Sebagai sokongan kepada artikel saudara Mohd Masri, saya telah upload ke dalam blog ini petikan rakaman kelas Shaikh Ayman pada hari Ahad 6hb Disember 2009, di akhir kelas di mana beliau disoal tentang beberapa pengikut PAS yang mengkafirkan ahli UMNO.
[Lihat posting saya:
http://abukhadeejah.blogspot.com/2010/06/blog-post.html]
Saya tidak dapat menterjemahkan jawapannya yang agak panjang (23minit). Tetapi ringkasannya:
- Perbuatan kafir-mengkafir ini adalah fasad (kerosakan)
- Sepertimana mereka (sebahagian pengikut PAS) mengkafirkan ahli UMNO atas dasar "memerintah / menggunakan undang-undang yang tidak diwahyukan oleh Allah" (الحكم بغير ما أنزل الله), mereka juga boleh dikafirkan atas dasar yang sama kerana mereka memasuki sistem Demokrasi yang bukan cara Islam, dan bersekongkol dengan DAP yang memang bukan Islam!
- Beliau pelik kenapa PAS tidak mahu bersatu dengan UMNO? Bukankah sama-sama orang Islam?!
- Tinggalkanlah perbuatan kafir-mengkafir! Kita tidak boleh mengkafirkan orang sewenang-wenangnya! Ini boleh menimbulkan fasad dan berbagai masalah!
- Kita sentiasa merujuk kepada para ulama dalam hal-hal ini.
- Beliau menerangkan bahawa politik sekarang hanya menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam umat, benci membenci antara satu sama lain, dan menyebabkan perasaan benci rakyat terhadap pemerintah.
- Beliau menceritakan bahawa beliau pernah pergi ke Kuala Terengganu, dan pada hari Raya, beliau perasan dan pelik 2 masjid berdekatan mengadakan solat Hari Raya. Beliau bertanya: "Mengapa begini?" Beliau diberitahu satu masjid UMNO dan satu lagi masjid PAS! Kata beliau: "Aku minta perlindungan dengan Allah daripada ini! Mereka semua orang Islam! Lihat bagaimana mereka memecah belahkan umat Islam!" Lalu beliau tanya masjid yang mana asal dan lebih tua, lalu solat di masjid itu. Dan selepas itu jelas bahawa masjid yang lebih lama adalah masjid UMNO!
- Ini dalil paling kuat tentang kerosakan yang ditimbulkan oleh parti-parti politik ini! Menyebabkan perpecahan, kebencian dan kesetiaan pada parti, dan bukan pada Islam! Kemudian ianya menanam kebencian antara rakyat dan pemerintah!
- Jalan Islam cantik dan sempurna! Ianya sentiasa mencegah jalan provokasi, fitnah dan fasad! Pemerintah muslim wajib ditaati, kecuali dalam perkara maksiat. kerana hadith nabi: "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah." Beginilah kami beragama!
- Kemudian, sekiranya kita lihat kemungkaran pada pemerintah, kita nasihat dengan cara Islam, dan bukan dengan cara barat!
- Jangan pula sangka maksud kami bahawa kita tinggalkan sahaja pemerintah melakukan kemungkaran! Tidak! Tetapi nabi memberitahu kita: "Agama ini adalah nasihat! (Ikhlas) Kepada Allah, KitabNya, RasulNya, dan (menasihati) para pemetintah dan orang-orang awam." Inilah ajaran agama Islam! Iaitu nasihat!
- Masalahnya sekarang pada cara memberi nasihat, dan mereka, yang sedihnya, telah mengikut barat dalam cara memberi nasihat dan mengkritik kepada pemerintah!
- Islam menerangkan cara membuang air (kecil dan besar), sudah tentu perkara lebih penting seperti yang ada kena mengena dengan masyarakat! Maka ikut Islam dalam semua perkara, termasuk politik!
- Kita mahukan Islah (pembaikan)! Bukan kerusi (Parlimen)!
- Slogan kami: Hidayah untuk manusia sebelum memerintah manusia.
- Tidak mungkin memerintah sebelum rakyat menerima hidayah. Bagaimana rakyat akan mentaati sekiranya tidak mengikut hidayah?!
- Alangkah baik sekiranya mereka (parti-parti Islam) menggunakan tenaga mereka yang digunakan untuk politik itu disalurkan kepada usaha memberi petunjuk kepada manusia, sudah tentu banyak kebaikannya!
- Mereka sibuk dengan perkara yang tidak bermanfaat dan meninggalkan perkara yang bermanfaat.
Itulah, lebih kurang, ringkasan jawapan Shaikh Ayman. Lihatlah jawapannya! Adakah ia berbunyi jawapan seorang pengganas?? Kuliah yang dirakamkan pada 6hb Disember 2009 itu diadakan di tempat yang sama di mana beliau dan 9 orang lain ditangkap di Sungai Chinchin pada 21hb Januari 2010. Dan beliau tidak perlu menyembunyikan apa-apa kerana kuliah itu hanya kepada kurang daripada 10 orang, dalam tempat yang tertutup. Dan kuliah hari Ahad itu, biasanya dihadiri oleh rakyat Malaysia. Itulah pendirian beliau sebenarnya! Jauh sekali daripada dakwaan bahawa dia merancang ataupun menggalakkan apa-apa serangan di Malaysia, mahupun luar negara!
