Monday, May 31, 2010

HADITH: Zikir



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَا عَلَى الْأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ إِلَّا كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ".

أخرجه أحمد (2/158 ، رقم 6479) ، والترمذي (5/509 ، رقم 3460) وحسَّنه الألباني (صحيح الجامع، رقم 5636).



‏قَوْلُهُ: (إِلَّا كُفِّرَتْ) ‏‏مِنْ التَّكْفِيرِ أَيْ مُحِيَتْ وَأُزِيلَتْ ‏‏(وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ) هُوَ مَا يَعْلُو الْمَاءَ وَنَحْوَهُ مِنْ الرَّغْوَةِ وَالْمُرَادُ بِهِ الْكِنَايَةُ عَنْ الْمُبَالَغَةِ فِي الْكَثْرَةِ.

Daripada Abdullah bin ‘Amr (RA): Rasulullah (SAW) bersabda: “Sesiapa yang di atas mukabumi berkata:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada upaya mahupun kekuatan kecuali dengan izin Allah.)

Kecuali dihapuskan daripadanya dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”

[Ahmad (2/158 no. 6479), at-Tirmizhi (5/509 no. 3460) dan ianya hadith Hasan menurut al-Albani, lihat Sahih al-Jami’ no. 5636]

Sabdanya كُفِّرَتْ (dihapuskan )– Takfir bermaksud dipadamkan dan dihilangkan
Sabdanya وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ (walaupun sebanyak buih di lautan )– Iaitu buih yang berada di atas permukaan air dan sepertinya. Yang dimaksudkan dengannya adalah kinayah (metafora) iaitu melampau banyaknya.

Pengajaran Hadith:

1. Kelebihan zikirullah. Pendek sahaja zikirnya tetapi besar ganjarannya.

2. Besarnya ganjaran adalah berkaitan dengan memperingati kebesaran Allah dan kekuasaanNya. Oleh itu, sekiranya kita memperingati makhluk ciptaan Allah, samada yang hidup ataupun yang mati, tiadalah ganjarannya kecuali jika peringatan itu dianjurkan oleh Allah dan RasulNya. Contohnya, kita dianjurkan berselawat kepada Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) kerana bagindalah Rasul yang diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan Risalah daripada Allah, dan mengajar kita bagaimana mengingati Allah dan beribadat kepadaNya.

3. Kekuasaan Allah mutlak, sementara makhluk-makhluk ciptaanNya tiada upaya mahupun kekuatan kecuali dengan izin Allah.

4. Penghuni langit, iaitu Malaikat tidak menerima ganjaran yang sama kerana mereka tidak melakukan dosa, seperti firman Allah: “Mereka tidak mengingkari perintah Allah dan mereka lakukan apa sahaja yang diperintah oleh Allah.” [at-Tahrim: 6]

5. Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah. Disebutkan “yang berhak disembah” kerana wujudnya tuhan-tuhan palsu atau tuhan-tuhan yang disembah tanpa kebenaran, seperti firman Allah menukilkan kata-kata orang-orang musyrikin Mekah: “Adakah dia (Muhammad) menjadikan kesemua tuhan-tuhan ini hanya satu Tuhan sahaja? Sesungguhnya, ini sudah tentu sesuatu yang menghairankan!” [Sad :5] Dan diriwayatkan juga bahawa orang-orang Musyrikin Quraisy biasa berkata ketika tawaf mengelilingi ka’abah sambil berkata: “Labbaykallahumma labbayk...” (Kami datang memenuhi panggilanMu Ya Allah, kami datang!), Cuma mereka menambah “Illa shareek huwa laka, tamlikuhu wa ma malaka.” (Kecuali sekutu yang Engkau izinkan, Engkau memilikinya, dan ia tidak memiliki apa-apa). Talbiyah mereka serupa talbiyah orang-orang Islam, cuma mereka membenarkan wujudnya tuhan-tuhan yang disembah BERSAMA Allah, sambil mempercayai Allah yang paling berkuasa dan memiliki tuhan-tuhan yang lain itu! Inilah hakikat syirik, iaitu memberikan hak-hak Allah kepada selain daripadanya, walaupun dipercayai kekuasaan Allah adalah mutlak! Orang-orang yang beriman, mereka beriman bahawa Allahlah yang berhak disembah dengan apa jua cara ibadat, dan selain Allah tidak berhak langsung dan tidak pernah Allah mengizinkannya!

