Monday, April 25, 2011

SIRI TADABBUR QURAN - Surah al-Fatihah (2)

Sebelum kita membaca al-Fatihah, kita dituntut untuk membaca “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” yang bermaksud “Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam.”


Ini dilakukan sebagai mematuhi perintah Allah:
“Apabila kamu membaca Al Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.” [an-Nahl :98]

Aneh? Kenapa Allah perintah kita meminta perlindungan daripada Syaitan untuk membaca Quran sedangkan al-Quran adalah petunjuk!?

Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia dan betapa perlunya kita semua kepada perlindungan daripada Allah, dalam semua perkara, termasuk:
1) Perlaksanaan ibadat dan kebaikan – agar tidak diganggu bisikan syaitan dan was-was
2) Muamalat sesama manusia – agar tiada fitnah dan penipuan
3) Mempelajari agama – agar tidak memahami Islam menurut kefahaman yang tidak dimaksudkan oleh Allah dan Rasulnya
4) Menjauhi perkara-perkara yang dilarang – agar yang tidak baik tidak disangka baik
5) Menghadapi ujian-ujian Allah – agar tidak kufur

Ujian-ujian yang ada di dunia sekarang, seperti TV, internet dan berbagai lagi media maksiat yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang melalaikan dan menguji keimanan. Kita diperlihatkan dengan berbagai kemungkaran sehingga ianya menjadi suatu kebiasaan dan tidak lagi dibenci sebagai sesuatu kemungkaran.

Sebagai contoh, TV dan internet dipenuhi dengan tayangan golongan wanita yang tidak bertudung, malah berpakaian singkat atau ketat, dan lain-lain yang tidak menepati kehendak syara’. Tetapi kemungkaran ini sudah menjadi suatu kebiasaan sehinggakan yang melihat perkara ini tidak merasa ianya suatu kemungkaran, dan tidak memohon ampun daripada Allah kerana telah melakukan dosa melihat aurat wanita, ataupun wanita itu tidak memohon ampun atas kemungkaran yang dia lakukan terus menerus.

Inilah yang dinamakan di dalam Islam sebagai fitnah, iaitu ujian keimanan! Dan ujian ini semakin berat dari masa ke semasa.

Ramai umat Islam masih tidak betul-betul sedar tentang zaman sekarang ini, sebab kita dilekakan oleh bermacam-macam hiburan, di mana sahaja kita berada, sehinggakan tiada masa untuk Allah, bertafakkur, dan lain-lain! Paling kuat pun, kita solat 5 kali sehari TANPA KHUSYUK, dan kita rasa ianya sudah memadai! Inilah hasil bisikan syaitan!

Oleh itu, bila kita membaca “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم”, bacalah dengan hati yang sedar dan insaf serta penuh harapan kepada Allah kerana Allahlah jua yang berkuasa untuk menyelamatkan kita di akhir zaman ini, dan Dialah tempat kita berlindung, daripada syaitan dan bisik bisikannya.

No comments:

Post a Comment