Marilah kita tadabbur ayat-ayat Allah dalam surah an-Nisaa yang berkaitan dengan perkara ini yang merupakan sebahagian daripada dasar-dasar pemerintahan dalam Islam:
Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [an-Nisaa: 58]
Ayat ini umum tentang semua jenis amanah, dan termasuk di dalamnya amanah dalam memberikan pemerintahan sesuatu negara kepada yang berhak menerimanya. Begitu juga, sesiapa sahaja yang memerintah sesebuah negara mestilah menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan berlaku adil.
Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [an-Nisaa: 59]
Kemudian Allah meneruskan dengan ayat ini, memerintahkan agar Allah dan RasulNya ditaati dalam semua suruhan dan tegahan. Dan di dalam ayat ini, disebut ulul-amri yang bermaksud:
1. Ulama’
2. Hukama’ (para pemerintah)
Digugurkan perkataan “taat” sebelum perkataan “ulul-amri” di dalam ayat sekaligus mengisyaratkan bahawa ketaatan kepada kedua-duanya, iaitu ulama dan hukama, berkait rapat dengan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika mereka menyuruh kepada maksiat yang jelas melanggar ketaatan kepada Allah dan RasulNya, maka ketaatan kepada “ulul-amri” itu gugur.
Soalan: Adakah gugur ketaatan kepada “ulul-amri” secara mutlak atau khusus kepada maksiat yang berkenaan sahaja dan ketaatan dalam perkara-perkara maaruf lain kekal?
Kata Shaikh Abdur-Rahman as-Sa’di di dalam tafsirnya: “Manakala ulul-amri maka syarat perintah agar mereka ditaati adalah ianya bukan suatu maksiat.” [Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan ms. 148]
Maksudnya, gugur ketaatan kepada mereka khusus dengan maksiat yang berkenaan, tidak secara mutlak.
Firman Allah: “Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut , padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.” [an-Nisaa: 60]
Ayat ini dan seterusnya adalah tentang orang-orang munafik yang tidak merujuk kepada Allah dan RasulNya, malah berhakimkan taghut. Kata Shaikh as-Sa’di di dalam tafsirnya tentang taghut: “Dan ianya adalah setiap orang yang menetapkan hukum dengan selain syariat Allah, maka itulah dia taghut.” Sudah pastinya ini adalah suatu kesesatan yang merupakan matlamat syaitan!
FirmanNya lagi: “Apabila dikatakan kepada mereka: ‘Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul’, nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-sekuatnya dari (mendekati) kamu.” [an-Nisaa: 61]
Inilah perbuatan orang-orang munafik, menghalang manusia daripada kembali kepada kebenaran.
FirmanNya lagi: “Maka bagaimanakah halnya apabila mereka ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: ‘Demi Allah, kami sekali-sekali tidak mengkehendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna.” [an-Nisaa: 62]
Musibah-musibah disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, termasuk menetapkan hukum dengan selain syariat Allah. Dan mereka sentiasa mengatakan niat mereka baik dan mahukan kebaikan, sedangkan mereka menipu!
FirmanNya lagi: “Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu, berpalinglah kamu dari mereka dan berilah mereka maw’izhah, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.” [an-Nisaa: 63]
Subhanallah! Inilah perintah Allah kepada Rasulullah yang mempunyai kuasa sebagai pemerintah negara Islam ketika itu. Allah jelaskan bahawa Allah tahu apa sebenarnya di dalam hati orang-orang munafik itu, dan telah menerangkan hakikat ini kepada RasulNya! Namun begitu, Allah tidak memerintahkan Rasulullah agar membunuh orang-orang munafik itu sedangkan mereka jelas melakukan dosa kufur! Malah, itulah yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat 65!
Perintah Allah terhadap orang-orang munafik adalah seperti berikut:
1. Al-I’radh – Kata Shaikh as-Sa’di: “Iaitu, jangan peduli dengan mereka dan jangan bersemuka dengan mereka atas apa perbuatan dengan kesalahan yang mereka lakukan.”
2. Al-Maw’izhah – Kata Shaikh as-Sa’di: “Iaitu, terangkan kepada mereka hukum Allah sambil menggalakkan mereka tunduk kepada Allah dan menakutkan mereka sekiranya mereka meninggalkannya (hukum Allah).”
3. Al-Qawl al-Baligh – Kata Shaikh as-Sa’di : “Iaitu, nasihatilah mereka secara rahsia, antara kamu dan mereka, kerana ianya lebih layak untuk berjaya mencapai maksud, dan perlebihkan dalam membentak dan mencegah mereka daripada keadaan mereka itu. Ayat ini adalah dalil bahawa pelaku maksiat, sekiranya dibiar (tanpa hukuman) maka dia dinasihat secara rahsia, dan dilebihkan dalam memberikan pengajaran (maw’izhah) dengan cara yang dirasakan akan mencapai maksud.”
