Thursday, July 8, 2010

Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus!

Kita selalu membaca Surah al-Fatihah di dalam solat. Setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali kita mengulanginya. Bacaan itu sebenarnya doa kita kepada Allah agar kita diberi petunjuk! Sedarkah kita hakikat ini?

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
"Tunjukkahlah kepada kami jalan yang lurus"


Apakah hikmatnya seseorang yang sudah Islam dan sedang mengerjakan solat disuruh membaca ungkapan doa ini?

Ini menunjukkan kita perlu hidayah daripada Allah setiap masa. Kerana hidayah di sini mempunyai dua maksud:
1. Hidayah kepada jalan yang lurus (iaitu Islam)
2. Hidayah di atas jalan yang lurus (iaitu perincian Islam)

Oleh itu, ayat yang dibaca selepas ayat yang merupakan doa ini berbunyi:


صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

"Jalan mereka yang Engkau telah kurniakan Nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai mahupun yang sesat."

Jalan yang lurus itu bukanlah ibadat secara rawak sesuka hati sesedap rasa, tetapi jalan yang lurus adalah jalan agama yang khusus! Kerana mereka yang tidak mengikut jalan agama yang dikhususkan maka akibatnya kesesatan dan kemurkaan Allah!

Oleh itu, janganlah kita membaca al-Fatihah sekadar sebutan di bibir, tetapi hati tidak menghayatinya, dan tidak memaksudkannya! Mintalah petunjuk setiap hari dengan ikhlas, kerana kita perlukan perincian Islam yang betul walaupun sudah bergelar muslim!

Jika tidak, padahnya:

1. Ada ilmu tetapi tidak diamalkan - maka Allah murka pada mereka!

2. Beramal tanpa ilmu - maka sesatlah!

Islam adalah agama ilmu! Maka carilah ilmu agama agar kita hidup di dunia dengan petunjuk! Dan amallah ilmu itu!

Sumber ilmu?

Sabda nabi:

عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Daripada Malik bahawa telah sampaikan kepadanya bahawa Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam) bersabda:

"Aku telah tinggalkan di kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akat sesat sekiranya berpegang kepadanya: Kitab Allah dan Sunnah nabinya." [al-Muwatta']


No comments:

Post a Comment