Perbincangan kita tentang surah al-Fatihah masih lagi sekitar ayat:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala pujian bagi Allah Rabb sekalian alam.”
[al-Fatihah : 2]
Kita mesti sedar bahawa ayat-ayat al-Quran adalah Kalamullah, iaitu firman Allah dan bukan makhluk. Ianya firman Tuhan yang Maha Sempurna. Di antara firmanNya adalah ayat berikut:
وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا
“Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) dari pada Allah ?.”
[an-Nisaa’ : 87]
Oleh itu, surah al-Fatihah yang kita sedang tadabbur ini adalah juga sebenar-benar perkataan, dan bukan seperti kata-kata makhluk, dan bukan juga seperti nama-nama makhluk, yang biasanya jauh daripada kebenaran.
Kita rujuk semula kepada siri (4) yang menerangkan seperti berikut:
Perkataan (لِ) memberi dua maksud sekaligus:
1. Ikhtisas (pengkhususan) – maka maksud (الْحَمْدُ لِلَّهِ) menjadi “Segala pujian HANYA untuk Allah semata-mata.”
2. Istihqaq (berhak) – maka maksud (الْحَمْدُ لِلَّهِ) menjadi “Segala pujian ini HANYA Allah yang berhak menerimanya.”
Jika ayat-ayat Allah adalah sebenar-benar perkataan, maka maksud ikhtisas (pengkhususan) dan istihqaq (berhak) dapat dilihat sebenar-benarnya dengan makna Nama-nama Allah yang disebutkan selepas pujian, iaitu: (اللَّهِ) ; (رَبِّ الْعَالَمِينَ); (الرَّحْمَنِ); (الرَّحِيمِ); dan (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ).
(اللَّهِ) – Maknanya Dialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, manakala perkataan ‘tuhan’ secara umum adalah apa sahaja yang disembah, samada berhak atau tidak berhak.
Maka makna ayat menjadi: “Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Allah sahaja berhak menerimanya kerana Dialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah!”
(رَبِّ الْعَالَمِينَ) – Maknanya Dialah Rabb (Pencipta, Pentadbir, Pemberi Rezeki, Pemilik) bagi sekalian alam (selain Allah), sedangkan apa sahaja yang bukan Allah tidak pernah, mahupun mampu mencipta, mentadbir, memberi rezeki dan memiliki alam ini seperti Allah.
Maka makna ayat menjadi: “Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah.”
Betapa benarnya firman Allah:
وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا
“Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) dari pada Allah ?.”
[an-Nisaa’ : 87]
Maka ketika kita membaca surah al-Fatihah di dalam solat ataupun diluarnya, hendaklah kita maksudkan seperti yang diterangkan di atas agar perasaan di hati kita cocok dengan kata-kata yang diucapkan. Kita hendaklah terapkan maksud ayat itu di dalam hati. Barulah kekhusyukan dan keikhlasan dapat dicapai di dalam ibadat kita.
Kita akan teruskan lagi dengan nama-nama Allah di dalam ayat tiga dan empat surah al-Fatihah di dalam siri yang akan datang.
No comments:
Post a Comment