Thursday, May 27, 2010

Q&A: Hukum sanggul Arab

Soalan: Adakah sanggul arab seperti di dalam gambar ini termasuk di dalam larangan hadith nabi?

Jawapan: Segala pujian bagi Allah, serta selawat dan salam bagi junjungan kita nabi Muhammad, keluarganya serta sahabat-sahabatnya sekalian.

Hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

صنفان من أهل النار من أمتي لم أرهما بعد : كاسيات عاريات مائلات مميلات على رؤوسهن مثل أسنمة البخت لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها ورجال معهم سياط مثل أذناب البقر يضربون بها عباد الله

Sabda Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam): “Dua kelompok ahli Neraka daripada umatku aku belum pernah melihatnya lagi: kasiyat (wanita-wanita yang berpakaian) namun (hakikatnya) ‘ariyat (telanjang), ma’ilat (cenderung kepada maksiat; atau berjalan lenggok; atau menyisir rambut seperti pelacur) mumilat (mengajar orang lain perbuatan maksiat mereka; atau menggoyangkan bahu; atau menyisir rambut orang lain seperti rambut pelacur); Di atas kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan mencium baunya; dan kaum lelaki bersama mereka cemeti-cemeti seperti ekor-ekor lembu, disebat dengannya hamba-hamba Allah.”
[Sahih Muslim dari riwayat Abu Hurairah]

Di dalam hadith lain: “Pada akhir umatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka seperti bonggol unta. Kutuklah mereka kerana sebenarnya mereka adalah kaum wanita yang terkutuk.”

Di dalam hadith lain lagi terdapat tambahan : “Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan mencium baunya, padahal baunya syurga itu dapat dicium dari perjalanan sekian sekian.”
[At-Tabarani dalam Al-Mujam As-Saghir hal. 232; Hadith lain tersebut dikeluarkan oleh Muslim dari riwayat Abu Hurairah. Lihat Al-Hadith As-Sahihah no. 1326]

Setelah dirujuk kepada keterangan para ulama, termasuk al-Hafiz Ibn Hajr, Imam an-Nawawi, Ibn al-Arabi, dan yang sezaman seperti Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin, bolehlah diringkaskan maksud “Di atas kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta” seperti berikut:

1. Dililit atau dilitup kepala dengan kain serban atau selainnya sehingga nampak besar daripada biasa

2. Mengikat tocang atau plait (anyam) rambut dan diangkat tinggi, dan mungkin disengetkan, dengan tujuan kecantikan

3. Dibesarkan kepala atau rambut di bawah tudung dengan apa carapun sehingga kelihatan besar di dalam tudung seolah-seolah penuh dengan rambut.

4. Perempuan yang terlalu cenderung kepada kaum lelaki dan tidak merendahkan pandangan terhadap mereka.

Dikhuatiri memakai tudung seperti ini masuk dalam maksud hadith di atas.

Sekiranya rambut memang panjang, maka buatlah apa carapun asalkan tidak menonjol sangat di kepala.

Nasihat saya kepada muslimat...

Bertaqwalah kepada Allah dan berusaha agar tidak termasuk di dalam golongan-golongan yang dilaknat oleh nabi kita seperti di dalam hadith-hadith seperti ini. Kehidupan di dunia yang serba kekurangan ini tidak patut langsung diutamakan berbanding dengan kehidupan di akhirat nanti. Bersabarlah di dunia ini untuk masa yang dikira sejenak atau seklipan mata dibandingkan dengan masa selepas kita mati dan berdepan dengan hakikat Hari Akhirat.

Sekiranya kamu tidak bertudung, atau tidak berpakaian menurut syara', tidak lain kerana untuk menzahirkan diri sebagai cantik, dan mungkin untuk keselesaan. Tetapi kenapa tidak bersabar sejenak di dunia untuk menikmati kehidupan yang serba sempurna dan lengkap di Syurga, di mana kecantikan dan keselesaan adalah di tahap maksima, malah keseronokannya tidak terbayang oleh fikiran kita sekarang!

Fikirkanlah...!

No comments:

Post a Comment