Monday, June 21, 2010

Pembelaan Buat Dai'e Yang Dizalimi: Shaikh Aiman; beliau pendakwah, bukan pengganas, oleh saudara Mohd Masri

Artikel ini dipetik daripada [http://al-ahkam.net/]

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Hari ini aku menduduki peperiksaan subjek English for Occupational Purpose [EOP]. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, aku singgah sebentar di kedai yang menjual surat khabar, untuk melihat berita muka hadapan. Aku terhenti pada akhbar NST. Aku terdiam, muka depannya memaparkan komplot pengganas kononnya untuk mengebom rumah ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang. Nama yang dituduh ialah seorang insan yang amat aku kenali, Shaikh Aiman ad-Daqqaq hafizahullah.

Terdiam, aku berjumpa dengan rakan-rakan. Hati kami tidak tenang. Sambil menjawab peperiksaan, terbayang-bayang berita yang kami baca. Masih segar diingatan aku saat-saat fitnah bermula, pihak UTK menyerbu kuliah Sahih Muslim yang disampaikan oleh Shaikh Aiman ad-Daqqaq. Rumah yang menjadi tempat lokasi penyebaran ilmu, yang dipenuhi dengan kitab-kitab yang berisi ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabawi ditohmah sebagai pusat pengganas, sebagai pusat melancarakan serangan di seluruh dunia.

Sungguh pendusta wahai kalian yang memberi maklumat kepada pihak polis! Sungguh pendusta kalian yang menulis di dada akhbar! Sungguh kalian pendusta dan akan dipersoal di akhirat kelak, di mahkamah Tuhan Yang Maha Adil. Tangan-tangan kalian yang berdusta, lidah-lidah kalian yang berdusta akan menjadi saksi di atas pendustaan kalian.

Hari ini selesai peperiksaan, aku terus membeli NST, mahu membaca apa berita di dalamnya. Sungguh jika muka hadapan terbalut 1000 pendustaan, kononnya Shaikh Aiman mahu menyerang rumah-rumah ibadat bukan Islam. Isi-isi di dalam pula penuh lagi dengan pendustaan.

Wahai pendusta! Wahai manusia yang zalim! Apakah kalian buta bahawa Shaikh Aiman ad-Daqqaq hafizahullah seorang yang mendakwah kepada Islam yang tulen. Apakah kalian lupa menyelongkar kitab-kitab fatwa di rumah beliau? Apakah kalian sebenarnya tidak tahu membaca Bahasa Arab sehingga tidak bertemu kitab-kitab tulisah Shaikh Muhammad Bin Saleh al-Uthaimin, Shaikh Ibn Baz, Shaikh al-Albani rahimahumullah! Inilah antara ulama'-ulama' kontemporari yang menjadi sumber rujukan Shaikh Aiman ad-Daqqaq. Wahai PDRM! Apakah kalian tidak pernah menyemak fatwa-fatwa ulama' ini tentang serangan berani mati? Nah! Sini aku sertakan video kenyataan Shaikh Muhammad Bin Shalih al-Uthaimin rahimahullah tentang bom bunuh diri:

[Sila rujuk artikel asal untuk melihat video]

Inilah kenyataan ulama' yang sering menjadi rujukan Shaikh Aiman ad-Daqqaq. Apakah kalian tidak memeriksa semua ini sebelum melemparkan tuduhan dan fitnah kepada seorang pendakwah?

Atau apakah ada manusia yang menjadi tangan ghaib untuk menghapuskan dakwah tauhid, lalu memainkan isu fitnah. Ya, tangan-tangan ghaib yang pernah memfitnah Ibn Taimiyyah pada zamannya hingga Ibn Taimiyya disumbat ke dalam penjara. Tangan-tangan ghaib yang dimiliki golongan penyembah kubur, golongan zikir menari, golongan penyebar hadis palsu, golongan yang memusuhi dakwah tauhid dan sunnah.

Aku merayu kepada SB-SB yang membaca tulisan aku ini. Jadikanlah kerja kalian ibadah, sungguh kalian sedang memfitnah seorang insan yang tidak berdosa. Lupakah kalian ketika kalian menyerbu kami, menangkap kami, kami tidak melawan sedikitpun, tidak memaki hamun anggota polis sedikitpun. Kami hanya dengar dan taat kerana kami tahu kalian wahai pihak keselamatan hanya menjaga keamanan dan menjalankan tugas.

Tidak kasihankah kalian kepada ahli keluarga mangsa tahanan fitnah ini. Mereka ada yang mahu menghabiskan Phd, ada yang hampir selesai, ada yang baru memulakan master. Dihantar pulang begitu sahaja, ahli keluarga dibiar terkapai-kapai di Malaysia, dan tiada sedikitpun belas kasihan kalian, membiarkan anak terpisah daripada ayahnya, memisahkan si isteri dari suaminya. Lupakah kalian ini yang kalian lakukan beberapa bulan yang lalu?