FirmanNya lagi: “Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul, melainkan untuk ditaati dengan izin Allah. Sesungguhnya, jikalau mereka ketika menzalimi diri-diri mereka datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulpun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” [an-Nisaa: 64]
Allah tetap akan mengampuni sesiapa yang bertaubat, dan memperbaiki dirinya, walaupun seorang munafik! Manakala memohon ampun kepada Rasul adalah khusus di zamannya, dan setelah kewafatannya, taubat terus kepada Allah!
FirmanNya lagi: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [an-Nisaa: 65]
Ayat ini menguatkan lagi tentang pentingnya kembali kepada Allah dan RasulNya, sebagai dasar yang sangat penting di dalam pemerintahan Islam dan dalam semua perkara secara umum!
Sepertimana pemerintah mesti adil dan menetapkan hukum dengan syariat Islam, rakyat-rakyat juga mesti adil dan bertindak menurut ketetapan dalam syariat Islam. Dan, dalam konteks menghadapi pemerintah yang tidak menetapkan hukum sepenuhnya dengan al-Quran dan Sunnah, kita sebagai rakyat mesti berlaku adil terhadap pemerintah, patuh dan taat dalam perkara-perkara maaruf, dan tidak menurut dalam perkara-perkara maksiat, sambil memberi nasihat dan pengajaran kepada pemerintah secara rahsia dan dengan cara yang dirasakan akan mencapai maksud!
Soalan: Bukankah ayat-ayat di atas menerangkan sikap nabi sebagai pemerintah kepada rakyat, dan bukan sebaliknya?
Walaupun Rasulullah yang berkuasa sebagai pemerintah, dan mempunyai ilmu yang yakin tentang perihal orang-orang munafik yang kufur setelah diberitahu oleh Allah melalui wahyu, tetap juga Allah perintahkan nabi agar menasihati mereka secara rahsia dan dengan cara yang terbaik untuk mencapai maksud, iaitu agar mereka kembali ke jalan Allah dan RasulNya.
Oleh itu, sekiranya keadaan adalah sebaliknya iaitu rakyat berhadapan dengan pemerintah yang zalim, maka lebih-lebih lagi perintah di atas layak digunakan oleh rakyat kepada pemerintah menurut kemampuan kerana rakyat tidak memiliki kuasa seperti seorang pemerintah! Sedangkan kebenaran mesti disampaikan kepada yang menzalimi! Maka rakyat perlu patuh selaginya arahan bukan sesuatu maksiat, dan dalam masa yang sama, rakyat perlu mencari jalan untuk menasihati pemerintah dengan cara yang terbaik seperti yang diperintahkan di dalam ayat-ayat di atas.
Shaikh Al-Albani juga setuju dengan pandangan seumpama ini, seperti dalam jawapannya kepada Shaikh Abul-Hasan al-Ma’ribi tentang kefahaman ayat-ayat di atas.
Ini juga cocok dengan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Iyadh bin Ghunm: Rasulullah (SAW) bersabda: “Sesiapa yang mahu menasihati seorang yang berkuasa, maka janganlah dizahirkannya, tetapi peganglah tangannya dan asingkan diri bersamanya (ketika menasihatinya). Sekiranya dia menerima daripadanya maka itulah (maksud yang tercapai), dan sekiranya tidak, dia telah menunaikan tanggungjawabnya.” [Ahmad (3/403) dan Ibn Abi ‘Asim (2/521) dengan sanad yang sahih]
Dan ini juga sesuai dengan kefahaman sahabat, seperti yang diriwayatkan tentang Usama bin Zaid ketika berlakunya fitnah di zaman Uthman (RA). Ketika itu ada yang berkata kepada Usama: “Engkau tidak nasihat ke kepada Uthman?” Jawab Usama (RA): “Kamu ingat aku nak nasihat dia sambil memperdengarkannya kepada kamu? Sesungguhnya, aku menasihati dia antara aku dan dia, tanpa aku membuka keadaan yang aku tidak suka menjadi orang pertama yang membukanya!” [Bukhari, Muslim dan Ahmad (5/206)]
Dan memang fitnah itu terbuka dan berlaku juga setelah ada yang mengingkari Uthman secara nyata! Dan kesan fitnah tersebut berterusan sehinggalah ke zaman sekarang!
Dan janganlah pula kita menyumbang kepada kekusutan umat Islam di dalam hal ini dengan melampaui batas-batas syariat Islam, atas nama menegakkan Islam.
Semoga Allah memberikan kepada kita semua Taufiq dan Hidayah kepada kefahaman betul dalam agama Allah.
No comments:
Post a Comment