Thursday, May 27, 2010

Q&A: Hukum sanggul Arab

Soalan: Adakah sanggul arab seperti di dalam gambar ini termasuk di dalam larangan hadith nabi?

Jawapan: Segala pujian bagi Allah, serta selawat dan salam bagi junjungan kita nabi Muhammad, keluarganya serta sahabat-sahabatnya sekalian.

Hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

صنفان من أهل النار من أمتي لم أرهما بعد : كاسيات عاريات مائلات مميلات على رؤوسهن مثل أسنمة البخت لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها ورجال معهم سياط مثل أذناب البقر يضربون بها عباد الله

Sabda Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam): “Dua kelompok ahli Neraka daripada umatku aku belum pernah melihatnya lagi: kasiyat (wanita-wanita yang berpakaian) namun (hakikatnya) ‘ariyat (telanjang), ma’ilat (cenderung kepada maksiat; atau berjalan lenggok; atau menyisir rambut seperti pelacur) mumilat (mengajar orang lain perbuatan maksiat mereka; atau menggoyangkan bahu; atau menyisir rambut orang lain seperti rambut pelacur); Di atas kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan mencium baunya; dan kaum lelaki bersama mereka cemeti-cemeti seperti ekor-ekor lembu, disebat dengannya hamba-hamba Allah.”
[Sahih Muslim dari riwayat Abu Hurairah]

Di dalam hadith lain: “Pada akhir umatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka seperti bonggol unta. Kutuklah mereka kerana sebenarnya mereka adalah kaum wanita yang terkutuk.”

Di dalam hadith lain lagi terdapat tambahan : “Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan mencium baunya, padahal baunya syurga itu dapat dicium dari perjalanan sekian sekian.”
[At-Tabarani dalam Al-Mujam As-Saghir hal. 232; Hadith lain tersebut dikeluarkan oleh Muslim dari riwayat Abu Hurairah. Lihat Al-Hadith As-Sahihah no. 1326]

Setelah dirujuk kepada keterangan para ulama, termasuk al-Hafiz Ibn Hajr, Imam an-Nawawi, Ibn al-Arabi, dan yang sezaman seperti Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin, bolehlah diringkaskan maksud “Di atas kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta” seperti berikut:

1. Dililit atau dilitup kepala dengan kain serban atau selainnya sehingga nampak besar daripada biasa

2. Mengikat tocang atau plait (anyam) rambut dan diangkat tinggi, dan mungkin disengetkan, dengan tujuan kecantikan

3. Dibesarkan kepala atau rambut di bawah tudung dengan apa carapun sehingga kelihatan besar di dalam tudung seolah-seolah penuh dengan rambut.

4. Perempuan yang terlalu cenderung kepada kaum lelaki dan tidak merendahkan pandangan terhadap mereka.

Dikhuatiri memakai tudung seperti ini masuk dalam maksud hadith di atas.

Sekiranya rambut memang panjang, maka buatlah apa carapun asalkan tidak menonjol sangat di kepala.

Nasihat saya kepada muslimat...

Bertaqwalah kepada Allah dan berusaha agar tidak termasuk di dalam golongan-golongan yang dilaknat oleh nabi kita seperti di dalam hadith-hadith seperti ini. Kehidupan di dunia yang serba kekurangan ini tidak patut langsung diutamakan berbanding dengan kehidupan di akhirat nanti. Bersabarlah di dunia ini untuk masa yang dikira sejenak atau seklipan mata dibandingkan dengan masa selepas kita mati dan berdepan dengan hakikat Hari Akhirat.

Sekiranya kamu tidak bertudung, atau tidak berpakaian menurut syara', tidak lain kerana untuk menzahirkan diri sebagai cantik, dan mungkin untuk keselesaan. Tetapi kenapa tidak bersabar sejenak di dunia untuk menikmati kehidupan yang serba sempurna dan lengkap di Syurga, di mana kecantikan dan keselesaan adalah di tahap maksima, malah keseronokannya tidak terbayang oleh fikiran kita sekarang!

