Saturday, August 7, 2010

Menyambut Ramadan

Bagaimana kita menyambut kedatangan Ramadan? Firman Allah ta'ala:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

"Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara kebenaran dan kebatilan)..."
[al-Baqarah: 185]

Allah subhanahu wa ta'ala telah mengurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan di dalam bulan Ramadan, berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antaranya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi
2. Para Malaikat memohon keampunan bagi orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka.
3. Syaitan-syaitan dibelenggu.
4. Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
5. Terdapatnya malam Lailatul-qadar di mana kebaikannya melebihi daripada seribu bulan. Betapa rugi sekali sesiapa yang mensia-siakannya.
6. Allah mengampunkan orang yang berpuasa pada akhir malam bulan Ramadan.
7. Allah melepaskan dari azab api neraka pada setiap malam di bulan Ramadan.

Inilah kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan, merupakan kurniaan yang amat besar dari Allah! Tetapi... bagaimanakah kita menyambutnya?? Adakah ianya disambut dengan ucapan Selamat Berpuasa, atau Ramadan Mubarak sahaja sedangkan tiada perubahan langsung pada diri kita? Atau dengan menghabiskan masa sia-sia sepanjang malam? Atau merasa kesal dengan kedatangannya kerana dianggap menyusahkan?

Semoga Allah melindungi kita semua daripada segala keadaan yang sedemikan.

Sambutlah kedatangan bulan Ramadan dengan Taubat Nasuha. Sambutlah dengan keazaman yang kuat untuk memanfaatkan segala kesempatan untuk melakukan amalan baik dan memohon kepada Allah agar menolong kita menunaikan segala macam ibadat dengan sempurna.

Nasihat saya:
Betulkan niat! Ramadan bukan masa untuk kita menunjuk kepada orang amalan kita, tetapi ianya masa untuk memperbaiki diri kita, amalan kita, sikap kita, rutin kita untuk menempah tempat yang jauh lebih baik di Akhirat nanti, kehidupan yang tiada putusnya! Apakah dunia jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat di Syurga yang penuh kenikmatan!?

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى

"Tetapi kamu memilih kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal!"
[al-A'la:15-16]

No comments:

Post a Comment