Sunday, March 13, 2011

JALAN PINTAS KE SYURGA 2


Ini merupakan jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh “anonynous” pada artikel saya “JALAN PINTAS KE SYURGA”.

Komen beliau:
Anonymous said...
salam akh..
nk tny..
artikel yg mnarik akh..tp de kmusykilan r..
btul ke dgn manhaj salaf ni kite xperlu dihisab di hdpn Allah 'Azza Wa Jalla nnt..
bleh brikn dalil2 yg sahih x akh..

Jawapan:
Wa’alaikum salam,

Mengikut manhaj salaf memberikan kita peluang untuk masuk ke Syurga tanpa Hisab, tetapi bukan suatu kemestian.

Saya nukilkan di sini kata-kata saya di dalam artikel tersebut:
“Maka, dengan manhaj yang betul, ianya akan menggolongkan kita di dalam Ahlus-Sunnah wal-Jamaah, Golongan yang Terselamat di antara 73 golongan umat Islam.

Itulah jalan pintas, dengan usaha yang sama mendapat pahala yang berganda-ganda lebih daripada sesiapa yang tidak mengikut manhaj yang betul. Itulah jalan pintas di dunia, supaya kita dapat melalui jalan pintas di Akhirat pula, yang penuh dengan liku-likunya yang mengerikan. Kita berdoa kepada Allah, setelah usaha yang sewajarnya, agar dikurniakan jalan pintas di Akhirat, iaitu dimasukkan ke Syurga TANPA HISAB.”

Ayat bergaris yang pertama, menerangkan bahawa:
1. manhaj yang betul adalah jalan pintas di dunia
2. manhaj yang betul akan membuka peluang kepada kita untuk melalui jalan pintas di Akhirat

Ayat bergaris yang kedua, menerangkan bahawa:
1. Kita berharap bahawa usaha di dunia bertepatan atau sekurang-kurangnya hampir dengan manhaj yang betul
2. Kita berharap bahawa hasilnya adalah rahmat Allah dan dikurniakan jalan pintas di Akhirat pula.

Adakah wujud JALAN PINTAS di AKHIRAT?

Jalan pintas memang wujud di Akhirat.

Dalil daripada al-Quran:

Firman Allah:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang zalimun linafsihi (menganiaya diri mereka sendiri) dan di antara mereka ada yang muqtasid (pertengahan) dan diantara mereka ada (pula) yang sabiqun bil-khairat (lebih dahulu berbuat kebaikan) dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar.”
[Fatir: 32]

Merujuk kepada kitab Tafsir Ibn Kathir yang ditahqiq dan diteliti oleh Shaikh Abdullah bin Muhammad Aal asy-Syaikh tentang ayat ini:

Allah ta’ala berfirman: “Kemudian Kami menjadikan orang-orang yang menegakkan Kitab yang agung, yang membenarkan Kitab-Kitab para Rasul yang telah Kami pilih di antara hamba-hamba Kami.” Mereka itu adalah umat ini. Kemudian, Dia membahagi mereka menjadi tiga golongan iaitu:

(Pertama): “di antara mereka ada yang zalimun linafsihi (menganiaya diri mereka sendiri)” iaitu orang yang lalai dalam melaksanakan sebahagian kewajipan, serta bergelimang dengan sebahagian yang diharamkan.

(Kedua): “di antara mereka ada yang muqtasid (pertengahan)” iaitu orang yang menunaikan kewajipan dan meninggalkan yang haram, walaupun terkadang meninggalkan sebahagian yang dianjurkan dan melaksanakan sesuatu yang dimakruhkan.

(Ketiga): “diantara mereka ada (pula) yang sabiqun bil-khairat (lebih dahulu berbuat kebaikan) dengan izin Allah” iaitu orang yang melakukan kewajipan dan hal-hal yang dianjurkan, serta meninggalkan hal yang diharamkan, yang dimakruhkan dan sebahagian hal yang mubah.