Fikirkanlah...!

Thursday, May 20, 2010

Salam - Sunnah Rasulullah

عَنْ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَنْ قَالَ السَّلامُ عَلَيْكُمْ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ، وَمَنْ قَالَ السَّلامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ كُتِبَتْ لَهُ عِشْرُونَ حَسَنَةً، وَمَنْ قَالَ السَّلامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ كُتِبَتْ لَهُ ثَلَاثُونَ حَسَنَةً". أخرجه عبد بن حميد (ص 172 ، رقم 470) ، والطبرانى (6/75 ، رقم 5563) قال الألباني: صحيح لغيره (2711، صحيح الترغيب والترهيب).

Daripada Sahl ibn Hunaif (RA): Rasulullah (SAW) bersabda: “Sesiapa yang berkata: ‘As-Salamu ‘alaikum’, akan ditulis baginya 10 kebaikan (pahala), dan sesiapa yang berkata: ‘As-Salamu ‘alaikum warahmatullah’, akan ditulis baginya 20 kebaikan, dan sesiapa yang berkata: ‘As-Salamu ‘alaikum warahmatullah wabarakatuh’, akan ditulis baginya 30 kebaikan.”
[Diriwayatkan oleh Abd bin Humaid (ms. 172, no. 470), at-Tabarani (6/75, no. 5563). Kata al-Albani: (Hadith ini) Sahih lighairihi, (no. 2711 Kitab Sahih at-Targhib wat-Tarhib)]

Mirip hadith ini, hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizhi dan Abu Daud daripada Imran ibn al-Husain:

عن عِمْرَان بن الحصين رضي الله عنهما ، قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبيِّ - صلى الله عليه وسلم - ، فَقَالَ : السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ ، فَرَدَّ عَلَيْهِ ثُمَّ جَلَسَ ، فَقَالَ النبيُّ - صلى الله عليه وسلم - : (( عَشْرٌ )) ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ، فَقَالَ : السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ ، فَقَالَ : (( عِشْرُونَ )) ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ، فَقَالَ : السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَركَاتُهُ ، فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ ، فَقَالَ : (( ثَلاثُونَ )) رواه أَبُو داود والترمذي ، وقال : (( حديث حسن ))

Daripada Imran ibn al-Husain (RA) berkata: Seorang lelaki datang kepada nabi (SAW) lalu berkata: ‘As-Salamu ‘alaikum’, kemudian (nabi) menjawabnya, kemudian diapun duduk. Nabi (SAW) berkata “Sepuluh (pahala).” Kemudian datang seorang lagi, berkata: ‘As-Salamu ‘alaikum warahmatullah’, kemudian (nabi) menjawabnya, kemudian diapun duduk. Nabi (SAW) berkata “Dua puluh (pahala).” Kemudian datang seorang lagi, berkata: ‘As-Salamu ‘alaikum warahmatullah wabarakatuh’, kemudian (nabi) menjawabnya, kemudian diapun duduk. Nabi (SAW) berkata “Tiga puluh (pahala).”
[Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizhi, dan katanya: “Hadith hasan”]

Lafaz as-Salam berasal daripada nama Allah, seperti di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Sesungguhnya as-Salam adalah salah satu daripada Nama Allah, maka sebarkan ia di antara kamu.”
[Sahih al-Jami’ as-Saghir (no. 1638)]

Pengajaran daripada hadith:

1. Galakan bagi setiap orang Islam agar mendoakan saudara seIslam ketika bertemu, dan yang diberi salam pula menjawabnya. Doanya juga diajar oleh nabi caranya, seperti di dalam hadith yang pertama.

2. Perbezaan pahala menurut lafaz-lafaz yang diajar oleh nabi, iaitu yang paling ringkas mendapat 10 pahala, dan yang paling sempurna mendapat 30 pahala.

3. Dengan rahmat Allah dan kelebihanNya, bagi setiap amalan seseorang muslim, Allah berikan kepadanya ganjaran 10 kali ganda, berbeza dengan setiap dosa yang Allah hanya kirakan sebagai satu dosa, dan tidak digandakan.

