Thursday, August 19, 2010

Setelah lebih seminggu berpuasa... Ada peningkatan?

Setelah lebih seminggu kita berpuasa di dalam bulan Ramadan, bulan yang mulia ini. Soalan yang kita patut tanya diri kita sendiri:

Ada peningkatan iman ke tidak?

Ramadan telah dijadikan suatu bulan yang Allah sediakan untuk CRASH COURSE bertajuk IMAN DAN TAQWA. Oleh itu ramai yang menyebutkan Ramadan sebagai madrasah Ramadan. Memang benar! Lihatlah apa yang Allah sediakan untuk para "penuntut" yang masuk ke dalam CRASH COURSE ini:

a. Dibuka semua pintu syurga
b. Ditutup semua pintu neraka
c. Dirantai syaitan-syaitan

Ini keadaan yang terbaik untuk para "penuntut" berubah dan meningkat dari segi Iman!

Tetapi bukan itu sahaja, malah Allah mewajibkan pula semua umat Islam berpuasa, tidak seperti bulan-bulan lain. Betapa beratnya bagi kita untuk berpuasa sunat di bulan-bulan lain, tetapi di bulan Ramadan, semua orang sama, kecuali sebahagian wanita, orang-orang sakit dan orang-orang tua. Dan semua umat Islam menambahkan amalan pula di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi untuk solat Tarawih dan membaca al-Quran!

Segala pujian bagi Allah, yang telah permudahkan bagi kita untuk membersihkan jiwa, meningkatkan iman dan mendekatkan diri kepada Allah pada bulan Ramadan.

Saya ulangi sekali lagi soalan penting ini:

Ada peningkatan iman ke tidak?

Sekiranya kita tidak merasakan apa-apa perubahan, maka rugilah kita! Dan lebih kita takuti, sekiranya ianya menjadi sebab kita dihumban ke Neraka.

Mengapa?

Nabi bersabda: "Solat 5 waktu; Jumaat ke Jumaat; dan Ramadan ke Ramadan, adalah kaffarah di antara nya selagi ditinggal dosa-dosa besar."
[Sahih Muslim]

Allah, Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang, telah menyediakan keadaan-keadaan bagi setiap muslim untuk membersihkan jiwanya daripada noda dosa-dosa, sekaligus meningkatkan Iman dengannya.

Sesiapa yang dapat memanfaatkan dan menyempurnakan solat 5 waktu, maka sudah pasti dia mempunyai Iman yang tinggi, bersih daripada dosa-dosa kecil dan besar!

Sekiranya tidak, Allah beri peluang lagi bagi sesiapa yang memanfaatkan hari Jumaat untuk membersihkan jiwanya dan meningkatkan Imannya, kerana semua umat Islam (lelaki) diwajibkan solat Jumaat, mendengar Khutbah dan ada masa berdoa yang mustajab di saat terakhir waktu Asar.

Sekiranya tidak, Allah tetap membuka pelaung TERAKHIR bagi umat Islam untuk membersihkan jiwa mereka dan meningkatkan Iman, dengan suasana yang sangat cocok untuk meningkatkan Iman yang tidak ada pada waktu lain, iaitu pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu!

Sekiranya tidak....

Fikirlah... dan ambillah kesempatan ini... Ubah perangai dan sikap...

Sabda Rasululah (sallallahu 'alayhi wasallam) :

"Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadan, (bertitik tolak daripada) Iman dan mengharapkan (ganjaran daripada Allah), akan diampuni dosa-dosanya yang lepas."
[Sahih - Abu Daud, Tirmizhi dan lain-lain]

No comments:

Post a Comment