أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى *وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
“Bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,”
[an-Najm:38 - 39]
Lihat manhaj al-Hafiz Ibn Kathir berhujjah dalam kitab tafsirnya, ketika mentafsirkan ayat, katanya:
“Sebagaimana tidak dipikulkan dosa orang lain (ke atas seseorang itu) begitu juga ia tidak menerima ganjaran melainkan apa yang telah ia usahakan sendiri (ketika hidup).
a. Daripada ayat inilah Imam Shafie dan semua yang mengikutnya mengistinbatkan (mengeluarkan hukum) bahawa menghadiahkan pahala bacaan (al-Quran) tidak sampai kepada simati, kerana (amalan-amalan itu) bukan daripada amalan dan usaha mereka.
b. Oleh itu, nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) tidak pernah menyuruh umatnya berbuat demikian dan tidak pula menggalakkannya, tiada satu nas pun yang menunjuk mereka mahupun mengisyaratkan kepada amalan tersebut.
c. Dan tidak pula amalan ini disebut sebagai amalan sahabat, tidak seorangpun di kalangan mereka (radiyallahu ‘anhum).
d. Sekiranya amalan itu suatu yang baik sudah tentu mereka telah mendahului kita untuk beramal.
e. Dalam bab mendekatkan diri kepada Allah (ertikata lain: ibadat), adalah dihadkan kepada (amalan) yang ada nas (sebagai dalil), dan tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan qiyas dan mengikut pendapat-pendapat sahaja.
f. Manakala doa dan sedekah maka ijma’ sampai pahalanya (kepada simati), dan ada nas-nas yang mensyariatkannya.”
[Tafsir Ibn Kathir – Surah an-Najm ayat 39]
Nombor-nombor dalam terjemahan teks adalah tambahan saya agar lebih jelas apa yang dikatakan oleh ulama ini, serta manhajnya yang mengikut manhaj salaf. Beliau berpegang kepada nas, dan kefahaman terhadap nas-nas sebagai dalil dirujuk kepada amalan dan kefahaman para sahabat. Sekiranya sesuatu amalan itu baik sudah tentu generasi yang tidak kenal penat lelah dalam mengikut sunnah nabi dan sentiasa berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan, samada ibadat ataupun muamalat, merekalah yang mengamalkannya terlebih dahulu.
Bukankah nabi memberikan nasihat terakhirnya kepada umat, bahawa akan datang zaman di mana banyak perselisihannya, dan nasihat baginda adalah:
“Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafa ar-Rashidin”. Dalam hadith lain pula, mereka yang selamat di Akhirat adalah “Mereka yang berada di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku.”
Oleh itu, kita selalu dengar dan baca ulama-ulama silam dan sekarang merujuk kepada amalan oleh golongan salaf sebagai sokongan dalam penghujjahan. Dan kaedah di dalam persoalan ibadat: Semuanya haram kecuali ada nas sebagai dalil (menghalalkannya).
No comments:
Post a Comment