Kemusykilan: Apa hukum menambah kepada lafaz yang diajar oleh nabi, seperti “ ...wabarakatuhu wamaghfiratuhu dan “... warahmatullahi ta’ala...”

Jawapan: Lafaz yang diajar oleh nabi ketika memberi salam hanya sehingga “...wabarakatuhu.” Begitulah yang dijelaskan oleh Abdullah ibn Abbas di dalam riwayat berikut :

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ عَطَاءٍ أَنَّهُ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ فَدَخَلَ عَلَيْهِ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ثُمَّ زَادَ شَيْئًا مَعَ ذَلِكَ أَيْضًا قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَهُوَ يَوْمَئِذٍ قَدْ ذَهَبَ بَصَرُهُ مَنْ هَذَا قَالُوا هَذَا الْيَمَانِي الَّذِي يَغْشَاكَ فَعَرَّفُوهُ إِيَّاهُ قَالَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ إِنَّ السَّلَامَ انْتَهَى إِلَى الْبَرَكَةِ

Daripada Muhammad ibn ‘Amr ibn ‘Ataa’ berkata: Aku sedang duduk bersama Abdullah ibn Abbas, kemudian datang seorang lelaki daripada Yemen seraya berkata: “As-salaamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuhu..” kemudian dia menambah (lafaznya) sedikit bersamanya juga. Ibn Abbas, yang ketika itu sudah buta, bertanya: “Siapa ini?” Mereka menjawab: “Ini seorang daripada Yemen datang melawatmu,” lalu mereka memperkenalkan dia. Ibn Abbas pun berkata: “Sesungguhnya as-Salam berhenti setakat (mendoakan) berkat (sahaja).”
[al-Muwatta’ oleh Imam Malik, no. 1513 dengan isnad yang sahih menurut Imam al-Albani]

Manakala lafaz tambahan kepada hadith yang telah disebutkan di atas dengan lafaznya “ ...wabarakatuhu wamaghfiratuhu yang diriwayatkan oleh Abu Daud adalah da’eef menurut Imam al-Albani, lihat Da’eef at-Targhib wat-Tarhib.

Namun, lafaz menjawab salam dibenarkan lebih daripada itu, seperti di dalam riwayat daripada Imam al-Bayhaqi:

كنا إذا سلم النبي صلى الله عليه وسلم علينا قلنا : وعليك السلام ورحمة الله وبركاته ومغفرته

Kami biasa menjawab salam ketika nabi memberi salam kepada kami : “Wa ‘alaika assalam warahmatullah wabarakatuhu wamaghfiratuhu.”
[Lihat Silsilatu l-Ahadith as-Sahihah no. 1449]

*Nota: Kesahihan riwayat-riwayat yang membenarkan jawapan salam dengan tambahan semuanya lemah, tetapi ulama selisih pendapat samada kesemua riwayat itu menguatkan satu sama lain atau tidak. Imam al-Albani berijtihad bahawa riwayatnya lemah semuanya tetapi saling menguatkan dan sesuai dengan ayat 86 Surah an-Nisa, dan begitulah juga pendapat Ibn Hajr al-‘Asqalani. Allahu a’lam.

Walaubagaimanapun tambahan ketika memberi dan menjawab salam yang selainnya, seperti “... warahmatullahi ta’ala...”,dan lain-lain; atau perubahan seperti “salam satu Malaysia” dan lain-lain hendaklah dijauhkan, seperti mafhumnya daripada teguran Ibn ‘Abbas di atas. Begitu juga teguran nabi kepada al-Baraa’ ibn Azib yang mengulang doa tidur di depan nabi, lalu menukarkan lafaz doa yang diajar oleh nabi, daripada lafaz nabi: “Dan nabiMu yang Engkau telah utuskan!" kepada: “Dan rasulMu yang Engkau telah utuskan!" Sekiranya kita fikirkan, perkataan “Rasul” adalah lebih baik daripada perkataan “Nabi”, kerana bukan semua nabi adalah rasul! Namun, nabi tetap menegurnya sekaligus membuktikan bahawa lafaz yang diajar oleh nabi mestilah dikekalkan dan tidak ditokok tambah! Riwayat ini terdapat di dalam Sahih al-Bukhari.

Wa billahi at-Tawfiq.