Monday, November 8, 2010

Q&A: Bolehkah digabungkan niat Korban dan Aqiqah pada satu sembelihan?

Saya telah menerima satu sms merupakan soalan tentang korban dan Aqiqah.

Soalan: Ustaz Abu Khadijah yang dihormati, saya nak tanya satu soalan yang sangat penting, boleh tak korban dan aqiqah dibuat sekali maksudnya seekor dikongsi korban dan aqiqah, ada nas tak yang membenar atau melarang, minta perhatian dari ustaz untuk menjawabnya. Terima kasih.

Jawapan: Ulama berbeza pendapat dalam persoalan ini, di antara yang membenarkan dan yang melarang. Ringkasnya:
1. Tidak boleh dikongsikan – Pendapat ini adalah Mazhab Shafi’e, Maliki dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Shaikh Muhamad bin Saleh al-Uthaimin telah ditanya: tentang hukum menggabungkan antara korban dan Aqiqah sekiranya hati Raya Aidil Adha jatuh pada hari ketujuh bayi yang baru lahir?

Jawab beliau: “Sebahagian Ahl al-Ilm (ulama) berpendapat bahawa sekiranya Hari Raya jatuh pada hari ketujuh kelahiran seorang bayi dan dikorbankan, sudah memadai untuk Aqiqah (juga), sepertimana seorang itu sekiranya masuk ke dalam masjid dan solat Fardu, maka ianya memadai untuk Solat Tahiyatul-Masjid, kerana kedua-duanya adalah ibadat daripada jenis yang sama dan jatuh pada waktu yang sama, maka cukup satu untuk yang satu lagi. Tetapi saya berpendapat sekiranya Allah telah memberikan kekayaan kepadanya, agar dia menjadikan sembelihan seekor kambing untuk korban, dan seekor kambing untuk Aqiqah sekiranya anak perempuan, atau dua ekor kambing sekiranya anak lelaki, bermaknanya sekiranya anak lelaki dia sembelih 3 ekor (termasuk seekor untuk korban).”

Di dalam jawapan beliau yang lain, Shaikh menjawab: “Pendapat yang sahih adalah tidak harus menggabungkan niat korban dan Aqiqah, dan begitu juga niat korban dan walimah.”

Shaikh Husam ‘Afanah juga sependapat dengan beliau, dan beliau menyunting kata-kata Ibn Hajr al-Haythami dalam menyatakan ianya tidak boleh digabungkan.

Sila rujuk: http://www.yasaloonak.net/2008-09-18-11-36-26/2009-08-19-10-33-37/2009-07-07-12-17-53/333-2008-11-21-07-06-57.html

2. Boleh dikongsikan – Pendapat ini adalah pendapat Mazhab Ahmad dan Hanafi. Ianya juga pendapat Shaikh Muhammad bin Ibrahim (bekas Mufti Saudi)

(Masalah) disatukan sembelihan korban dan Aqiqah: Ulama Mazhab Hanbali berkata: “Apabila Hari an-Nahr (Raya Korban) jatuh pada hari Aqiqah, mungkin memadai dengan satu sembelihan untuk kedua-duanya, sepertimana sekiranya Hari Eid (Raya) dan Hari Jumaat jatuh pada hari yang sama, memadai dengan mandi (sunat) untuk salah satu daripadanya."[Fiqh as-Sunnah]

Dalam perkara ini, tiada nas yang jelas yang berkaitan, oleh itu para ulama terpaksa berijtihad untuk menentukan hukumnya, dan ini membawa kepada perbezaan pendapat.

Setelah kita mengetahui perbezaan pendapat antara para ulama, pendapat yang lebih dekat kepada hati saya adalah pendapat jumhur, iaitu ianya tidak boleh digabungkan. Sekurang-kurangnya, ianya pendapat yang terkeluar daripada khilaf. Dan pendapat yang mengatakan harus lebih berbunyi harapan ianya memadai.

Perbezaan antara korban dan Aqiqah jelas. Sebagai contoh, nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) menyebutkan secara jelas bahawa Aqiqah dengan seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki, sedangkan korban boleh disembelih kambing, atau lembu dibahagi tujuh, atau unta dibahagi sepuluh.

Kalau dikatakan harus, ini membuka pintu kepada orang Islam mengambil ringan dan melambatkan perlaksanaan Aqiqah untuk dilakukan pada hari raya Korban, supaya boleh digabungkan dalam satu sembelihan. Maka ini akan menyebabkan sunnah melakukan Aqiqah pada hari ketujuh, atau keempat belas atau kedua puluh satu akan hilang, seperti di dalam hadith:

العقيقة تذبح لسبع أو لأربع عشرة أو لإحدى و عشرين

"Aqiqah disembelih pada hari ketujuh, atau keempat belas atau kedua puluh satu."
[Sahih Jami' as-Saghir (no. 4132)]

Allahu ‘alam.

No comments:

Post a Comment