Hari ini saya menerima sebuah email yang menyebut 2 hadith tentang al-Quran, dan email itu menyarankan agar disebarkan.
Malangnya, kedua-dua hadith yang disebutkan adalah hadith lemah. Hadith-hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1) Diriwayatkan bahawa Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam) bersabda: 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata,Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi'
Hadith di atas adalah sebuah hadith yang panjang, lebih panjang daripada yang sebutkan di dalam artikel tersebut.
Al-Imam Jalaluddin as-Suyuti menyebutkan hadith ini di dalam kitab al-Ali al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Mawdu’ah (jilid 1 ms. 219), iaitu sebuah kitab yang dikumpulkan di dalamnya hadith-hadith palsu.
Begitu juga al-Imam Muhammad Nasiruddin al-Albani mengatakan hadith ini hadith palsu, seperti di dalam kitab Da’ef at-Targhib wat –Tarhib (no. 367).
2) Diriwayatkan bahawa Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam) bersabda: 'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.'
Imam Tajuddin as-Subki menyebut hadith ini di dalam kitabnya Ahadith al-Ihya alazhi la asla laha (Hadith-hadith Ihya yang tiada asalnya) jilid 6 ms. 301 di mana dikumpulkan hadith-hadith di dalam Ihya Ulum ud-Din (Imam al-Ghazali) yang beliau tidak jumpa isnadnya.
Kata al-Imam as-Sakhawi di dalam kitabnya al-Maqasid al-Hasanah fi bayan kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala sl-Alsinah (Tujuan baik dalam menerangkan banyak hadith-hadith yang masyhur pada lidah) jilid 1 ms. 42, kumpulan hadith yang masyhur tetapi hadithnya lemah atau palsu, beliau menyebut hadith ini hadith mursal, iaitu hadith lemah.
Imam al-‘Ajluni dalam kitabnya Kasyf ul-Khafaa’ wa Muzil al-Ilbas ‘amma isytahara min al-Ahadith ala Alsinat an-Nas (Menyingkap rahsia dan menyingkir keraguan tentang hadith-hadith yang masyhur pada lidah orang ramai) jilid 1 ms. 21,yang bertujuan yang sama seperti kitab Imam as-Sakhawi juga menyebutkan bahawa hadith ini lemah, seperti yang dikatakan oleh al-Hafizh al-‘Iraqi.
Demikian kata-kata ulama hadith tentang hadith tersebut. Namun, keterangan ini tidak mengurangkan darjat al-Quran, Cuma ianya langkah berhati-hati dalam meriwayatkan hadith. Sekiranya ianya betul sabda Rasulullah (SAW) maka pahala bagi mereka yang menyampaikannya, tetapi sekiranya hadith itu palsu atau lemah sekalipun, maka menurut kaedah ulama hadith, kita tidak boleh mengatakan bahawa ianya hadith daripada Rasulullah (SAW), dan sesiapa yang degil telah melakukan dosa yang besar!
No comments:
Post a Comment