Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi !!!! ..oppss khinzir lembut sikit , jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjang.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua babi-babi tersebut.... potonglah kuku anda.
The Truth
Jangan ada niat simpan kuku panjang , walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking. Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak. Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka melepak sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong, dll. Apa ilmu pun yang di ajar pun tak akan boleh diterima masuk ke dalam kepala. Percayalah. Untuk yang bujang beringat lah. Kalau hendak cari pasangan dan mahu anak yang pandai dan mendengar kata pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek. Insya-Allah.
Additional info
Kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri. Ini tak termasuk korek taik hidung, telinga dan sewaktu dengannya..
Nasihat Nabi Muhammad Saw. kepada Saidina Ali rhu.. sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan , Nabi Muhammad Saw. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari
1] jari manis
2] jari kelingking (anak jari)
dan jangan memakai pada jari
1] jari tengah
2] jari telunjuk
Nabi Muhammad saw. melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut a.s.
Jawapan: Untuk pengetahuan, hadis yang dikatakan itu seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى أَخْبَرَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ عَاصِمِ بْنِ كُلَيْبٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ قَالَ قَالَ عَلِيٌّ نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا
Terjemahannya: “Yahya bin Yahya telah meriwayatkan kepada kami bahawa Abu al-Ahwas meriwayatkan daripada ‘Aasim bin Kulaib daripada Abu Burdah yang berkata: Ali telah berkata: Rasulullah (SAW) telah melarang aku daripada memakai cincin pada jariku ini atau ini. Dia mengisyaratkan kepada jari tengah dan yang sebelahnya.”
Setelah mengkaji semua riwayat-riwayat hadis ini, al-Albani telah membuat kesimpulan bahawa perkataan “atau” di atas adalah keraguan daripada salah seorang periwayat, iaitu ‘Aasim bin Kulaib. Dan yang dimaksudkan adalah jari tengah dan jari telunjuk. Beliau juga menegaskan selagi kita tidak mengetahui jari yang mana satu yang diisyaratkan oleh Ali, maka sebagai langkah berjaga-jaga, janganlah dipakai cincin pada kedua-duanya. Sila rujuk Silsilat al-Ahadith ad-Da’eefah (11/859).
Saya terjemah di sini kata-kata Imam Nawawi, seorang tokoh mazhab Shafi’e dalam kitab penerangannya ke atas kitab hadis Sahih Muslim, katanya: “Umat Islam bersepakat bahawa Sunnah (nabi) adalah orang lelaki memakai cincinnya di jari kelingking, manakala perempuan boleh memakai cincin di semua jari-jemarinya.”
Katanya lagi: “Makruh bagi lelaki memakai cincin pada jari tengah dan sebelahnya (telunjuk) menurut hadith ini, dan ianya makruh tanzihi. Manakala tentang memakai cincin samada di tangan kanan atau tangan kiri maka ada dua hadis mengenai ini (masing-masing menyokong samada tangan kanan atau tangan kiri) dan dua-duanya sahih…. Manakala hukum mengenai persoalan ini di kalangan fuqaha, mereka sepakat tentang harusnya bercincin di tangan kanan dan harus di tangan kiri, tidak makruh pada mana-mana antara keduanya, namun mereka selisih pendapat tentang yang mana lebih afdal? Golongan salaf pula, ramai yang bercincin di tangan kanan dan ramai juga di tangan kiri. Imam Malik menyukai tangan kiri dan tidak sukakan (bercincin) di tangan kanan. Di dalam mazhab kita ada dua pendapat di kalangan sahabat-sahabat kami: Yang sahihnya tangan kanan lebih afdal kerana ianya suatu perhiasan, dan tangan kanan lebih mulia dan lebih berhak untuk diperhiaskan dan dimuliakan.”
[Sharh Sahih Muslim, bab larangan memakai cincin pada jari tengah dan sebelahnya]
Tentang hikmah larangan kerana ianya meniru cara berhias kaum Lut, tiada pula mana-mana ulama yang menjelaskan sedemikian. Hadis tentang menyimpan kuku seperti memelihara sekandang babi. Saya tak jumpa hadis ini, dan ramai yang berkata sedemikian. Sekiranya dapat sumbernya, dan sahih pula hadisnya saya rasa tiada siapa akan pertikaikannya. Namun, seperti sabda nabi: “Yang mendakwa perlu ada bukti..” Dan saya teliti kitab-kitab ulama pun tiada yang menyebut hadis ini. Allahu a’lam.
