"Takut Allah atau takut virus?"
Pagi hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, isu keingkaran sebahagian pengikut jemaah tabligh ini bermain-main di kepala ketika saya sedang membaca al-Quran. Banyak ayat-ayat saya lihat adalah jawapan kepada persoalan di atas, iaitu,
"Takut Allah atau takut virus?"
Atau boleh kita ubah sedikit maksud persoalan tersebut kepada:
"Takut Pencipta makhluk atau takut makhluk Pencipta?"
Adakah maksud "Takut Allah" atau "Takut Pencipta makhluk" itu kita tidak perlu mengambil kira keupayaan "makhluk Pencipta" itu?
Atau dalam situasi kita sekarang ini, kita tidak perlu mengambil kira keupayaan yang diberikan oleh Allah kepada makhluknya iaitu "virus Covid -19" itu sehinggakan kita tidak perlu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melawan atau sekurang-kurangnya mencegah virus itu daripada bermaharajalela?
"Dan sediakanlah segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan untuk menentang mereka (musuh, iaitu makhluk ciptaan Allah) …" [al-An'am : 60]
Dalam jihad untuk menegakkan agama Allah, Allah Yang Maha Mencipta, memerintahkan umat Islam agar menyediakan kekuatan dalam apa jua bentuk untuk menghadapi ancaman luar.
Wajarkah ditanyakan soalan yang sama dalam hal sebegini:
"Takut Allah atau takut musuh?"
atau ertikata lain:
"Takut Pencipta makhluk atau takut makhluk Pencipta?"
Sudah pastinya tidak wajar!
Termasuk ajaran Islam bahawa kita beriman kepada Allah, kekuatan mutlak Allah, dan dalam masa yang sama, kita perlu mengambil kira sistem alam ciptaan Allah ini yang mengandungi sebab musabab. Kita perlu takut kepada Allah dan perlu ikut sistem alam yang diciptakan oleh Allah. Ertikata lain, tawakal, dan ambil kira asbab.
Mungkin sebab mereka tidak mahu membuat ujian saringan adalah kerana mereka redha sekiranya ditaqdirkan jatuh sakit.
Walaupun mereka redha untuk diri mereka sendiri, tetapi orang lain yang mungkin dijangkiti virus ini disebabkan oleh "contact" dengan mereka telah dizalimi.
Dan juga maklumat yang terpendam di dada mereka tentang pergerakan mereka yang membawa virus itu amatlah diperlukan agar orang-orang lain sedar risiko mereka hadapi dan dapat membuat saringan sebagai langkah pencegahan awal.
Saya doakan agar Allah jauhi daripada kita semua segala yang memudaratkan kita.
No comments:
Post a Comment