Kalian menjadikan si anak yatim sedangkan ayahnya masih hidup. Kalian menjadikan si isteri balu sedangkan suaminya masih hidup. Lupakah kalian!

Setelah mereka semua dihantar pulang. Ya dihantar pulang, kerajaan negara mereka menyambut mereka. Yang Nigeria disambut oleh pihak pemerintah mereka kerana mereka tahu rakyat mereka bukan pengganas. Yang sudah pulang sudah merasa aman. Si isteri dan anak-anak dihantar pulang atas ehsan wang derma rakyat Malaysia yang mempunyai perikemanusiaan. Kini, ketika mereka tiada di Malaysia, kalian memalu kembali gendang fitnah. Kalian memfitnah mereka di dada-dada akhbar tatkala mereka tak mampu mempertahankan diri mereka.

Wahai pihak keselamatan! Berhati-hatilah kalian dengan pihak penabur fitnah. Ya, perangilah golongan pengganas. Hapuskan mereka yang melakukan keganasan dengan bertopengkan Islam. Tetapi, aku merayu di sini, jangan dihukum mereka yang tak bersalah. Jangan ditangkap para pendakwah yang tidak tahu memegang pistol apatah lagi M-16. Kalian melakukan kesilapan yang besar! Kalian sedang memfitnah seorang pendakwah yang menentang aliran pengganas yang bertopengkan Islam. Kalian sedang memfitnah seorang pendakwah yang menyeru masyarakat kembali kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam.

Berhati-hatilah kalian dengan pemberi maklumat palsu! Periksalah kitab-kitab yang ada di rumah Shaikh Aiman, periksalah semua kitab-kitab beliau, nescaya kalian tidak menemui seruan membunuh manusia tidak berdosa, kalian tidak akan menemui seruan untuk menyerang rumah-rumah ibadat.

Wahai pembaca sekalian! Aku teringat pada liqa' terakhir [yang juga pertama selepas sekian lama aku tidak hadir ke kuliah beliau] sebelum Shaikh Aiman dimasukkan ke Hospital Tawakal. Seorang yang hadir bertanya isu nama Allah, diceritakan isu serangan ke atas gereja. Kalian mahu tahu apa jawapan Shaikh Aiman? Kalian mahu tahu apa yang beliau seru? Apa yang ada di fikiran kalian? Kalian fikir dia suruh kami berjihad dan menyerang gereja-gereja? Jika itu fikir kalian, sungguh pemikiran kalian terpesong. Beliau menyeru semua umat Islam bertenang. Beliau menasihati kami agar menjauhkan diri daripada terlibat dengan hal-hal tersebut. Beliau menasihatkan kami memfokuskan kepada yang lebih penting, menuntut ilmu, berdakwah, dan bukan menyibukkan diri dengan isu perebutan nama Allah antara Kristian dan Islam. Kalian lihat, ketika isu nama Allah sedang panas, ada gereja dan surau dibakar. Shaikh Aiman ad-Daqqaq menasihati kami agar bertenang, jangan melibatkan diri dengan hal-hal yang tidak berfaedah ini. Kata beliau, isu nama Allah ini hanya menjauhkan umat dari hal-hal yang lebih penting.

Pembaca sekalian. Aku mengenali Shaikh Aiman ad-Daqqaq sejak aku tahun 1 di UIA Gombak. Aku menghadiri kuliah Aqidah Tahawiah beliau. Bila Ramadhan, aku menghadiri tazkirah-tazkirah beliau selepas solat Terawih. Beliau mengajar kitab Adab al-Mufrad yan membicarakan soal adab dan akhlak.

Inikah sosok tubuh yang kalian gelar pengganas. Sungguh aku merayu pada pihak kerajaan, pihak PDRM, hentikan fitnah-fitnah ini. Kalian sedang menzalimi insan-insan yang tidak bersalah. Hanya pada Allah tempat kita berlindung.

Berdoalah agar Allah membukakan hati-hati pemimpin kita untuk menjauhkan diri daripada fitnah ini. Berdoalah agar Allah memberikan petunjuk kepada pihak keselamatan agar yang benar-benar pengganas ditangkap, dan yang tidak bersalah diberi keadilan. Berdoalah agar Allah memberi hidayah kepada kaum pembuat fitnah, atau jika tidak, berdoalah agar Allah menghancurkan kaum-kaum yang zalim, yang memusuhi Islam dan para pendakwah yang menyeru kepada Islam.

Ya Allah, hanya kepadaMu kami memohon pertolongan.

-tulisan ini ditulis pada hari Khamis 17 Jun 2010 di UIA Gombak-

KOMEN ABU KHADEEJAH: Saya juga amat terkejut sekali ketika membaca petikan akhbar yang disebutkan oleh saudara Mohd Masri itu, dan saya setuju 100% dengan artikel ini.

No comments:

Post a Comment