Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah bahagian kedua ayat ke 7:
غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ
“bukan (jalan) mereka yang dimurkai...”
[al-Fatihah : 7]
Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ke bahagian pertama ayat ke 7 adalah seperti berikut:
“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu! (7) Jalan mereka yang Engkau redhai dan kurniakan nikmat Engkau, di dunia dan Akhirat: para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin, lebih-lebih lagi yang teragung di antara mereka, iaitu Rasulullah (saw).”
Setelah dilimpahkan Pujian untuk Allah daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 4; dan Allahlah tumpuan ibadat kita, termasuk meminta pertolonganNya di dalam ayat ke 5; maka Allahlah sahaja tumpuan doa kita untuk meminta hidayah di dalam ayat ke 6; dan ayat ke 7 menjelaskan jalan yang diharapkan iaitu jalan mereka yang telah dikurniakan berbagai nikmat oleh Allah, maka bahagian kedua ayat ke 7 pula menjelaskan jalan yang kita mohon agar dijauhkan!
Siapakah mereka itu? Bahagian kedua ayat ke 7 menyebutkan dua golongan.
Golongan yang pertama adalah yang disebutkan sebagai “yang dimurkai”. Kebanyakan ulama tafsir mengatakan bahawa mereka ini adalah golongan Yahudi.
Firman Allah (swt) tentang orang-orang Yahudi:
فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَى غَضَبٍ
“kerana itu mereka mendapat kemurkaan sesudah (mendapat) kemurkaan.”
[al-Baqarah : 90]
FirmanNya(swt) lagi tentang mereka:
قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُمْ بِشَرٍّ مِنْ ذَلِكَ مَثُوبَةً عِنْدَ اللَّهِ مَنْ لَعَنَهُ اللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ
وَجَعَلَ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ
أُولَئِكَ شَرٌّ مَكَانًا وَأَضَلُّ عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
“Katakanlah: ‘Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang yang lebih buruk pembalasannya dari (orang-orang fasik) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuk dan dimurkai oleh Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah thaghut?." Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.”
[al-Ma’idah : 60]
إِنَّ الَّذِينَ اتَّخَذُوا الْعِجْلَ سَيَنَالُهُمْ غَضَبٌ مِنْ رَبِّهِمْ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembah sapi betina kelak akan mendapat kemurkaan daripada Tuhan mereka.”
[al-Ma’idah : 60]
Adakah yang dimaksudkan di sini kita jangan menganut agama Yahudi? Atau yang dimaksudkan agar kita tidak mengikuti jejak langkah, sifat-sifat dan sikap mereka?
Yang zahir adalah kita ditegah menganut agama mereka, dalam masa yang sama kita mesti menghindarkan daripada mengikut jejak langkah, sifat-sifat dan dan sikap mereka dalam beragama.
Apakah contoh-contohnya?
Saya akan jelaskan serba sedikit pada siri akan datang, insyaAllah.
Maka, terjemahan ayat ke 7 surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:
“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu! (7) Jalan mereka yang Engkau redhai dan kurniakan nikmat Engkau, di dunia dan Akhirat: para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin, lebih-lebih lagi yang teragung di antara mereka, iaitu Rasulullah (saw), dan bukannya jalan mereka yang dimurkai, yang terdiri daripada golongan Yahudi dan sesiapa sahaja yang menyerupai mereka...”
No comments:
Post a Comment