Monday, January 9, 2012

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (11)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah bahagian pertama ayat ke 7:

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
“(Iaitu) jalan mereka yang Engkau telah kurniakan ke atas mereka nikmat...”
[al-Fatihah : 7]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ayat ke 6 adalah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu!.”

Setelah dilimpahkan Pujian untuk Allah daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 4, dan ayat ke 5 pula mengisytiharkan bahawa Allah yang berhak dipuji sedemikan rupa, maka Dialah sahaja tumpuan doa kita untuk meminta hidayah, ayat ke 6 pula permintaan agar ditunjukkan “jalan yang lurus”, dan ayat 7 memperincikan jalan tersebut sebagai jalan semua yang telah dikurniakan berbagai nikmat oleh Allah, di dunia dan di akhirat!

Siapakah mereka itu? Sekiranya manusia dibiarkan untuk memikirkan sendiri golongan ini, sudah tentu mereka hanya bayangkan golongan yang mendapat nikmat dunia, kerana nikmat Akhirat tidak dapat dilihat lagi!

Mereka yang dikurniakan nikmat ini telah disenaraikan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu ayat berikut:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا
“Dan sesiapa yang mematuhi Allah dan Rasul, maka mereka itulah yang akan bersama
mereka yang Allah berikan ke atas mereka nikmat: (iaitu) para nabi; Siddiqin; shuhada’; dan solihin,
dan mereka itulah sebaik-baik teman.”
[al-Nisa’ : 69]

Demikianlah, 4 golongan yang disenaraikan sebagai orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah.

Apakah ciri-ciri mereka ini?

Ayat yang sama di atas, menyebut ciri-ciri mereka yang sangat penting, iaitu mereka “mematuhi Allah dan Rasul”! Tidak masuk akal sekiranya orang yang akan bersama 4 golongan ini, mereka mematuhi Allah dan Rasul, sementara 4 golongan ini pula tidak mempunyai ciri tersebut!

Sudah menjadi lumrah, bahawa sesiapa yang minat, suka, cinta dan mengidola seseorang itu akan mahu bersama idolanya! Dan kita lihat mereka bukan hanya mahu bersama idola mereka, tetapi akan cuba meniru segala ciri-ciri idola mereka itu!

Maka sekiranya kita mahu masuk ke syurga di Akhirat nanti, sudahkah kita menjadikan 4 golongan ini “idola” kita? Bukan idola yang disembah, kerana tiada yang berhak disembah melainkan Allah, tetapi “idola” yang menjadi ikutan dan pedoman, supaya kita akan dapat bersama mereka di Syurga nanti! Dan tiada pedoman yang lebih baik daripada pedoman Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), seperti firmanNya:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya terdapat bagi kamu pada Rasulullah (saw) contoh teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat, dan banyak mengingati Allah.”
[al-Ahzab : 21]

Maka, terjemahan ayat kedua surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya. (6) Ya Allah, Rabb yang mencipta sekalian alam dan mentadbir semuanya, tunjuklah kepadaku Jalan yang lurus, yang menunjukkan segala yang diperlukan untuk mempunyai Tauhid yang murni, dan hidup yang penuh keredhaanMu! (7) Jalan mereka yang Engkau redhai dan kurniakan nikmat Engkau, di dunia dan Akhirat: para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin, lebih-lebih lagi yang teragung di antara mereka, iaitu Rasulullah (saw).”

No comments:

Post a Comment