Sekiranya disebut Surah al-Fatihah, maka kebanyakan umat Islam akan berkata: “Ini Surah biasa! Semua orang hafal dan tahu!”
Benarkah ianya surah biasa?
Abu Sa’id bin al-Mu’alla (ra) menceritakan pada suatu hari nabi memanggilnya dan menjanjikan bahawa akan mengajarkan kepadanya Surah yang paling agung di dalam al-Quran seperti baginda keluar dari masjid. Kemudian nabi bersabda: “(Ianya adalah) Al-hamdulillah rabb il-‘alamin (iaitu surah al-Fatihah), itulah as-Sab’ ul-Mathani dan al-Quran al-Adzim yang telah aku diberikan.”
Surah yang kita baca tanpa sedari kehebatannya, mempunyai banyak nama. Seperti seseorang yang hebat atau berkedudukan tinggi mempunyai banyak gelaran, seperti “Datuk”, “Tan Sri”, Datuk Sri”, “Panglima”, dan sebagainya, Surah al-Fatihah ini juga mempunyai banyak nama atau ‘gelaran’. Dan ‘gelaran’ untuk surah yang agung ini bukan gelaran yang tidak bermakna, tetapi setiap nama atau ‘gelaran’ menunjukkan kehebatannya.
Di antara ‘gelaran-gelaran’ bagi surah al-Fatihah adalah:
1. Al-Fatihah, atau Fatihat ul-Kitab (Pembukaan Kitab) – Menunjukkan keistimewaan Surah al-Fatihah sebagai Muqaddimah untuk seluruh al-Quran. Dan Muqaddimah ini merangkumi semua isi penting di dalam seluruh al-Quran. Inilah kehebatan al-Fatihah.
2. As-Solat – Menunjukkan betapa pentingnya Surah ini, sehinggakan ianya dijadikan satu-satunya bacaan yang fardu di setiap raka’at solat, samaada fardu mahupun sunat.
3. Ar-Ruqyah (Jampi) – Kehebatan Surah ini bukan hanya pada makna yang terkandung, tetapi pada kesan yang dijadikan Allah sebagai sebab kesembuhan penyakit jika seseorang dijampi dengan Surah ini.
Inilah sedikit gambaran keagungan Surah al-Fatihah. InsyaAllah keagungan ini akan bertambah jelas dengan melihat makna ayat-ayat di dalam Surah al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment