عن زِرِّ بن حُبَيْشٍ ، قَالَ : أَتَيْتُ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ - رضي الله عنه - أسْألُهُ عَن الْمَسْحِ عَلَى الخُفَّيْنِ ، فَقالَ : ما جاءَ بكَ يَا زِرُّ ؟ فقُلْتُ : ابتِغَاء العِلْمِ ، فقالَ : إنَّ المَلائكَةَ تَضَعُ أجْنِحَتَهَا لطَالبِ العِلْمِ رِضىً بِمَا يطْلُبُ . فقلتُ : إنَّهُ قَدْ حَكَّ في صَدْري المَسْحُ عَلَى الخُفَّينِ بَعْدَ الغَائِطِ والبَولِ ، وكُنْتَ امْرَءاً مِنْ أَصْحَابِ النَّبيِّ - صلى الله عليه وسلم - فَجئتُ أَسْأَلُكَ هَلْ سَمِعْتَهُ يَذكُرُ في ذلِكَ شَيئاً ؟ قَالَ : نَعَمْ ، كَانَ يَأْمُرُنا إِذَا كُنَّا سَفراً - أَوْ مُسَافِرينَ - أنْ لا نَنْزعَ خِفَافَنَا ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيالِيهنَّ إلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ ، لكنْ مِنْ غَائطٍ وَبَولٍ ونَوْمٍ . فقُلْتُ : هَلْ سَمِعْتَهُ يَذْكرُ في الهَوَى شَيئاً ؟ قَالَ : نَعَمْ ، كُنّا مَعَ رسولِ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - في سَفَرٍ ، فبَيْنَا نَحْنُ عِندَهُ إِذْ نَادَاه أَعرابيٌّ بصَوْتٍ لَهُ جَهْوَرِيٍّ : يَا مُحَمَّدُ ، فأجابهُ رسولُ الله - صلى الله عليه وسلم - نَحْواً مِنْ صَوْتِه : (( هَاؤُمْ)) فقُلْتُ لَهُ : وَيْحَكَ ! اغْضُضْ مِنْ صَوتِكَ فَإِنَّكَ عِنْدَ النَّبي - صلى الله عليه وسلم - ، وَقَدْ نُهِيتَ عَنْ هذَا ! فقالَ : والله لاَ أغْضُضُ . قَالَ الأعرَابيُّ : المَرْءُ يُحبُّ القَوْمَ وَلَمَّا يلْحَقْ بِهِمْ ؟ قَالَ النَّبيُّ - صلى الله عليه وسلم - : (( المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ يَومَ القِيَامَةِ )) . فَمَا زَالَ يُحَدِّثُنَا حَتَّى ذَكَرَ بَاباً مِنَ المَغْرِبِ مَسيرَةُ عَرْضِهِ أَوْ يَسِيرُ الرَّاكبُ في عَرْضِهِ أرْبَعينَ أَوْ سَبعينَ عاماً - قَالَ سُفْيانُ أَحدُ الرُّواةِ : قِبَلَ الشَّامِ - خَلَقَهُ الله تَعَالَى يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاواتِ والأَرْضَ مَفْتوحاً للتَّوْبَةِ لا يُغْلَقُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْهُ. رواه الترمذي وغيره، وَقالَ: حديث حسن صحيح
Dari Zirr bin Hubaish, dia berkata : “Saya berjumpa Safwan bin `Assal ra. untuk bertanyakan tentang menyapu ke atas kedua khuf, kemudian dia bertanya kepadaku: “Wahai Zirr, mengapa engkau kemari?” . Saya menjawab : "Untuk mencari ilmu!" Dia pun berkata : “Sesungguhnya malaikat meletakkan sayap-sayap mereka bagi orang yang mencari ilmu, kerana redha dengan apa yang dicarinya.” Kemudian aku bertanya lagi: “Sesungguhnya saya masih belum jelas tentang cara menyapu kedua khuf sesudah membuang air besar dan kecil, sedangkan engkau adalah salah seorang sahabat Nabi SAW, maka saya datang ke sini untuk bertanya kepadamu, adakah engkau pernah mendengar baginda menjelaskan masalah itu?” Dia menjawab : “Ya, baginda menyuruh kami bila dalam perjalanan agar tidak menanggalkan khuf selama tiga hari tiga malam kecuali (sebab) hadas besar, tetapi hanya untuk buang air besar, kecil, atau tidur.” Saya bertanya lagi: "Adakah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW, menyebut tentang cinta?” Ia menjawab : “Ya, ketika kami sedang musafir bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang Badwi memanggil Rasulullah SAW dengan suara keras: “Wahai Muhammad,” maka Rasulullah pun menjawab “Mari!” dengan suara sedemikian. Kemudian saya berkata kepada orang Badwi itu : “Celakalah kamu! Rendahkanlah suaramu, kerana engkau berhadapan dengan Nabi SAW dan kamu dilarang berkata seperti itu.” Dan orang Badwi itu berkata lagi: “Demi Allah, aku tidak akan rendahkan suaraku!” Orang Badwi itu meneruskan: “Bagaimana dengan seseorang yang mencintai segolongan manusia, tetapi dia tidak sampai kepada mereka (dari segi amalan)?” Nabi SAW menjawab: “Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya di Hari Kiamat.” Beliau terus bercerita kepada kami, sampai akhirnya beliau menceritakan tentang sebuah pintu yang berada di sebelah barat, pintu itu sebesar 40 atau 70 tahun perjalanan.” Menurut Sufyan, salah seorang perawi: Di arah Syam. "Allah Ta`ala menciptakan pintu itu ketika Ia menciptakan langit dan bumi; pintu itu sentiasa terbuka untuk menerima taubat dan tidak akan ditutup sebelum matahari terbit dari arah barat. "
Tentang perawi
a. Zirr bin Hubaish bin Hubashah bin Aus al-Asadi (w. 81, 82 atau 83H)
- Dikenali dengan kunyah Abu Maryam dan Abu Mutarrif
- Berasal dari Kufah
- Seorang tabi’i, walaupun beliau pernah hidup di zaman Jahiliyah tetapi tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah.
- Seorang qari yang berilmu tentang al-Quran, dan pernah membentangkan bacaannya kepada Ibn Mas’ud dan ‘Ali.
- Banyak meriwayatkan hadith, khususnya daripada Umar ibn al-Khattab, Ubay bin Ka’ab, Uthman, Ali, Abdullah, Ammar, al-Abbas, Abdur-Rahman bin Auf, Huzhaifah bin al-Yaman, Safwan bin ‘Assal dan lain-lain.
- Berilmu dalam bahasa arab, sehinggakan Ibn Mas’ud biasa bertanya kepadanya tentang bahasa.
- Hidup selama 120 tahun
b. Safwan bin ‘Assal al-Muradi
- Berasal daripada Kufah
- Berperang bersama Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wassalam) dalam 12 peperangan.
- Ibn Mas’ud dan ramai daripada golongan tabi’in meriwayatkan hadith daripadanya.
- Ibn al-Jauzi berkata: Diriwayatkan melaluinya daripada nabi sebanyak 21 hadith.
Fiqh Hadith
Zirr bin Hubaish telah pergi ke Madinah untuk belajar ilmu Quran dan Hadith daripada para sahabat Rasulullah. Beliau berjumpa Safwan lalu bertanyakan dua soalan, lalu Safwan memujinya dengan menyebut sebuah hadith tentang penghormatan para Malaikat (malaikat rahmat sahaja ataupun semua malaikat yang di persekitaran) terhadap penuntut ilmu.
Malaikat merendahkan sayap-sayap mereka boleh diertikan sebagai:
1. Para Malaikat yang berterbangan menghentikan penerbangan mereka untuk mendengar ilmu
2. Kiasan yang bermaksud tawadhu’ (rendah diri) terhadap penuntut ilmu, seperti firman Allah:
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman.” [asy-Syu’ara: 215]
Dua soalan yang ditanyakan:
1. Tentang menyapu di atas khuf ketika mengambil wudu’ – lalu Safwan menjawab dengan hadith tentang menyapu khuf tanpa menanggalkan khuf untuk hadas-hadas kecil sahaja, selama sehari semalam bagi seorang yang bermukim, dan selama tiga hari dan tiga malam bagi seorang yang bermusafir.
2. Tentang cinta - Lalu Safwan menjawab dengan cerita seorang Badwi yang bertanya tentang cinta segolongan manusia yang soleh tetapi amalannya tidak sebaik mereka, lalu diberikan berita gembira bahawa seseorang itu akan bersama orang yang dicintanya di Hari Akhirat.
Lalu Safwan terus meriwayatkan sehingga menyebut tentang sebuah pintu di arah barat yang sentiasa terbuka untuk menerima taubat sesiapapun sehinggalah hari terbitnya matahari di sebelah barat.
Faedah-faedah hadith
i. Jawapan Zirr “mencari ilmu” menunjukkan kelebihan ilmu.
ii. Kelebihan menjawab soalan dengan nas, samada al-Quran ataupun hadith.
iii. Para Malaikat yang berterbangan menghentikan penerbangan mereka untuk mendengar ilmu dengan penuh tawadhu’ kerana redha dengan tujuan penuntut ilmu.
iv. Fadhilat ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Hadith merupakan fadhilat ilmu syariat Islam, sementara ilmu selainnya mempunyai kelebihan bergantung kepada manfaat atau mudaratnya kepada umat.
v. Galakan agar bertanya tentang perkara yang diragu-ragukan atau sesuatu permasalahan tentang agamanya.
vi. Penyoal meminta dalil daripada seorang alim tentang jawapannya, samada ianya daripada nas al-Quran dan Sunnah, atau ijtihadnya, sementara alim itu tidak merasa tersinggung dengan permintaan tersebut.
vii. Harus menyapu kedua-dua khuf selama 3 hari 3 malam bagi yang musafir, dan sehari semalam bagi yang mukim. Begitu juga harus menyapu ke atas stokin (kain), sandal dan pemanas kaki, hukumnya seperti khuf kerana ada hadith-hadith yang menunjukkan keharusannya. Lihat Risalah al-Masah 'ala al-jawrabain tulisan Shaikh Jamaluddin al-Qasimi yang ditahqiq oleh Shaikh Ahmad Syakir bersama tahqiq dan takhrij hadithnya oleh Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, Rahimahumullah jami'an.
viii. Mengambil wudhu dengan menyapu di atas khuf hanya dibenarkan untuk hadas kecil dan bukan hadas besar.
ix. Tuntutan beradab bersama ulama serta merendahkan suara.
x. Mengajar orang yang jahil tentang peradaban dan akhlak baik.
xi. Kelebihan bergaul dengan orang-orang yang soleh dan mencintai mereka, kerana seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia cintai Hari Kiamat. Sekiranya orang itu soleh, maka syurgalah tempat mereka bersama, dan sekiranya orang itu fasiq, maka nerakalah tempat mereka, na’udzubillah min dzalik.
xii. Luasnya rahmat Allah dan Dia menerima taubat hamba-hambanya selagi pintu taubat terbuka.
xiii. Sentiasa menhisab diri dan segera bertaubat sebelum tiba Hari yang tiada gunanya penyesalan.
xiv. Wajib beriman dengan perkara ghaib yang dikhabarkan oleh Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam).
xv. Wajib meminta dan bertaubat kepada Allah dengan ikhlas, tanpa menyekutukan apa-apapun. Allahlah yang menjadikan seluruh alam semesta, dan Dia jugalah yang mencipta Pintu Taubat, maka wajarlah kepada Dia sahaja kita meminta dan bertaubat.
No comments:
Post a Comment