Mereka yang menentang pemerintah, melakukan keganasan dan kerosakan seperti yang ditakuti kerajaan Malaysia dan lain-lain, sekiranya dilakukan oleh orang Islam, maka mereka ini hanya segelintir yang berbau khawarij! Mereka senang mengkafirkan orang-orang Islam, lebih-lebih lagi pemerintah Islam yang tidak memerintah dengan undang-undang syariah Islam. Mereka banyak memberi penekanan terhadap kerosakan para pemerintah, menyingkap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan, lalu mengkafirkan mereka! Mereka juga banyak memberi penekanan tentang jihad dengan jiwa. Paling ketara sekali, mereka tidak mengendahkan nasihat ulama-ulama Islam. Akibatnya, mereka melakukan keganasan seperti mengebom dan sebagainya.
Kadangkala, saya terfikir samada mereka yang cenderung kepada keganasan ini, adakah ketua-ketua mereka ini agen-agen negara Barat yang ingin melihatkan Islam berkubur dengan fitnah-fitnah seperti ini. Sesiapa sahaja yang berfikir secara objektif tentang laporan-laporan media barat akan dapat melihat kecenderungan mereka menyokong pemimpin-pemimpin mereka menuduh kejadian-kejadian keganasan sebagai perbuatan pengganas Islam!
Ini bukan hanya gerak hati saya, tetapi gerak hati rakyat di negara-negara Barat juga! Sehinggakan kejadian merempuh bangunan World Trade Center, New York, dikatakan adalah perbuatan dalaman dan diketahui lebih awal oleh kerajaan Amerika dan lain-lain. Ada pula rakyat negara Barat yang mengatakan bukan kapal terbang yang merempuh, tetapi peluru berpandu! Dan kedua-dua bangunan WTC itu beserta dengan beberapa lagi bangunan kecil bersebelahannya telah diruntuhkan oleh bom, iaitu dengan cara Controlled Demolition!
Walaubagaimanapun, Shaikh Ayman tidak langsung seperti yang dilaporkan dalam akhbar mahupun oleh polis Malaysia! Beliau menentang keganasan sekeras-kerasnya! Sekiranya ada di antara pelajar yang bertanyakan soalan tentang keganasan, takfir dan seumpamanya, beliau akan menolak dengan sekeras-kerasnya! Ini perkara yang sedia maklum di kalangan pelajar-pelajar yang lama telah mengikuti kuliah-kuliahnya. Beliau sentiasa menasihati pelajar-pelajar agar menimba ilmu yang bermanfaat, beramal, berdakwah, tetapi tidak pernah mengajar keganasan sama sekali! Kitab-kitab yang digunakan untuk mengajar:
- Kitab hadith Sahih al-Bukhari (bersama syarahnya, Fathul-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajr al-Asqalani) pada malam hari Khamis
- Adab al-Mufrad, kitab mengenai Adab dan Akhlaq seorang muslim karangan Imam al-Bukhari, yang diajar pada malam hari Isnin, di UIA!
- Kitab Mukhtasar al-I'tisam, karangan Alawi as-Saqqaf, tentang kaedah-kaedah memelihara kemurnian agama., yang diajar pada malam hari Selasa
- Kitab al-Tanbihat al-Mukhtasarah Syarh al-Wajibat al-Mutahattimat al-Ma'rifah 'ala kulli muslim wa muslimah, karangan Ibrahim al-Khuraisy, tentang asas-asas Tauhid dan Iman, yang diajar pada pagi hari Ahad.
Inilah kitab-kitab yang diajar! Fikirkanlah! Jadual kuliah-kuliah ini diwar-warkan juga di dalam internet, di beberapa website. Ini bermakna kuliah-kuliah beliau bukanlah perjumpaan rahsia, malah ianya terbuka dan boleh dihadiri sesiapapun jua. Saya tertanya-tanya mengapa serbuan dibuat sebelum disiasat? Polis hanya perlu menghantarkan SB yang boleh berbahasa arab untuk hadir dan dengar apa yang beliau ajar, kerana kuliahnya memang terbuka untuk sesiapa tanpa halangan langsung! Semua diterima masuk dan mendengar!
Sekiranya benar wujud pengganas di Malaysia, maka saya berani bersumpah, Shaikh Ayman, Ustaz Azzahari (yang hanya hadir kuliah Sahih al-Bukhari, itupun jarang-jarang sahaja!), Shaikh Luqman dari Nigeria (seorang yang cintakan Sunnah nabi, sehinggakan sanggup membuat Masters bidang hadith kali kedua, walaupun sedang membuat PhD bidang hadith juga!), Huzaifah, dan lain-lainnya, bukan dari kalangan pengganas-pengganas itu!
Dan rumah Shaikh Ayman bukanlah sarang pengganas! Telitilah kitab-kitabnya yang ada di maktabahnya! Itu bukan kitab-kitab mereka yang memberi penekanan ke arah keganasan! Malah yang ada, kitab yang mengutuk keganasan dan kefahaman seperti itu! Dan "senjata" yang ada mungkin pisau dapur, garpu, sudu, sofa, tilam, bantal dan rak-rak buku.
Semoga semua yang bersangkaan beliau seorang pengganas diberikan petunjuk dan dibukakan hati oleh Allah.
No comments:
Post a Comment