut:
“Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah.”
Penting di sini kita tekankan maksud ayat ini mestilah dihayati dan percayai 100%!
Dan setelah dihayati dan dipercayai 100% maksud ayat ini, maka adakah patut kita diamkan sahaja? Adakah patut kita biarkan ianya disebut hanya di dalam solat? Sekiranya kita beriman dengan maksud ayat ini, mengapa kita tidak sebutkan pujian-pujian ini kepada Allah di masa-masa lain?
Para ulama mengatakan bahawa ayat ini adalah anjuran daripada Allah agar kita banyak memujiNya, berzikir dengan menyebut “alhamdulillah rabbil-‘Alamin” atau sekurang-kurangnya “Alhamdulillah”.
Kenapa kita sentiasa menyebut berulangkali tentang kecantikan seseorang pelakon wanita, atau ketampanan pelakon lelaki, atau sesiapa sahaja samada di bidang hiburan, ahli keluarga, ahli politik, atau apa sahaja makhluk ciptaan Allah, yang hanya berhak dipuji sekadar kesempurnaan tahap makhluk, TETAPI dengan Allah yang MAHA SEMPURNA, kita lupa dan alpa untuk mengingatiNya, menyebutNya dan memujiNya!!? Sebaliknya di masa lapang, kita asyik mengisikannya dengan muzik, filem, rancangan-rancangan tv, mengumpat dan sebagainya. Sekiranya ini bukan “melalaikan” maka saya tidak tahu apa maksud “melalaikan”!
Basahkan lidah kita dengan pujian dan zikir terhadap Allah. Apabila kita mempunyai masa lapang, pujilah Allah yang sememangnya BERHAK dipuji, seperti yang terkandung di dalam maksud ayat al-Fatihah di atas.
Allah Ta'ala berfirman:
"Maka berzikirlah engkau semua kepadaKu, tentu Aku akan ingat padamu semua." (al-Baqarah: 152)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras, di waktu pagi dan petang dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai" (al-A'raf: 205)
Dari Abu Malik al-Asy'ari r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bersuci itu adalah separuh keimanan, bacaan Alhamdulillah itu adalah memenuhi beratnya timbangan - di akhirat, sedang Subhanallah dan Alhamdulillah itu memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi." (Riwayat Muslim)
Dari Abdullah bin Busr r.a. bahwasanya ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya syariat-syariat Islam sudah banyak-yakni hukum-hukumnya sudah lengkap-atas diriku, maka beritahukanlah kepada saya akan sesuatu yang saya dapat ber-pegang padanya."
Beliau s.a.w. bersabda: "Supaya lisanmu itu senantiasa basah dengan berzikir kepada Allah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.
Kita akan teruskan lagi dengan nama-nama Allah di dalam ayat tiga dan empat surah al-Fatihah di dalam siri yang akan datang.
No comments:
Post a Comment