Saya terjumpa dalam beberapa website, contohnya: (http://www.cikgu.net.my/) menceritakan “Adab Memotong Kuku,” katanya:
Adab memotong kuku
RASULULLAH S.A.W BERSABDA: YANG ERTINYA: Barang siapa yang mengerat kukunya pada :
* Hari Sabtu :Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad :Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin :Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa :Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu :Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.
* Hari Khamis :Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
* Hari Jumaat :Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.
Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi , jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjag.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua babi-babi tersebut.... potonglah kuku anda….. [seperti yang di dalam soalan]
Di sini, ada hadis yang disebutkan secara terperinci namun apabila diteruskan dengan menyebut: “Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku…”, penulisnya masih juga tidak menyebutkan hadis sandarannya.
Untuk pengetahuan, hadis yang disebutkan di atas tentang hari-hari memotong kuku adalah hadis palsu. Dan terjemahannya juga terbalik (contoh: sepatutnya keluar penyakit dan masuk sihat)! Hadis ini telah dimuatkan di dalam kitab al-Mawdu’aat (kitab hadis-hadis palsu) oleh Ibn al-Jawzi (508 – 597h), mukasurat 53; dan boleh didapati dalam kitab-kitab lain yang mengumpul hadis-hadis palsu.
Menurut Imam ash-Shawkani: Berkata as-Sakhawi (831-902h) dalam kitabnya al-Maqasid (iaitu kitab al-Maqasid al-Hasanah fi bayan kathir min al-ahadith al-musytaharah ‘alaa al-alsinah yang bermaksud: Maksud baik dalam menerangkan banyak hadis-hadis yang masyhur diperkatakan orang ramai): Tidak ada langsung hadis daripada nabi yang thabit (sahih) mengenai cara memotong kuku dan mengkhususkan hari tertentu untuk (melakukan)nya, dan yang disebutkan dalam syair tentang Ali adalah batil. Contohnya: hadis yang berbunyi: “Nabi biasanya memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum pergi ke solat,”[Riwayat at-Tabarani] dan lain-lain semuanya samada lemah atau palsu.
Dan as-Subki pula mengumpul hadis-hadis yang tiada asalnya (maka ianya tidak boleh dijadikan sandaran!) di dalam kitab Ihya Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali, menyebut hadis berikut tentang kuku: “Wahai Abu Hurairah! Potonglah kuku-kuku kamu kerana syaitan duduk di kuku yang panjang di antaranya.”
Walaubagaimanapun, tentang kuku, disebutkan di dalam hadis yang sahih: “Lima perkara adalah daripada fitrah: iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”
[Sahih – riwayat al-Bayhaqi]
Di dalam hadis lain pula daripada Anas: “Nabi telah memberikan jangkamasa untuk menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar tidak meninggalkannya lebih daripada 40 hari.”
[Sahih Muslim]
Imam Nawawi menerangkan di dalam al-Majmu’ Sharah al-Muhazzab bahawa cara memotong kuku yang disebutkan Imam al-Ghazali bermula dengan jari telunjuk kanan sehinggalah kelingking kanan kemudian kelingking kiri sehinggalah ibujari kiri kemudian baru ibujari kanan adalah tidak betul, elok disempurnakan dahulu tangan kanan baru tangan kiri, dan hadis sandarannya adalah batil, tiada asalnya. Jari-jari kaki juga begitu, bermula dengan yang paling kanan ke paling kiri. Dan berkenaan dengan jangkamasa untuk memotong kuku ianya bergantung kepada panjangnya, maka ianya berbeza-beza menurut keadaan dan orangnya. Dan hadis jangkamasa itu tidak bermakna menyuruh kita tinggalkan selama 40 hari baru dipotong, tetapi maksudnya, sekiranya terlambat pun jangan melebihi 40 hari tanpa memotongnya. Dan disukai memotong kuku pada hari Jumaat. Perlu diterangkan di sini bahawa pendapat mengenai eloknya memotong kuku pada hari Jumaat dan bermula dengan tangan kanan tidak berasaskan hadis nabi, kerana semuanya didapati lemah oleh ulama hadis. Namun ada riwayat yang sahih daripada Nafi’ yang berkata: Biasanya Ibn Umar (RA) memotong kukunya dan menggunting misainya pada hari Jumaat. [Riwayat al-Bayhaqi]. Maka sekurang-kurangnya amalan memotong kuku pada hari Jumaat pernah diamalkan seorang sahabat nabi. Manakala tatacara memotong kuku juga tiada hadis yang sahih mengenainya, hanya dikatakan elok bermula dengan tangan kanan menurut hadis yang umum daripada Aishah bahawa nabi (SAW) suka memulakan sebelah kanan dalam memakai kasut, menyikat rambut, bersuci dan dalam semula hal. [Sahih al-Bukhari dan Muslim]
No comments:
Post a Comment