Ali bin Abi Talhah berkata: daripada Ibn ‘Abbas (ra) tentang firman Allah: “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami,” katanya:

“Mereka adalah umat Muhammad yang Allah wariskan kepada mereka setiap Kitab yang diturunkanNya. Lalu, orang yang menganiaya dirinya sendiri di antara mereka akan diampuniNya, orang yang pertengahan akan dihisab secara ringan dan orang yang berlumba berbuat kebaikan akan masuk Syurga tanpa Hisab.”

Ibn Abbas berkata lagi: “Orang yang berlumba berbuat kebaikan akan masuk Syurga tanpa Hisab, orang yang pertengahan akan masuk Syurga dengn rahmat Allah dan orang yang menganiaya diri sendiri serta Ashab ul-A’raf akan masuk Syurga dengan syafaat Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam).”

Manakala dalil hadith pula, hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas (ra) bahawa Nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda:
'Saya telah diperlihatkan beberapa umat oleh Allâh, lalu saya melihat seorang Nabi bersama beberapa orang, seorang Nabi bersama seorang dan dua orang dan seorang Nabi sendiri, tidak seorangpun menyertainya. Tiba-tiba ditampakkan kepada saya sekelompok orang yang sangat banyak. Lalu saya mengira mereka itu umatku, tetapi disampaikan kepada saya: "Itu adalah Musa dan kaumnya". Lalu tiba-tiba saya melihat lagi sejumlah besar orang, dan disampaikan kepada saya:
"Ini adalah umatmu, bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang, mereka akan masuk syurga tanpa hisab dan azab."
Kemudian Beliau bangkit dan masuk rumah. Orang-orang pun saling berbicara satu dengan yang lainnya,
'Siapakah gerangan mereka itu?' Ada diantara mereka yang mengatakan: 'Mungkin saja mereka itu sahabat Rasulullâh Sallallahu 'Alaihi Wasallam.' Ada lagi yang mengatakan: 'Mungkin saja mereka orang-orang yang dilahirkan dalam lingkungan Islam dan tidak pernah berbuat syirik terhadap Allâh.' dan menyebutkan yang lainnya.

Ketika Rasulullâh Sallallahu 'Alaihi Wasallam keluar, mereka memberitahukan hal tersebut kepada beliau. Beliau bersabda:

'Mereka itu adalah orang yang tidak pernah minta diruqyah, tidak meminta di kay dan tidak pernah melakukan tatayyur serta mereka bertawakkal kepada Rabb mereka.'

Dengan dalil-dalil yang disebut di atas, kita ketahui bahawa ada JALAN PINTAS di AKHIRAT. Dan pastinya mereka yang diberikan JALAN PINTAS ini berada di atas manhaj yang betul kerana:

1. Orang yang berada di atas manhaj SELAIN daripada manhaj Kenabian (seperti yang difahami oleh ulama as-Salaf as-Soleh), telah diancamkan dengan Neraka oleh Allah dan RasulNya.

2. Ciri-ciri mereka ini adalah mereka telah merealisasikan tauhid sepenuhnya, sehinggakan pergantungan mereka adalah sebulat-bulatnya kepada Allah, dan ini tidak terdapat pada mereka yang mengikuti manhaj yang salah, kerana mereka tidak mendahulukan Allah dan RasulNya secara total!

Semoga Allah golongkan kita dalam 70,000 yang diberikan JALAN PINTAS di AKHIRAT.
Alllahu a’lam.

2 comments:

  1. بارك الله فيك يا اخ
    pncrahan yg baik..
    smoga Allah 'Azza Wa Jalla merahmati dan mengampuni kita sume..

    ReplyDelete
  2. Golongan yg selamat tu, fahaman saya adalah golongan org org mukmin soleh, golongan org org bertaqwa, yg sentiasa menjadikan Nabi saw dan para sahabat r.anhum. sbg contoh ikutannya. Tidak semestinya dr mana mana manhaj.

    ReplyDelete